ARTIS MELETOP
Beraya 360 darjah
CORAK persahabatan dan siapa yang dipilih sebagai sahabat sebenarnya memberi gambaran kepada pendirian dan haluan kerja seseorang pelakon.
DUNIA seni sudah menjadi lembah pemastautinan buat lima nama iaitu Bront Palarae, Azhan Rani, Pekin Ibrahim, Zahiril Adzim dan si bunga yang sedang menguak kelopak, Aisya Hasnaa.
Dalam dunia yang bersimbah glamor itu mereka berkenalan dan bergaul mesra. Mereka menjadikan lopak-lopak lakon dan batas-batas sinema sebagai lokasi berkubang dan bermain bakat.
Di situ juga terbinanya persaudaraan. Silaturahim tambah mahal apabila persahabatan disulami dengan keakraban dan kasih sayang.
Sahabat tidak datang hanya pada musim raya tetapi raya itu sendiri keraian 360 darjah. Selain keluarga yang nombor satu di jiwa, sahabat pula menjadi satu kemestian yang harus ditemui setidak-tidaknya untuk bersapa dan berjabat tangan.
"Macam saya, hari raya pertama saya beraya dengan keluarga. Tapi raya dengan kawan-kawan satu kemestian. Saya masih berkawan dengan kawan masa sekolah dan kawan-kawan yang membesar di kawasan perumahan yang sama.
"Sampai sekarang saya akan meneruskan tradisi itu, bukan kawan sesama pelakon sahaja," kata Zahiril yang menyambut hari raya pertama di Shah Alam, Selangor sebelum pulang ke Ipoh, Perak untuk berhari raya dengan keluarga isteri, Shera Ayob.
"Saya pula akan jumpa kawan-kawan yang sekepala sebelum balik raya atau selepas pulang daripada berhari raya di kampung.
"Dengan Bront, Zahiril dan Azhan, kami jarang jumpa, tetapi kalau dah berjumpa boleh bercerita sampai pagi," kata Pekin pula.
Cakap pasal kawan, Bront di mata Azhan bukan sekadar sahabat bahkan idolanya.
"Bront antara pelakon yang sanggup kotorkan wajahnya walaupun kena guna rumput bagi mencantikkan karakter.
"Saya memang pemuja kawan-kawan pelakon macam Bront, Zahiril dan Pekin. Mereka termasuk dalam kelompok yang layak dihormati.
"Kami jarang dapat bekerjasama dalam sesebuah karya, itu yang bila sesekali dapat berjumpa, mahunya bercerita sampai Subuh," beritahu Azhan.
Satu-satunya bunga dalam kalangan kumbang, Aisya Hasnaa pasrah menjadi bahan usikan. Manja tetapi matang mengendalikan lelaki-lelaki popular yang mempunyai portfolio tersendiri itu, Aisya mengakui dia belum ada kawan baik daripada kalangan artis.
"Saya kenal Bront selepas kami terlibat dengan filem Antara Satu. Raya tahun ini pula, kawan-kawan baik saya mesti tak tahu mana nak pergi sebab kami sekeluarga beraya di Pulau Pinang," ucap si pelakon Romi Cinta Julia itu ceria.
Pertama kali menggabungkan lima pelakon yang masing-masing mempunyai pendirian dan kecenderungan yang sama terhadap bidang seni yang diceburi, apa yang terpancar ialah kemesraan tulen dan sikap hormat-menghormati.
Azhan dan Bront dilihat sebagai pengusik nombor satu. Mereka lelaki dewasa yang masih nakal. Selain Aisya, mangsa mereka tentulah Pekin yang baru putus cinta dan si Zahiril yang kuat melatah.
Di layar atau di kaca TV, lima sahabat ini sedaya upaya mahu hebat dalam memberi hiburan kepada khalayak tetapi, berjarak sahaja dari kamera dan lokasi, mereka juga punya normal kehidupan sebagai orang biasa.
Bront memandu balik Hatyai
Jarang bertemu Bront dalam persalinan segak baju Melayu, aktor itu sedikit berisi sejak berumah tangga pada Ogos 2013. Aidilfitri tahun ini menjadi Aidilfitri pertama disambut bersama isteri.
Masih dalam tahun bulan madu, kata Bront, dia dan isteri mahu merasai perjalanan balik ke kampungnya di Hatyai, Thailand dengan memandu sendiri.
"Jadi, perjalanan itu sendiri sudah satu percutian," ujar Bront.
Menariknya kata Bront, episod balik Hatyai dengan memandu kereta itu akan mengingatkan mereka kepada kenangan pada awal percintaan dahulu.
"Dulu, tahun pertama bercinta kami juga memandu untuk balik beraya di Hatyai, kali ini, tahun pertama kahwin, kami memandu juga balik beraya," cerita Bront yang tidak bercuti lama.
