Loading...
Monday, May 5, 2014

The Amazing Spider-Man 2: Ramuan Aksi & Romantik Yang Menjadi


ARTIS MELETOP

The Amazing Spider-Man 2: Ramuan Aksi & Romantik Yang Menjadi



Sebuah filem adiwira ‘reboot’ atau dibikin semula walaupun sudah difilemkan berkali-kali, sebenarnya mudah untuk dijual kerana pengulangan kisahnya yang sama tetapi pendekatan yang mungkin sedikit berbeza serta semakin dikreatifkan. Penonton sudah kenal sedikit-sebanyak mengenai siapakah watak hero dan penjahat serta mungkin menjangka perjalanan ceritanya.

The Amazing Spider-Man 2 (2014) ialah filem sekuel sambungan The Amazing Spider-Man (2012) yang juga merupakan ‘reboot’ kepada trilogi filem Spider-Man (2002, 2004, 2007) iaitu versi arahan Sam Raimi dahulu. Sekuel ke-2 kali ini untuk filem superhero ‘lelaki labah-labah’ masih diarahkan oleh Marc Webb yang juga akan menangani sekuel seterusnya ke-3 dan ke-4 nanti.




Filem ini menyambung kisah remaja watak Peter Parker (Andrew Garfield) yang baru tamat persekolahan serta semakin menyesuaikan status dirinya sebagai Spider-Man iaitu penyelamat orang awam di kota New York. Kekasihnya, Gwen Stacy (Emma Stone) pula bekerja secara sambilan di Oscorp Industries sementara menunggu tawaran menyambung pelajaran ke peringkat universiti. Peter masih tinggal bersama makciknya, Aunt May (Sally Field) selepas kematian pakciknya, Uncle Ben dalam filem yang pertama 2012.



Seperti rutin kebanyakan filem superhero, ia dibuka dengan sekuen aksi gempak Spider-Man membantu misi pihak polis untuk menangkap sekumpulan pengganas yang diketuai oleh Aleksei Sytsevich (Paul Giamatti) semasa mencuri sejenis bahan kimia berisiko tinggi, plutonium. Semasa babak genting itulah Spider-Man sempat menyelamatkan seorang pekerja Oscorp Industries yang hampir terbunuh iaitu Max Dillon (Jamie Foxx).

Ditampilkan pula watak kawan lama Peter yang sudah lama terpisah bernama Harry Osborn (Dane DeHaan) iaitu anak orang kaya pemilik tunggal Oscorp Industries iaitu Norman Osborn, yang juga rakan saintis kepada mendiang bapa Peter, Richard Parker. Dalam filem pertama 2012, ibu bapa Peter iaitu Richard dan Mary dikatakan terbunuh dalam tragedi nahas jet peribadi yang terhempas.

Apakah kaitan penampilan watak-watak Aleksei dan Max? Apakah sebenarnya konflik di sebalik hubungan kerja di antara keluarga Peter dan Harry? Ke manakah hala tuju hubungan cinta Peter dan Gwen? Itulah kisah yang dikembangkan di sepanjang penceritaan filem ini.

AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler



The Amazing Spider-Man 2 banyak plot yang hendak diceritakan tetapi sekadar permulaan cabaran yang lebih besar untuk sekuel filem seterusnya. Ia sambungan persoalan dari filem pertamanya dahulu, menyerlahkan situasi sebenar tragedi yang menimpa ibu bapa Peter, Richard dan Mary. Namun begitu, pembongkaran rahsia-rahsia Richard membuka pintu kepada persoalan yang semakin membuak untuk dikembangkan dalam filem sekuel-sekuel nanti.

Kepulangan Harry pula menyambung kuasa teknologi warisan ayahnya sekaligus meneruskan sengketa kepada keluarga Peter kerana keperluan kajian genetik di Oscorp Industries. Kini, Harry dan Peter digambarkan sekali lagi hubungan kawan baik yang tercemar seperti hubungan bapa mereka dahulu.

Waktu yang sama, plot cinta Peter dan Gwen didewasakan berbanding zaman keanak-anakan persekolahan dahulu. Peter yang semakin matang dengan kuasa Spider-Man semakin sebok dengan tugasan membantu orang awam sebagai superhero. Penonton perlu tahu ‘janji’ Peter kepada mendiang ayah Gwen, Captain George Stacy (Denis Leary) dalam filem terdahulu untuk memahami kenapa Peter semakin menjauhkan diri dari Gwen.



Plot filem kali ini bersilih-ganti kisah kekeluargaan dan hubungan peribadi Peter dengan cerita menentang seteru jahat besar yang ditampilkan untuk sebuah filem superhero dari komik Marvel. Ada 3 kuasa lawan kepada Spider-Man iaitu Electro, Green Goblin dan Rhino. Yang lebih ditonjolkan ialah bagaimana asal-usul penciptaan Electro dari seorang lelaki yang naif lurus bendul serta peminat tegar Spider-Man sendiri. Begitu juga puncanya tumbesaran mutasi oleh Harry ke bentuk Green Goblin.

Sekali lagi, seperti formula sains yang disudahkan oleh Peter sendiri dalam filem 2012 sehingga terciptanya watak Lizard, kali ini ketidaksanggupan Peter membantu Harry untuk memulihkan penyakitnya menjadi dendam kesumat pula oleh Green Goblin kepada Spider-Man.

Kawan menjadi lawan. Peter Parker / Spider-Man yang akan dipersalahkan sehingga tercetusnya peperangan sengit yang bakal dikembangkan lagi dan lagi. Itulah modal utama pembikinan siri filem ‘reboot’ The Amazing Spider-Man yang akan dijual bagi memberanakkan keuntungan maksima pemasaran filemnya.



Perihal yang boleh dipuji sudah tentulah lakonan beremosi dan beraksi stunt sendiri oleh Andrew Garfield yang berjaya menggalas watak Peter Parker / Spider-Man dengan bagus. Emma Stone pula setanding digandingkan sebagai pasangan sidekick watak Gwen Stacy yang bukan sekadar berwajah cantik tetapi mempunyai strategi cerdik dan berani untuk membantu Spider-Man melawan Electro. Anda akan dikejutkan dengan plot tragedi di akhirnya.

Adakah ia akan memberi ruang kemunculan watak Mary Jane Watson dalam filem, filem, filem sekuel akan datang? Siapa tahu kan?

Kekuatan perwatakan Harry Osborn lakonan Dane DeHaan juga antara yang menarik untuk diikuti dan sebagai taruhan utama watak ketua penjahat, Green Goblin yang terbaru dan terkini selepas ayahnya, Norman Osborn. Dek kerana cabang plot yang terlalu berselirat, kisah watak Max Dillon / Electro oleh Jamie Foxx terasa kadangkala terkebelakang. Namun begitu, perlawanan Spider-Man vs Electro antara yang terbaiklah sebagai babak finale.



Dari sudut teknikal, aksi-aksi bergayut dan berpaut ke sana-sini di sekitar kota New York oleh Spider-Man versi Andrew Garfield kelihatan ‘hidup’ kerana katanya ia dibikin secara lakonan stunt dengan sedikit bantuan imej janaan komputer (CGI) sahaja berbanding versi trilogi Spider-Man lakonan Tobey Maguire dahulu yang sangat kelihatan ‘penipuan’ imej komputer. Kan?

KESIMPULAN

The Amazing Spider-Man 2 wajar ditonton tanpa terlalu serius seperti juga santainya watak Spider-Man berceloteh lucu di sebalik topeng tanpa hidung dan mulut semasa dia beraksi menentang penjenayah. Sementara menunggu filem sekuan seterusnya, saya berikan dahulu yang kedua ini 4 bintang.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP