ARTIS MELETOP
Liyana Jasmay Belum Mampu Tinggalkan Anak
Pelakon Liyana Jasmay mengakui sukar untuk mengambil tawaran berlakon selepas mempunyai cahaya mata, Sofia Arissa yang kini berusia 3 bulan.
Liyana, 25, berkata, dia masih tidak boleh berpisah dengan anak sulungnya itu dalam tempoh lebih daripada 12 jam.
"Sekarang usia dia masih terlalu kecil dan masih menyusu badan lagi, jadi tidak boleh tinggal dia lama-lama.
"Kalau ada tawaran pun terpaksa dipertimbangkan sebab saya tak mahu kerana saya nak balik awal akan menyusahkan artis lain dan produksi melainkan ia adalah syarikat produksi saya sendiri," ujarnya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka dan akikah Sofia Arissa, di kediaman mertuanya di sini, Sabtu.
Majlis yang bermula pada pukul 11 pagi itu turut dihadiri keluarga dan teman rapatnya iaitu pelakon Lisa Surihani.
Liyana Jasmay bersama tetamu yang hadir pada majlis Aqiqah Sofia Arissa.
Dalam pada itu, Liyana baharu sahaja menamatkan penggambaran telefilem berjudul Hatiku Di Krabi yang telah menjalankan penggambaran di Krabi, Thailand terbitan syarikatnya iaitu Mermaid Studios selama seminggu.
Katanya, pengalaman seminggu menjalani penggambaran itu membuatkan dia sentiasa memikirkan tentang keadaan anak yang ditinggalkan bersama ibunya.
"Saya buat perancangan untuk penggambaran itu ketika waktu mengandung lagi dan saya fikir tiada masalah kerana saya hanya tinggalkan dia hanya seminggu sahaja.
"Bila anak sudah ada depan mata ini lain pula perasaannya, rasa berat sangat hati nak tinggalkan dia lama-lama, lagi pula dia masih menyusu badan," ujarnya.
Liyana dan suami sibuk melayan tetamu yang hadir.
Bagaimanapun, dia mungkin akan kembali aktif berlakon semula selepas anaknya berusia lebih enam bulan dan sudah boleh menerima makanan.
Sementara itu, Liyana berkata, dia dalam proses untuk mencari pembantu rumah bagi membantunya melakukan kerja-kerja rumah apabila kembali ke Sabah mengikut suami.
"Saya memang tidak percaya dan bimbang dengan kes-kes pembantu rumah sebelum ini, tetapi saya sentiasa ada dengan Sofea biarpun adanya pembantu rumah.
"Saya perlukan pembantu rumah untuk membantu saya melakukan kerja rumah bila saya balik ke Sabah nanti," ujarnya.
0 comments:
Post a Comment