Loading...
Friday, August 22, 2014

Selebriti kongsi kedukaan tragedi MH17


ARTIS MELETOP

Selebriti kongsi kedukaan tragedi MH17



Hari ini bukan saja rakyat Malaysia berkabung menyambut kepulangan jenazah warga negara ini yang terkorban dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, bahkan seluruh dunia turut sama bertafakur.

Pakaian hitam menjadi simbolik ramai rakyat negara ini sebagai tanda berkabung dan menzahirkan simpati kepada mangsa dan keluarga. Golongan selebriti tanah air dan antarabangsa turut meluahkan kedukaan yang bertamu di hati.

Berdasarkan pemerhatian dan pemantauan BH Online di laman sosial, selebriti antarabangsa sudah mula berkongsi rasa dengan pengikut mereka di Twitter sejak tragedi ini berlaku. Antara mereka, Mariah Carey, Cher, Eva Longoria dan Kimora Lee Simmons.

Selebriti tempatan juga tidak ketinggalan memuat naik pelbagai cebisan emosi di laman Instagram, Facebook dan Twitter khususnya mengenai insiden ini. Antara mereka ialah Emma Maembong, Fouziah Gous, Hafiz Hamidun, Asmidar, Daphne Iking, Adibah Noor, Afdlin Shauki.

Ikuti komen artis tanah air popular yang sudi berkongsi rasa pilu kepada mangsa serta keluarga insiden yang meruntun jiwa ini.




(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});

Datuk Siti Nurhaliza

"Siti ucapkan takziah kepada mangsa MH17 dan doa diiringi buat seluruh keluarga mangsa semoga terus tabah. Siti percaya mereka mereka sudah menerima kenyataan mengenai kehilangan insan tersayang dalam hidup.

"Siti harap keluarga mangsa akan meneruskan kehidupan seperti biasa biarpun kita sedar bukan senang mahu pulih kedukaan yang bertandang ini. Dalam hati kecil Siti berharap insiden sebegini takkan jadi lagi kepada negara kita."

Nora Danish

"Nora ingin meluahkan rasa pilu dan hiba di atas apa yang terjadi pada pesawat MH17. Terutamanya pada hari ini , jenazah tiba di Malaysia. Tidak kira apa bangsa dan agama, kita sama-sama sebagai manusia haruslah bersatu dan cekal untuk mengharungi kehidupan.

"Bersama-samalah kita mendoakan yang terbaik untuk keamanan negara kita dan negara yang lain. Pemergian orang yang tersayang amatlah berat jika dilihat daripada sudut hati dan perasaan. Berat mata memandang, berat lagi mahu memikul.

"Di kesempatan ini, Nora ingin ucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Nora tidak akan putus doakan untuk mereka.

Erra Fazira

"Benar berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul dugaan besar ini. Semoga Tuhan bekalkan setinggi ketabahan buat seisi keluarga mansga. Kami seluruh rakyat Malaysia sangat sedih dan terkesan dengan tragedi hitam ini. Moga Tuhan menempatkan mereka di kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah."

Neelofa

"Salam takziah buat seluruh keluarga mangsa. Moga mereka ditempatkan di kalangan orang yang baik dan beriman. Insya-Allah."




Rozita Che Wan

"Perasaan dan naluri ibu saya sayu sekali mengenang nasib ibu dan anak yang kehilangan insan yang menjadi nadi penting dalam hidup mereka. Moga si isteri yang kehilangan suami atas insiden ini akan terus tabah meneruskan kehidupan. Buat keluarga mangsa MH17, doa saya tak pernah berakhir untuk mereka."

Hanez Suraya

"Selamat pulang buat semua jenazah MH17. Saya turut bersedih dengan apa yang terjadi. Salam takziah buat semua kaum keluarga mangsa. Semoga mereka ditempatkan bersama orang beriman. Al-fatihah. Amin."

Zul Ariffin

"Al-fatihah saya ucapkan kepada mangsa mh17 dan keluarga. Semoga Tuhan kuatkan hati dan semangat keluarga mangsa menempuhi dugaan ini."


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP