Loading...
Thursday, August 7, 2014

Sensasi Alex Goot atasi populariti JLo, Gomez


ARTIS MELETOP

Sensasi Alex Goot atasi populariti JLo, Gomez


Goot telah berjaya mengatasi artis popular termasuk Jennifer lopez, Big Bang, Selena Gomez, Pitbull, dan Pink.

KECANGGIHAN teknologi pada masa kini memberi kelebihan kepada banyak pihak terutamanya pada mereka yang mempunyai bakat besar untuk diketengahkan.

Bahkan mereka tidak perlu menjadi artis ternama atau membuat konsert besar-besaran, namun nama mereka tetap dikenali hanya dengan teknologi di hujung jari.

Malah tidak keterlaluan mengatakan kualiti dan populariti bintang YouTube ini lebih hebat berbanding artis popular sedia ada.

Salah seorang darinya adalah Alex Goot. Bintang berusia 26 tahun ini berjaya menarik perhatian lebih 1.8 juta pengikut di laman YouTube dan video nyanyiannya sudah ditonton hampir 300 juta.

Dengan pengikut yang ramai, Goot telah berjaya mengatasi artis popular termasuk Jennifer lopez, Big Bang, Selena Gomez, Pitbull, dan Pink.

Berasal dari New York, Amerika Syarikat (AS), Goot mula menarik perhatian ramai menerusi lagu yang dinyanyikan semula.

Bukan sahaja mampu menyanyikan semula lagu penyanyi lain dengan baik seperti lagu I Knew You Were Trouble (Taylor Swift), “Just The Way You Are” (Bruno Mars), “Hey Soul Sister” (Train) dan banyak lagi, Goot juga sudah menghasilkan empat album studio.

Selain itu, kelebihan Goot memainkan pelbagai alat muzik menjadikan dia menjadi artis YouTube serba boleh dan tidak hairanlah video-video yang dimuat turunnya mampu menarik jutaan penonton.

Bakatnya bukan sahaja diakui oleh peminat, malah pada 2011 Goot berjaya menggondol trofi Best Fan Cover pada anugerah MTV O Music Awards I menerusi lagu nyanyian semula Hold It Against Me (Britney Spears).

Manakala tahun lalu, dia tercalon dalam 3rd Streamy Awards menerusi kategori Lagu Asal Terbaik - “Lightning”.


Tidak buru populariti

Bercakap mengenai populariti bintang YouTube, Goot menegaskan, dia tidak pernah menyasarkan untuk menjadi popular dan video-video yang di muat naiknya hanya sekadar suka-suka.

"Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi popular. Saya hanya fikir lagu apa yang saya mahu nyanyikan, alat muzik apa yang saya ingin mainkan.

"Bila saya mendapat ilham saya hanya lakukan tanpa mengharap ia akan menjadi popular atau dikenali ramai. Apa yang penting saya enjoy dengan apa yang saya lakukan," katanya.

Goot berkata, namun apa yang penting, sasarannya adalah untuk mendapat ramai kawan yang menyukai muzik dan menyukai apa yang dilakukannya.


Bakal ke Malaysia

Bagi anda yang ingin menemui Goot dengan lebih dekat, impian tersebut bakal menjadi kenyataan kerana, Goot bakal ke Malaysia pada 24 Ogos ini.

Goot bakal diiringi band Against The Current, yang dianggotai Chrissy Constanza, Dan Gow, dan Will Ferri

Bakal membuat persembahan di Auditorium Muzik Bentley, Wisma Muzik Bentley, Mutiara Damansara pada jam 4 petang, konsert mini tersebut hanya mengehadkan 1,000 tetamu dan difahamkan kini hanya tiket ‘standard’ saja yang tinggal.

Tiket berharga RM85 masih boleh didapati dengan membeli secara talian di laman web www.tickethotline.com.




0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP