Loading...
Sunday, May 4, 2014

Hariz bukan pengemis populariti Jihan


ARTIS MELETOP

Hariz bukan pengemis populariti Jihan



HUBUNGAN Ungku Hariz dan Jihan sekadar teman rapat dan tiada ikatan cinta.

SERIUS mahu dikenali sebagai pelakon yang punya kredibiliti, Ungku Hariz, 29, bagaimanapun tidak sesal apabila populariti tidak begitu memihak kepadanya.

Namun, anak didik Fauziah Nawi dari pentas Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani) yang pernah mencuba nasib dalam program realiti Pilih Kasih musim kedua itu sedikit terkilan apabila didakwa menumpang populariti Jihan Raja Lawak. Jihan satu-satu wanita yang paling rapat dengan Hariz sejak lima tahun lalu.

Hariz atau nama sebenarnya Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli mengakui dia rapat dengan Jihan namun tidaklah sampai ke tahap hendak menumpang populariti pelawak wanita yang semakin diterima itu.




Soal menumpang populariti bukan sesuatu yang boleh dinilai sewenang-wenangnya walaupun mereka kerap bersama dan berkongsi kemesraan di laman Instagram.

"Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Saya akui Jihan lebih terkenal berbanding saya sekali gus saya juga mendapat tempiasnya.

"Masyarakat bijak menilai kerana selama ini saya juga berusaha keras untuk terus bertahan dalam industri seni tanah air. Bagi saya, setiap orang ada perjalanan masing-masing," ujar Hariz.

Galas empat watak

Bercakap soal hubungan mereka yang dikatakan telah sampai ke tahap percintaan, Hariz menjelaskan, sudah acap kali perkara itu ditegaskan iaitu mereka sekadar teman rapat dan tiada ikatan cinta.

"Kami sudah lama kenal antara satu sama lain. Buat waktu ini saya masih belum beritahu sesiapa termasuklah keluarga saya dengan siapa saya bercinta," jelas Hariz ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran teater monodrama Legenda Datuk Dol Said di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hariz menjadi pelakon yang menunjangi teater itu yang dipersembahkan di Auditorium DBP selama empat hari bermula 15 Mei nanti.

Sebelum ini, nama-nama pelakon yang dicalonkan untuk menggalas watak pejuang kemerdekaan itu termasuklah Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rosyam Nor dan Awie.

"Saya bersyukur dipilih untuk menggalas tanggungjawab yang besar ini kerana sebagai seorang aktor, teater monodrama menduduki tangga teratas dalam menguji tahap lakonan seseorang.

"Selain itu, cabaran lain yang masih bermain di fikiran ialah bagaimana saya dapat memastikan penonton tidak cepat bosan kerana saya seorang sahaja yang akan melakonkan empat karakter berbeza dalam pementasan selama 1 jam 15 minit itu," katanya.

Pengarah teater itu, Raja Azrey Raja Kamaruzzaman pula menyifatkan pemilihan Hariz dibuat berdasarkan pengalaman yang dimiliki selepas ketiga-tiga calon yang dicadangkan itu mempunyai komitmen lain.

"Kami mencari pelakon yang ada asas dalam bidang teater kerana ia akan memudahkan proses menghafal skrip yang mengambil masa selama sebulan sahaja.

"Malah, kami lihat Hariz mempunyai ciri-ciri yang kami mahukan. Apabila saya melihat lakonan Hariz dalam kaca televisyen dia begitu hebat dan apa yang mengejutkan, dia hanya memerlukan masa selama seminggu untuk menghafal kesemua skrip yang saya berikan," tuturnya.

Teater Legenda Datuk Dol Said mengisahkan perjuangan kerajaan Naning di Negeri Sembilan sewaktu pemerintahan Dol Said sehingga berlaku peperangan dengan British sekitar tahun 1832 yang dinamakan Perang Naning.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP