ARTIS MELETOP
Nora Danish kalis kontroversi
SIAPA yang tidak mengenali aktres cantik, Nora Mohd Danish Hanif, 32, atau Nora Danish yang bukan sahaja memiliki pakej lengkap sebagai selebriti bahkan menjadi idaman ramai jejaka di luar sana.
Merupakan antara artis yang sering menjadi tumpuan ramai, baik menerusi laman sosial mahupun dunia realiti, apa sahaja yang dilakukan oleh pelakon kelahiran Kuala Terengganu ini pasti akan menjadi bualan.
Turut memikul gelaran status ibu tunggal sejak enam tahun lalu, ia bagaimanapun tidak menjadi bebanan atau penghalang untuknya berjaya dalam bidang seni. Buktinya, sehingga kini aktres kacukan Myanmar ini masih laku di layar perak dan juga televisyen.
Pengantin Malam, Aku Terima Nikahnya, Bencinta merupakan antara filem lakonannya yang cukup hebat dan mampu meletakkannya sebagai pelakon dengan kelas tersendiri.
Namun di sebalik kejayaannya itu, penyandang gelaran 'Hot Chick Award' menerusi Shout! Awards ini bagaimanapun tidak dapat lari dari bermacam kontroversi.
Siapa sangka, tindakannya memuat naik gambar mesra bersama Farid Kamil bagi tujuan mempromosikan filem mereka (Pengantin Malam), mengundang kemarahan isteri aktor tersebut, Diana Danielle, sekali gus menjadi 'viral' di laman sosial.
Tak terkecuali kisah cintanya bersama anak menteri, Nedim Nazri, yang dilihat semakin intim sejak tahun lalu. Agak terbuka memuat naik gambar mesra mereka di laman sosial, maka tidak hairanlah aktres genit ini menerima kritikan hebat oleh peminat, termasuk golongan 'hatters'.
Tidak mudah melatah dengan kecaman yang diterima, ibu kepada Putra Rayqal ini, nampaknya semakin 'kebal' dengan apa sahaja kontroversi yang tiba.
Malah dia juga semakin matang berdepan situasi itu. Mengambil jalan selamat, Nora yang ditemui baru-baru ini nampaknya lebih senang berkongsi soal kerjayanya berbanding kisah cinta atau peribadinya. "Saya tidak mahu komen apa-apa berkaitan dengan peribadi dan mahu tumpukan perhatian pada kerjaya lakonan.
"Lagipun saya baru sahaja melancarkan koleksi busana raya untuk Aidilfitri tahun ini," ujarnya.
Terokai bidang baharu
Biarpun sering dilanda kontroversi, aktres cantik ini tetap optimis memajukan dirinya dengan menerokai bidang perniagaan. Baru sahaja selesai melancarkan koleksi busana untuk Hari Raya, Nora Danish semakin sibuk mempromosikan ‘Koleksi Capsule’ hasil kolaborasi dengan FashionValet yang menampilkan lapan rekaan.
"Dalam lapan busana ini, salah satunya adalah jubah dan ianya sesuai bukan sahaja dipakai pada hari raya sahaja tetapi hari biasa juga.
"Semuanya bertemakan hitam putih hasil daripada idea saya sendiri," jelas Nora.
Berdasarkan pengalaman rayanya sebelum ini, Nora berkata idea tersebut dapat direalisasikan selepas berkolaborasi dengan FashionValet dan dijual secara online.
"Semuanya bermula tiga bulan lalu, hasil perbincangan kedua belah pihak, kami bersetuju memilih lapan busana daripada 20 rekaan asal.
"Biarpun tiada pengalaman dalam bidang rekaan, saya ada membantu untuk mereka beberapa baju dengan bantuan kakitangan FashionValet," katanya.
Katanya, mulanya terdapat 100 pilihan, mereka kemudiannya hanya memilih lapan rekaan yang terbaik yang mana lapan koleksi tersebut.
Antaranya adalah Koleksi Anggerik, Cempaka, Dahlia, Teratai, Melati, Orkid, Melur dan Kemboja dengan harga yang amat berpatutan iaitu harga bermula RM150 sehingga RM250 saja.
Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, dia berkata merancang untuk membuka butik busananya sendiri di masa hadapan.
"Semuanya masih dalam perancangan. Jika diizinkan ALLAH SWT, insya-ALLAH saya akan merealisasikan impian ini dalam masa terdekat.
"Buat masa sekarang, baju rekaan saya boleh didapati menerusi home page FashionVallet.
"Lagipun saya rasa sangat seronok dengan sambutan yang diterima. Bahkan teruja untuk mereka banyak lagi busana lain untuk acara kasual dan santai," katanya,
Beraya di Kajang
Berkongsi mengenai sambutan lebaran kali ini, Nora berkata keluarganya tidak suka membazir.
Katanya, sejak kehilangan bapa ketika umurnya 12 tahun, dia lebih senang menyambutnya secara ringkas seperti tahun-tahun terdahulu.
"Lagipun saya hanya ada dua beradik sahaja jadi sambutan tidaklah semeriah orang lain.
"Selepas bapa meninggal dunia, keluarga kami hanya menyambutnya secara ala kadar sahaja," katanya.
Tambah Nora, bilangan keluarga yang kecil dan membesar di kota raya membuatkannya sudah terbiasa dengan situasi tersebut. Meskipun sudah berpisah dengan bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli, sejak enam tahun lalu, Nora berkata, dia tetap mengunjungi keluarga bekas mertuanya di pagi Syawal.
"Ia seperti tradisi setiap tahun bagi kami berdua (Rayqal) melawat keluarga bekas mertua dan rakan-rakan lama.
"Tahun ini, saya akan melawat sahabat lam di Kajang bagi mengeratkan hubungan silaturahim," katanya.
Baginya, kunjungan tersebut dilakukan setiap tahun kerana lebih meriah berbanding sambutan di rumahnya sendiri.
"Kebanyakan rakan saya bekerja dan kami hanya dapat berkumpul beramai-ramai ketika Syawal sahaja.
"Jadi saya mengambil kesempatan ini melawat mereka kerana ia merupakan masa yang sesuai untuk bertemu," ujarnya.
Tambahan pula, Nora berkata kemeriahan sambutan raya lebih terasa sekiranya dapat berjumpa dengan rakan-rakan berbanding suasana raya di rumah sendiri.
"Bayangkan anak saudara pula hanya dua orang jika di campur kesemuanya tidak sampai sepuluh orang.
"Sebab itulah kemeriahan hari raya lebih terasa jika saya beraya di luar berbanding di rumah," ujarnya sambil ketawa.
Baginya, suasana raya di kampung lebih meriah dan seronok kerana masih lagi mengekalkan adat berkunjung ke rumah jiran tetangga dan aktiviti bermain bunga api di malam hari.
"Biarpun menetap di kota, saya lebih suka sambutan di kampung memandangkan saya membesar di Kuala Lumpur.
"Lagipun saya tiada kampung dan hanya mampu merasai suasana beraya di kampung ketika menjalani penggambaran sahaja," ujarnya yang memperbanyakkan aktiviti kebajikan sepanjang bulan Ramadan lalu.
Terkenang arwah bapa
Bercerita pula mengenai pengalaman manis ketika Aidilfitri, Nora berkata dia pernah mengumpul duit raya mencecah ribuan ringgit ketika kecil.
"Memandangkan saya anak kesayangan kedua ibu bapa, maka duit raya yang diperoleh agak banyak.
"Lagipun saya tiada banyak karenah atau ragam, mungkin sebab itu ramai yang bermurah hati bagi duit raya," katanya sambil ketawa.
Setiap kali melihat anak-anak bermain bunga api, Nora berkata, dia sering terkenangkan arwah bapanya yang dulu sentiasa menemaninya bermain bunga api.
"Dulu raya, mesti ada bunga api dan kanak-kanaklah yang paling seronok. Saya pun sempat merasai perang bunga api dengan jiran tetangga hanya beberapa tahun sahaja.
"Malam sebelum raya, kami akan bermain sepuas-puasnya sehingga bunga api habis," katanya.
Ditanya mengenai kuih kegemarannya pula, Nora memberitahu, dia sangat menggemari biskut tradisional, bangkit.
"Apa yang saya suka mengenai biskut ini, ia tidak terlalu manis dan hancur dalam mulut apabila dimakan.
"Juadah yang paling ditunggu pula, ketupat dan lemang yang hanya didapati ketika musim perayaan sahaja," katanya.
0 comments:
Post a Comment