Loading...
Sunday, May 18, 2014

Interpretasi Fonetik Anak Candal


ARTIS MELETOP

Interpretasi Fonetik Anak Candal


STUDIO yang dihiasi dengan lukisan dan susun atur perabot yang unik, memberi gambaran jelas mengenai kumpulan ini. Ia menggambarkan kumpulan ini mempunyai jiwa yang halus dan cita rasa yang berlainan apabila berceritera tentang muzik.

Diberi peluang untuk mendengar beberapa buah lagu yang disampaikan oleh kumpulan ini, memberikan perspektif baharu mengenai muzik.

Lagu yang disampaikan sangat menusuk jiwa sehingga timbul persoalan tentang kenapa kumpulan yang sangat berpotensi ini tidak diketengahkan.

Sememangnya lima orang anak muda yang terdiri daripada Ilham (vokalis), Yasin (dram), Masrin (bes), Zahar (gitar) dan Hidayat (gitar) mempunyai bakat yang besar untuk diketengahkan.




(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});

Melihat kesungguhan mereka, ia membuktikan mereka telah bersedia untuk menempuh arena muzik tanah air yang mencabar kini.

Mungkin agak jarang kita dengar nama Pita Hati dalam arus perdana muzik semasa.

Namun, misi dan cita-cita besar lima anak muda di bawah payung syarikat rakaman Luncai Emas ini menampakkan mereka serius dan komited untuk menambat hati seluruh peminat muzik tanah air dengan kelainan yang dibawa mereka.

Walaupun boleh dikatakan masih hijau dalam industri muzik tanah air, setahun sudah cukup untuk mereka menghasilkan sebuah album perdana bertajuk Fonetik Anak Candal.


PITA HATI percaya aktiviti jelajah bertemu peminat di seluruh negara merupakan langkah paling efisien bagi memperkenalkan muzik mereka kepada peminat.

Apabila ditanya konsep dan pendekatan yang dibawa oleh Pita Hati, lima orang anak muda itu mempunyai jawapan dalam menentukan haluan tuju yang konkrit untuk menempa nama dalam industri muzik tanah air.

"Apabila bercakap mengenai genre yang dibawa, kami lebih selesa dengan konsep yang bebas dan tidak terikat. Kami lebih menekankan kepada konsep pengisian lirik itu sendiri.

"Kami juga suka bereksperimentasi dengan pelbagai genre bagi membentuk sebuah aliran baharu ataupun revolusi dalam pembangunan arus muzik sekarang ini," ujar Ilham selaku vokalis Pita Hati pada sesi sidang akhbar di Studio Ara Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Fonetik Anak Candal

Bercerita mengenai Fonetik Anak Candal, Ilham menjelaskan, album tersebut memuatkan sebanyak 10 buah lagu termasuk Krisendo Slendro, Nafas, Cahaya Dalam Buta, Hati-Hati Ahmad, Olivia, Burung Dalam Kaca, Bicara Dan Susun kata dan Bintang Biru Kristal Salju.

Mereka juga mempunyai alasan sendiri sebab memilih tajuk tersebut untuk dilakarkan dalam album terbaharu mereka.

Jelas Ilham, Fonetik Anak Candal sememangnya membawa makna yang besar kepada kumpulan tersebut.

"Fonetik membawa maksud ilmu bahasa (linguistik) yang berkaitan dengan penyebutan kata dan lambang menunjukkan sebutan manakala Anak Candal membawa maksud anak yang buruk.

"Secara maksud yang jelas, lagu yang disampaikan bermain dengan kata-kata dan lirik yang sangat mendalam dan mampu memberi kesan kepada pendengar," ujarnya.

Ketika ditanya cabaran ketika merakamkan album tersebut, Ilham menjelaskan, lagu Bicara merupakan lagu yang paling mencabar semasa sesi rakaman dilakukan. Lagu tersebut menyelitkan unsur melankolik.


ILHAM menegaskan dia mahu Pita Hati bergerak tanpa dibayangi populariti M. Nasir.

"Kami sangat menekankan pengisian kepada lirik itu sendiri, elemen seperti sindiran dan kritikan diselitkan untuk memberikan jiwa kepada lagu membuatkan lagu tersebut bukan biasa-biasa, malah mampu memberi input kepada pendengar.

"Lagu ini juga menceritakan tentang perjalanan minda. Ia seperti sebuah monolog kerana liriknya merupakan interaksi antara manusia," ujarnya.

Beritahu Masrin pula, sepanjang album itu dihasilkan, mereka cukup serius dan komited walaupun mempunyai masalah kekangan kewangan.

Katanya: "Kami harap album ini dapat diterima ramai. Hasil usaha kerja yang kami lakukan adalah untuk mendapatkan kualiti yang terbaik."

Siri jelajah

Sementara itu, kumpulan tersebut akan mengadakan siri jelajah ke 10 lokasi di seluruh negara termasuk Singapura bagi mempromosikan album mereka pada Jun depan.

Antara negeri yang sudah disenaraikan dalam jadual mereka termasuk Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Kuala Lumpur, Selangor.

Ujar lham, di samping mempromosikan album, siri jelajah tersebut merupakan salah satu inisiatif supaya mereka lebih dikenali melalui penampilan di semua lokasi di seluruh Malaysia.

"Kami ingin memperbanyakkan penampilan supaya bukan orang di ibu kota sahaja mengenali kami, malah di seluruh Malaysia.

"Mungkin dengan penampilan kami juga, ia mampu memberi kami sedikit maklumat mengenai setakat mana muzik kami diterima oleh peminat muzik tempatan," ujarnya.

Ilham menambah, walaupun mengakui medium baharu menjadi pilihan utama masyarakat kini untuk mendengar muzik mereka tetapi dia merasakan ia tidak mampu memuaskan hati mereka bersama peminat.

"Jualan album kami juga banyak dijual melalui laman sosial Facebook dan Instagram, namun saya merasakan ia tidak cukup dan kami perlu turun padang untuk mempromosikan album kami supaya lebih dikenali, bukan sekadar di alam maya sahaja," katanya.


MASRIN merupakan salah seorang anak M. Nasir yang menganggotai Pita Hati, selain Yassin dan Hidayat.

Bukan M. Nasir

Kumpulan tersebut berasa gembira apabila muzik lagu yang dibawakan mereka tidak dibayangi populariti Datuk M. Nasir walaupun tiga anggotanya merupakan anak kepada seniman itu.

Ilham berkata, sejak menubuhkan Pita Hati dua tahun lalu, dia bersama dua saudara kandungnya, Yassin (dram) dan Hidayat (gitar) mahu mengelak daripada bayangan bapa mereka.

Katanya, penghasilan album EP berjudul Bintang Biru Kristal Salju sebelum ini sebagai bukti mereka langsung tidak mengaitkan nama M. Nasir dalam memberikan respons terhadap EP berkenaan.

"Kami memang sedaya upaya mahu mengelak daripada bayangan ayah kami kerana rasa tidak adil pula buat dua ahli lain.

"Bagaimanapun, Alhamdulillah kerana sejak muncul dengan album EP dua tahun lalu, respons yang diberikan tiada kaitan langsung dengan M.Nasir. Kiranya kami berjaya," kata Ilham sambil ketawa.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP