Loading...
Saturday, August 9, 2014

Genggam emosi Biduanita Negara Nabila Huda


ARTIS MELETOP

Genggam emosi Biduanita Negara Nabila Huda


DIA mahu tahu tapi tidak tergerak hati untuk mendesak sebuah kepastian. Lalu, tuntutan sebuah watak legenda negara yang diserahkan dalam dakapannya ditatang sungguh-sungguh. Emosi seluruh jiwa raganya dianyam cermat, biar melekat jangan ada yang berselerak.

"Karakter beremosi, menangis, sedih, marah, bahagia, gembira dan kecewa, itu makanan saya, tetapi jangan suruh saya menyanyi, menari atau miming lagu-lagu era 1970-an. Itulah yang saya kena lakukan untuk menjadi Saloma, satu tugasan paling hebat, paling berat yang pernah saya jayakan.

"Ini cerita epik pertama, selama ini saya hanya berlakon watak-watak moden," terbutir pengakuan paling ikhlas dari bibir aktres bernama Nabila Huda.

Bukan aktres yang kaya dengan gelaran pelakon metod, Nabila secara mudahnya mengakui, kerja lakonannya kali ini bukan enteng. Tidak senang untuk seorang anak generasi 1980-an meniru sifat lahiriah dan mendekati batiniah seorang legenda bernama Biduanita Negara, Puan Sri Saloma. Bukan senang untuk sebuah nama besar itu dijelmakan tanpa rujukan yang tepat.

"Mulanya saya ketawa apabila dipanggil untuk uji bakat. Saya dah hampir nak buat alasan sebab tak mahu pergi uji bakat jadi Saloma. Tahap keyakinan diri saya tak sampai tahap nak bawa watak Saloma.

"Beliau ikon, seorang diva dan pada zamannya, beliau bintang ternama bertaraf antarabangsa. Saya pula hanya pernah melihatnya menerusi filem-filem Melayu klasik, filem P. Ramlee. Sisi karakternya tidak banyak kecuali nyanyian. Saya takut dan sangat berdebar, sebab saya pula bukanlah pelakon metod. Apa yang saya buat, saya cuba buat-buat normal dan cuba jadikan kerja itu seronok," ujar Nabila.

Tanpa Melissa Saila, Seniwati Mariani, seorang lagi anaknya Shasha dan semua yang terlibat di belakang tabir, Nabila mengakui, mati hidup semula pun, dia tidak akan mampu melakonkan watak Saloma.

"Tanpa Kak Lis, tiada siapa yang lebih afdal lagi untuk mengarahkan filem ini. Mereka penyambung legasi Saloma. Saya juga tidak terkilan apabila karya besar seperti biografi Saloma ini hanya ditayangkan di kaca televisyen, bukan di layar besar. Layar perak hanya akan merumitkan filem Saloma, tapi untuk televisyen, filem itu dibahagikan kepada dua bahagian, lebih banyak masa untuk dihayati," kata Nabila.


TEGAS dengan cara sendiri, Nabila tidak hanya berhati-hati bahkan dia sudah nekad berkata 'tidak' kepada perkongsian cerita ataupun gambar yang bersifat peribadi.

Tidak tahu menari, menyanyi

Larut dalam kenangan yang diceritakan orang, pembacaan dan rujukan menerusi filem dan YouTube serta pengalaman berada di lokasi Saloma Biopic selama sebulan penggambaran di Pulau Pinang, hari ini Nabila sudah bersedia untuk ditonton sebagai Saloma.

Ajukan semula dialog-dialog yang pernah dilontarkan dalam lakonan, rambutnya, alis matanya, lenggok jalan dan bahasa tubuhnya, serta hampir semua dari hujung rambut sampai ke hujung kaki, dia sedang menyerupai isteri ketiga Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu.

"Saloma sangat mementingkan kecantikan, dia gemar menyimpan kuku panjang. Sampai dekat akhir hayatnya, dia ada meluahkan kebimbangan tentang kecantikan kukunya. Dahulu perkara itu pernah menjadi kontroversi dan kisah itu ada diselitkan dalam naskhah ini," pengkisahan Nabila mengenai filem Saloma Biopic yang bakal menemui penonton di saluran Astro First Eksklusif 28 Ogos nanti.

"Saya sebenarnya sangat tertekan membawakan watak ini. Paling tertekan apabila kena menyanyi dan menghafal lirik-lirik lagu yang pernah dinyanyikan Saloma. Memang saya cuma miming tapi tetap kena hafal lirik. Menyanyi pula kena menari. Dalam menari tu pula ada peringkat-peringkat usia, usia remaja, dewasa dan tua. Semuanya ada emosi dan pergerakan yang berlainan.

"Masuk sahaja babak menyanyi dan menari, setiap kali itulah saya kena tahan telinga mendengar jeritan daripada pengarah, Kak Lis (Melissa Saila)," tambah anak rockers Amy Search yang lebih mesra dibahasakan Abil itu.

Pinjam semangat Saloma

Di sebalik guruh kepayahan dan dimensi karakter yang harus digalas, di situ terbitnya pelangi yang memberikan Nabila sebuah keindahan. Meresapi, menjiwai dan memasuki kehidupan realiti seorang biduanita, Nabila menikmati sebuah anugerah yang cukup bermakna.

Saat tubuh genitnya disarungkan fesyen klasik, saat itu juga secara natural dia meresap 'roh' Saloma dalam jiwanya.

"Seperti yang saya katakan, saya bukanlah pelakon metod, tetapi telah siap berdandan, saya mula rasa karakter itu.


LIRIKAN mata, dandanan rambut, pakaian dan bahasa tubuh lakonan semula Nabila menerusi filem biografi Saloma akan membawa khalayak mendekati susur hidup sebenar Biduanita Negara, Puan Sri Saloma.

"Lenggok percakapan juga satu hal. Ia bukan sekadar lemah lembut, tetapi satu keindahan sehinggakan saya terfikir alangkah indahnya jika hidup pada zaman itu. Saya terasa mahu masuk ke zaman itu walhal secara realitinya, saya ini bukan jenis yang lemah lembut," katanya bersambung dengan derai ketawa.

Satu yang cukup Nabila amati, Saloma difahaminya sebagai bintang yang cukup kemas menjaga privasi.

"Ikut cerita yang saya dengar, Saloma menganggap kehidupan seharian seorang bintang bukanlah hak milik peminat sepenuhnya, harus ada privasi. Dia juga seorang wanita kental, fokus kepada karier dan tidak pernah putus asa. Semangat itulah yang saya pinjam," ujar Nabila yang bergandingan dengan Tony Eusof yang melakonkan watak P. Ramlee, Azhan Rani (A.R Tompel), Sazzy Falak (Mariani) dan Sofea Jane (Norizan) dalam karya berkenaan.

Nabila tutup kisah peribadi

Mendekati kehidupan bintang-bintang filem Melayu klasik menerusi Saloma Biopic juga sebuah cerminan hidup kepada Nabila. Pada usia 30 tahun, terlalu banyak duri menikam jalan kehidupan realitinya.

"Jalan ini memang menyakitkan tetapi saya harus teruskan juga. Inilah kepuasan yang membahagiakan saya. Cinta saya kepada lakonan ini sampaikan hidup saya seolah-olah tidak bermakna jika tidak berada di lokasi penggambaran. Saya akan jadi manusia paling bosan dan sengal jika bercuti terlalu lama," ujar Nabila yang kini sibuk dengan penggambaran drama berjudul Jalan Mati arahan Kabir Bhatia.

Diketuk tentang penyudah krisis bersama bapanya Amy, lebih sebulan lalu, seperti yang diduga, Nabila tersenyum dan kemudian mengunci kemas jendela hatinya. Kata Nabila, cukuplah Amy yang membuat kenyataan bahawa hubungan mereka sudah pulih. Mereka juga kembali berhimpun untuk sama-sama meraikan Syawal dua minggu lalu.

"Maaf, seperti mana saya tidak lagi berkongsi gambar-gambar peribadi saya di Instagram, seperti itu juga saya tidak akan bercerita tentang soal peribadi saya lagi. Apa yang boleh saya katakan, sekarang saya okey. Saya bahagia," tutup Nabila mudah.




0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP