Loading...
Thursday, May 1, 2014

AC Mizal tolak semua tawaran lakonan


ARTIS MELETOP

AC Mizal tolak semua tawaran lakonan



TANGGAL 29 Mac lalu pastinya memberi erti kesedihan yang tersendiri buat selebriti popular, Datuk AC Mizal apabila dia kehilangan bapa tersayang, Datuk Zaini Md. Hasim.

Allahyarham yang juga merupakan bekas Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, Johor menghembuskan nafas terakhir di Sunway Medical Center, Petaling Jaya, Selangor akibat mengalami masalah jantung.

Berkesempatan bertemu dengan AC Mizal atau pemilik nama sebenar, Mizal Zaini itu pada majlis pelancaran Mface Live di Sunway Pyramid, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini, dia kelihatan tenang menceritakan detik akhir bersama arwah ayah kesayangannya itu.

Dalam pertemuan tersebut juga, AC Mizal turut bercerita kepada ARTISMELETOP! tentang perkembangan terbaharunya dalam bidang seni terutama kariernya sebagai pelakon, penyanyi dan pengacara.




ARTISMELETOP!: Pertama sekali takziah diucapkan kepada Datuk AC Mizal yang baru sahaja kehilangan ayah. Kalau tidak keberatan, bolehkah anda menceritakan tentang detik terakhir sebelum arwah ayah anda menghembuskan nafas terakhir?

AC MIZAL: Sebenarnya, pada hari Sabtu iaitu seminggu sebelum ayah saya meninggal dunia, arwah sudah dimasukkan ke hospital akibat masalah jantung yang dialaminya dan kemudian pembedahan terus dijalankan ke atasnya.

Selepas pembedahan tersebut keadaan arwah dilihat semakin beransur pulih. Namun begitu, pada hari Khamis arwah terpaksa menjalani satu lagi pembedahan segera.

Adakah anda dan ahli keluarga berada bersama-sama dengan arwah ketika menghembuskan nafas terakhir?

Sehari selepas pembedahan kedua dilakukan, kami berjumpa dengan arwah dan dia kelihatan agak baik. Bagaimanapun, selepas solat Jumaat doktor memanggil kami dan menjelaskan bahawa keadaan kesihatan arwah semakin membimbangkan.

Jadi, sepanjang hari tersebut kami memang sentiasa bersama dengannya sehinggalah menghembuskan nafas terakhir. Saya juga ingin mengambil kesempatan terhadap rakan-rakan pelawak, terutamanya pemain pasukan Super Lawak FC yang sanggup datang dari Kuala Lumpur setelah diberitahu keadaan arwah semakin kritikal.

Apakah pesanan terakhir arwah kepada anda sebelum meninggal dunia?

Arwah sekadar berpesan supaya saya sentiasa berfikiran positif dan jangan berhenti mencuba apa sahaja perkara yang dilakukan. Memandangkan arwah baru sahaja pergi meninggalkan kami, jadi perasaan rindu saya terhadapnya masih lagi menebal.

Lagipun, sepanjang hayat saya memang cukup rapat dengannya, biarpun arwah seorang yang tegas dan sangat disiplin memandangkan dia bekas pegawai polis dahulu. Malah, dengan ketegasan dan disiplinnya itu yang membuatkan kehidupan saya berjaya seperti sekarang.

Bagaimanakah perkembangan anda dalam bidang seni pula?

Pada bulan Mac lalu, saya baru sahaja memberikan persetujuan untuk bernaung di bawah artis Sony Music Malaysia, cuma ia belum dibuat secara rasmi lagi dan mungkin satu majlis akan dibuat untuk mengumumkannya.

Tidak dinafikan, pemilihan saya ini dibuat atas faktor kejayaan dua buah lagu sebelum ini iaitu Apo Kono Eh Jang dan Al Haq. Mungkin dalam tempoh terdekat ini, saya bakal merakamkan single baharu dan kini proses mencari lagu sedang dilakukan.

Ketika ini anda dilihat aktif sebagai pengacara dan menyanyi. Adakah anda kini sudah tidak berlakon lagi?

Tidak dinafikan tawaran berlakon dalam drama bersiri, telemovie, filem dan teater memang banyak yang diterima, tetapi disebabkan faktor masa yang membuatkan saya terpaksa menolak segala tawaran tersebut.

Buat masa ini, saya lebih selesa memberikan tumpuan kepada bidang pengacaraan dan nyanyian memandangkan ia tidak terikat dengan masa yang lama, berbanding dengan lakonan yang pastinya mengambil tempoh yang panjang.

Boleh anda jelaskan berkenaan dengan produk terbaharu Mface ini?

Sejak Mface ditubuhkan kira-kira tiga tahun yang lalu, ramai yang sudah sedia maklum bahawa ia merupakan sebuah laman sosial dan mendapat sambutan yang agak menggalakkan daripada orang ramai.

Kini, Mface mewujudkan sebuah lagi cabang yang dikenali sebagai Mface Live yang merupakan radio dalam talian. Pihak Mface membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menjadi penyampai radio serta mendapatkan pendapatan tambahan.

Sesuatu yang menarik tentang radio ini apabila penyampai yang dipilih ini boleh ke udara dari rumah sahaja dan kami akan membekalkan beberapa peralatan seperti mikrofon, kamera dan mixer. Mereka yang ingin mengetahui tentang radio ini boleh melayari laman web dj.mface.me.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP