Loading...
Sunday, May 4, 2014

Kontroversi matangkan Amyra


ARTIS MELETOP

Kontroversi matangkan Amyra


MASIH digelar pendatang baharu, Amyra cepat memanjat populariti. Dia yang hanya dikenali menerusi drama Ku Cinta Kau Seorang kini bergelar Duta Aura White.

AWAL kemunculannya, Amyra Rosli bukanlah satu nama yang sentiasa meniti di bibir ramai. Bagaimanapun, secara tiba-tiba namanya dikenali gara-gara kontroversi yang mengaitkan dia bersama pelakon terkenal Fasha Sandha. Fasha mendakwa Amyra mempunyai masalah disiplin ketika di lokasi penggambaran.

Sebelum itu, tunang Amyra, Dazrin Kamaruddin juga didakwa Fasha mempunyai masalah yang sama.

Biarpun perkara itu sudah berlalu, pelakon Ku Cinta Kau Seorang itu mengakui ia satu pengajaran buat dirinya sebagai pendatang baharu.

"Saya anggap isu sebegitu asam garam dalam dunia hiburan. Itu semua salah faham sahaja.

"Perkara tersebut sebenarnya banyak mengajar saya dan menjadikan saya semakin matang," tutur pemilik nama sebenar Nur Amira Izzati Rosli itu.




Menurut pelakon berumur 23 tahun itu, dia bersedia untuk bekerjasama dengan Fasha jika diberi peluang lagi.

"Tiada apa-apa pergaduhan pun antara kami. Saya belum lagi berkesempatan untuk berjumpa dengannya ekoran kekangan masa, tetapi saya ada menelefonnya untuk bercakap mengenai perkara itu," kongsinya.

Tambah Amyra, dia juga bersikap terbuka dan tidak kisah jika ada individu yang ingin memberikan teguran demi kebaikan bersama.

"Saya sendiri pun selalu ditegur keluarga. Jadi, tak salah kalau saya ditegur oleh seorang yang boleh dianggap kakak. Apatah lagi saya ini pendatang baharu," tuturnya.

Bercakap tentang perancangan hidup, Amyra mendedahkan bahawa dia sudah bersedia untuk bergelar isteri kepada Dazrin.

Kata Amyra, usia muda tidak menjadi penghalang buatnya untuk mendirikan rumah tangga.

"Umur bukan satu masalah besar. Ibu dan nenek saya dulu pun berkahwin muda," kongsinya.

Ketika ditebak soalan mengenai tarikh majlis perkahwinannya nanti, Amyra memberitahu, dia akan membuat pengumuman mengenai perkara itu apabila segala persiapan sudah dibuat.

"Saya akan umumkan nanti. Insya-Allah dalam tahun ini juga, paling lewat pun tahun hadapan. Tak boleh nak cakap sekarang sebab hal ini melibatkan pihak lelaki juga," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran duta baharu Aura White Beauty di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Amyra yang dilantik sebagai duta baharu produk penjagaan kulit Aura White turut melahirkan rasa syukur dengan rezeki yang diterimanya.

"Sebenarnya sebelum saya terima pelawaan untuk menjadi duta ini, saya sudah berfikir dalam-dalam. Tidak semua perkara boleh diambil mudah untuk bersetuju menjadi jurucakap produk.

"Tapi saya fikir tak salah kalau saya cuba untuk menggalas tanggungjawab itu. Sebelum dilantik menjadi duta pun, memang saya sudah menjadi pengguna produk berkenaan. Sempatlah juga habis enam botol," katanya.

Selain Amyra, pelakon Natasha Hudson turut dilantik menjadi duta bagi rangkaian produk minuman kolagen Aura White Beauty.

Kedua-dua mereka menandatangani kontrak perjanjian sebagai duta Aura White Beauty selama setahun bermula 1 Mei 2014.

Pengumuman yang dibuat pengasas produk, Furyna Azmeer itu sekali gus menjawab segala teka-teki yang bermain selama ini mengenai individu yang bakal menggantikan duta Aura White terdahulu, pelakon Hanez Suraya.

Sejak Hanez dilanda kontroversi mengaitkan dirinya sebagai perampas suami orang, dia dikatakan bertindak mengundurkan diri daripada terus menjadi Duta Aura White.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP