ARTIS MELETOP
Aqasha semakin cerewet?
PENGALAMAN banyak mengajar Aqasha agar lebih teliti dalam memilih watak yang bakal dilakonkan.
MENERIMA gelaran Pelakon Pembantu Terbaik menerusi karya arahan Namron pada Anugerah Seni Boh Cameronian Ke-11 baru-baru ini, Aqasha kelihatan amat terkejut memandangkan pengalamannya yang masih mentah di pentas teater.
Mengalahkan dua nama lain yang sememangnya sinonim dengan seni persembahan tersebut, Aqasha tidak menduga penampilan sulungnya dalam Teater Kompilasi Namron membawa tuah kerana majlis berkenaan mengiktiraf aktivis teater yang tersohor.
"Jauh daripada sangkaan saya untuk menggenggam trofi ini. Maklumlah baru setahun jagung. Apapun, bersyukur atas pemberian ini dan terima kasih kepada Kakiseni selaku penganjur majlis ini," katanya mengulas kemenangan tersebut.
Di kesempatan tersebut, Hits turut bertanya adakah Aqasha atau nama sebenarnya Firdee Akassya Rosli, 32, telah meninggalkan dunia lakonan komersial dan beralih ke pentas teater?
"Teater juga adalah salah satu cabang seni. Saya sengaja mencuba untuk mempelbagaikan portfolio kreatif saya, apatah lagi Namron yang menawarkannya.
"Ia adalah peluang keemasan untuk bekerjasama dengan nama besar di pentas teater dan tidak akan dilepaskan begitu sahaja. Pun begitu, saya tidaklah menolak terus tawaran menjayakan drama ataupun filem. Cuma belum ada watak yang sesuai sahaja," jelasnya.
Justeru, Aqasha menambah, dia kini lebih selesa bekerja di sebalik tabir. Terbaharu, dalam pembikinan filem Bangunan, Aqasha bertindak selaku pengarah skor muzik dan teruja melakukannya.
"Saya seronok menimba pengalaman baharu di belakang tabir. Sekurang-kurangnya saya mampu mengembangkan pelbagai bakat saya," katanya.
Dalam pada itu, Aqasha mengakui bahawa dia begitu cerewet untuk menerima sebarang tawaran lakonan jika skrip atau watak yang diberikan tidak mampu menarik minatnya.
Ditanya adakah sikap tuntutan yang ditunjukkan itu akan membunuh karier seninya, namun Aqasha berasakan tindakannya itu adalah wajar memandangkan usianya yang semakin meningkat dan perlu menilai setiap tawaran yang diterima.
"Sebenarnya, saya bukanlah demand (tuntutan) tanpa sebarang sebab yang munasabah. Akan tetapi ia bersesuaian dengan status saya sebagai seorang suami dan juga ayah kepada dua cahaya mata.
"Setiap watak yang dilakonkan akan memberikan persepsi berbeza kepada penonton dan peminat. Sebab itulah saya begitu memilih supaya tidak terkena tempias atau badi watak yang dibawa.
"Banyak hati perlu dijaga terutama isteri saya. Watak Mat Romeo atau kasanova adalah sesuatu yang perlu dielak. Saya lebih tertarik untuk membawa watak yang lebih mencabar dan mampu menonjolkan kewibawaan saya sebagai pelakon," katanya menjelaskan keadaan sebenar.
Mengimbas semula pembabitannya dalam bidang seni lakon, kata Aqasha dia menceburi bidang seni sebagai penyanyi sekitar 2000 dan mula menceburi dunia lakonan dua tahun kemudian.
"Pembabitan saya dalam filem Embun membuka ruang untuk saya terus menceburi bidang lakonan. Selepas itu saya menerima pelbagai tawaran daripada pelbagai produksi bagi menjayakan drama mahupun filem terbitan mereka," kata jejaka berwajah iras orang Jepun itu.
Pun begitu, setelah lebih 10 tahun aktif di kaca televisyen dan layar lebar, kelibat Aqasha semakin berkurangan, ditambah pula selepas dia mendirikan rumah tangga pada 2010.
0 comments:
Post a Comment