ARTIS MELETOP
Amar Baharin Enggan Masuk Campur, Suami Izreen Nafi Cerai
Insiden perceraian Izreen Azminda di lokasi penggambaran drama bersiri 'Bukan Terpaksa Aku Relakan' memang mengejutkan ramai peminat Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama, Anugerah Skrin 2013 ini. Memandangkan Izreen gagal dihubungi, GUA telah menghubungi pelakon Amar Baharin yang turut berada di lokasi penggambaran untuk mendapatkan gambaran kejadian terbabit. Menurut Amar, tidak berlaku pertengkaran seperti yang digembar gemburkan oleh sesetengah pihak.
“Kejadian berlaku selepas selesainya penggambaran untuk hari itu di Pulau Pinang, jadi ianya sama sekali tidak menganggu kerja kami. Tiada pertengkaran yang berlaku sebaliknya semuanya berlaku dalam keadaan tenang saja. Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana bagi saya perkara ini serius dan kami yang turut berada di lokasi penggambaran enggan masuk campur. Saya takut sekiranya saya komen nanti, jadi salah pula kenyataan yang dibuat oleh saya,” ujar Amar ketika dihubungi GUA sebentar tadi.
Menurut Amar, dia tidak mahu sekiranya kenyataan yang dibuat olehnya akan memburukkan lagi keadaan. Bagi Amar, walaupun ramai kru produksi serta beberapa pelakon lain turut berada di lokasi namun mereka mengambil pendekatan untuk tidak masuk campur.
“Saya tidak tahu sama ada mereka sudah bercerai atau sebaliknya. Bagi saya, lebih baik bertanya kepada tuan punya badan sendiri kerana dia sendiri lebih memahami apa yang telah berlaku. Saya tidak mahu komen lanjut kerana perkara ini bersifat peribadi,” ujar Amar lagi.
Bekas finalis Anak Wayang (2009) ini turut berkongsi yang drama KTAR itu kini sedang menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur. Drama 24 epidod ini dibarisi oleh Izreen Azminda, Amar, Dian P Ramlee, Syafik Kyle, Eddy Asyraf, Aliza Shadan dan Hairi Safwan.
Sementara itu, apabila Amar diminta untuk memberikan telahan peribadinya bagi memilih Bintang Paling Popular BH 2013 yang bakal berlangsung Sabtu ini, dia memilih nama Aaron Aziz dan Zizan Razak. Ini kerana kedua-dua individu terbabit mempunyai pengaruh yang kuat ke atas peminat masing-masing.
(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});
Suami Izreen Nafi Lafaz Cerai
Sementara itu, suami kepada Izreen, Muhamad Riza Baharuddin menafikan dia telah melafazkan cerai terhadap isterinya di lokasi penggambaran seperti yang didakwa. Dalam kenyataannya kepada Mstar Online, laporan yang dibuat oleh sebuah akhbar pada Rabu adalah tidak benar sama sekali.
Bagaimanapun, jurukamera bebas ini mengakui dia telah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 14 Mei lalu dan masih menuggu tarikh untuk dipanggil oleh pihak mahkamah.
"Kami belum lagi bercerai dan saya belum melafazkan talak kepada dia (Izreen). Kami baru sahaja failkan perceraian pada Rabu minggu lalu dan masih menunggu tarikh (perbicaraan) lagi. Saya akui rumah tangga kami bermasalah dan kami sudah tidak tinggal sebumbung sejak sebulan yang lalu, namun kami belum bercerai secara sah lagi," ujarnya kepada mStar Online.
0 comments:
Post a Comment