Sebaliknya dia bertolak pulang ke Kuala Lumpur sejak hari raya pertama lagi.
"Hati tak senang nak tinggal kerja. Maklumlah, sekarang saya pun dah terkena penyakit orang media, tak mahu ketinggalan dengan perkembangan semasa," katanya yang membuka portal hiburan, Daily Seni sejak setahun lalu.
Azhan suka menyendiri
Beraya di rumah keluarganya di Kuala Kubu Bharu, Selangor, Azhan, 38, ada cara tersendiri menikmati cuti raya yang singkat.
"Hari raya saya sangat simple, selepas solat dan beraya di rumah keluarga ibu bapa, menjelang tengah hari saya balik ke rumah saya sendiri. Rasanya sudah lama saya tidak merasa beraya dari rumah ke rumah.
"Itu juga salah satu cara saya melayan drama-drama best hari raya di televisyen, termasuklah drama lakonan saya sendiri.
"Pada hari raya sahaja saya ada peluang tengok lakonan sendiri, kalau ada," ujar Azhan yang bakal muncul dengan filem Lelaki Harapan Dunia November nanti.
Terlibat dengan tiga buah drama raya termasuklah Seligar, Ecah Cookies Vs Pah Tailor dan Pelita Buluh, Azhan mengakui sejak mula berjinak-jinak dengan lakonan, dia memang mengimpikan peluang untuk berlakon drama raya.
Zahiril seronok tengok keletah anak
Aidilfitri tahun lepas, isterinya Shera Ayob masih dalam pantang selepas melahirkan Nadi Anaqi pada Jun 2013. Raya tahun ini, puteri sulungnya itu sudah berusia setahun sebulan.
"Rasa kelakar pun ada bila tengok baju Anaqi yang comel. Mulanya kami nak beli banyak baju untuk dia, tetapi memikirkan dia tengah membesar, kami beli cukup-cukup sahaja.
Tinggal berselang empat buah rumah sahaja dari rumah ibunya di Shah Alam, pelakon filem Juvana itu berseloroh memberitahu, dia balik kampung hanya dengan berjalan kaki.
"Tahun ini juga raya kami jadi lebih meriah. Kakak saya yang menetap di Jepun pun balik.
"Jadi, rumah ibu yang selama ini sepi bertukar jadi kecoh dengan suara budak-budak," katanya yang dijadualkan menjalani penggambaran bermula esok.
Aisya berkumpul dengan 100 orang sepupu
Cerita raya pelakon kecil molek yang berasal dari Subang, Selangor itu pula berbeza.
Dalam tempoh tujuh tahun, inilah kali pertama dia sekeluarga balik beraya ke rumah nenek sebelah ibunya di Pulau Pinang. Aisya mulanya tidak dapat memberikan gambaran suasana beraya bersama 16 orang adik-beradik ibunya di sana.
"Kami terpaksa menempah hotel kerana rumah nenek pasti penuh. Bayangkan ibu saya ada 16 orang adik-beradik. Kalau hendak dikira, saya ada hampir 100 orang sepupu, hampir semua balik berkumpul di sana, pasti riuh," cerita Aisya.
Terkenangkan suasana sambutan raya sewaktu zaman remaja, Aisya yang mempunyai tujuh adik-beradik selalu diagih-agihkan tugas mengemas rumah oleh ibunya.
"Biasanya kami memilih nak buat kerja yang senang-senang, jadi ibu yang akan aturkan tugasan kami. Tapi, bila sudah dewasa, kami semua seronok.
"Tugas memasak best sebab masing-masing akan ada menu pilihan sendiri," cerita Aisya yang pulang ke Subang selepas hari raya keempat.
Pekin masuk lokasi raya kesembilan
Baru selesai penggambaran filem The Red Warriors sebelum terlibat dengan filem Seludup arahan Jehan Miskin, Pekin pulang ke Kota Bharu untuk beraya dengan keluarga.
"Cuti raya tak boleh lama-lama. Tapi sebelum balik kampung, kena jumpa kawan-kawan di Kuala Lumpur dahulu sebab lepas raya saya akan terus kerja," katanya yang dilamar penerbit yang pernah menghasilkan Bunohan, Nandita Solomon untuk berlakon sebuah filem pendek berjudul The River.
Kata Pekin: "Tahun ini usahkan drama raya, drama biasa pun saya tak boleh buat sebab banyak tawaran ke arah filem.
"Nak tolak sayang sebab dapat watak yang menarik. Asalnya saya sasar dua filem sahaja setahun, tapi saya dah berlakon sembilan buah filem tahun ini."
0 comments:
Post a Comment