ARTIS MELETOP
Dualiti klon KRU?
SEIRING peredaran zaman, bidang muzik tidak lagi dilihat sebagai pekerjaan 'remeh' sebaliknya bercambah kepada pelbagai cabang baharu.
Malah sikap keterbukaan dan penerimaan peminat muzik tanah air, ramai anak muda kini berani mempertaruhkan bakat dengan karya-karya yang bermutu.
Selain keberanian pemuzik untuk menerokai genre muzik yang lebih segar, industri muzik semakin meriah dengan genre-genre yang dipelbagaikan seperti pop rock, balada, hip hop dan sebagainya.
Menyingkap sejarah muzik negara, genre seperti rap dan hip hop sebenarnya telah lama bertapak di negara sejak 1990-an lagi.
Bermula dengan kumpulan KRU, NICO dan 4U2C, genre ini semakin menjadi ikutan dengan munculnya Poetic Ammo, Too Phat dan lain-lain.
(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});
Terkini, industri diserikan lagi dengan kumpulan seperti Sleeq, Waris, Altimet dan ramai lagi yang turut memperjuangkan genre muzik yang sama.
Bagi meneruskan legasi rap dan hip hop, KRU Music memperkenalkan dua rappers berbakat besar, Jazman dan Saphuan bagi mengembangkan lagi muzik aliran itu.
Mewakili kumpulan duo Dualiti, Jazman berkata biarpun hip hop dan rap masih lagi kurang di negara kita, namun dia mahu memeriahkan kembali genre tersebut di zaman kegemilangan ketika era 90-an.
"Mungkin tidak ramai penyanyi yang memilih genre ini sekarang. Kami sedar jika golongan muda tidak menghidupkannya, pasti generasi akan datang lupakan kewujudan muzik ini.
"Biarpun di negara barat sangat popular, namun di sini ia masih 'suam-suam kuku' kerana anak muda tidak meminati muzik ini," katanya.
Peminat setia KRU
Berkongsi cerita mengenai latar belakang kumpulan ini, Jazman atau nama sebenarnya Jazman Muhamad Din Jamaluddin merupakan peminat setia KRU sejak kecil lagi.
Bahkan Jazman boleh dikatakan membesar dengan lagu-lagu KRU seperti Awas, Jangan Lafazkan, Oh La La atau Perpisahan Terasing.
Selain meminati KRU, Jazman berkata kehidupan sehariannya banyak dipengaruhi lagu Barat, Tupac Amaru Shakur (2Pac).
"Saya sentiasa memainkan lagu Tupac seperti 'Keep Your Head Up' dan 'Dear Mama' untuk meningkatkan kesedaran dalam masyarakat setempat sekiranya dijemput untuk persembahan," katanya yang meminati bidang falsafah dan sains.
Sedikit mengenai Jazman, jejaka ini pernah menjuarai pertandingan Urban Rap Battle (Kategori Kumpulan) bersama grup XYPHAZ (2002) dan mengadakan showcase seluruh Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
Sementara itu, Saphuan ataupun Saphuan Awang adalah rapper yang tidak asing lagi kerana pernah berkolaborasi dengan produser tempatan mencipta lagu seperti Light It Up, Mungkin dan One Mic.
Selain terlibat secara langsung dalam dunia seni, Saphuan sering mengadakan persembahan di sekitar kota raya di Raising The Bar, Urbanscapes dan The MoveMint.
Katanya, pengalaman dalam pelbagai aktiviti muzik sehingga terpilih bekerjasama dalam projek Cypher.
Kolaborasi Dualiti-Ameerais
Selepas membentuk Dualiti, KRU Music selaku penerbit bersetuju menghasilkan single pertama berjudul, Hitam.
Ujar Jazman, menariknya mengenai single ini kerana Dualiti telah mengundang Ameer daripada kumpulan Forteen untuk bersama menjayakan projek istimewa ini.
"Bersama Dualiti, Ameer akan dikenali dengan nama pentas Ameerais. Pemilihan Ameerais berdasarkan kemampuannya menyanyi secara solo dengan baik ketika konsert 20forteen April lalu.
"Semangat dan keyakinan Ameerais, kami yakin mampu menjayakan projek khas ini," katanya.
Sambung Jazman, walaupun projek ini melibatkan salah seorang ahli Forteen, dia meminta 'kebenaran' untuk Ameerais bagi lagu ini.
Tegasnya, kumpulan Forteen sendiri berdiri teguh menyokong kerjaya Ameerais bersama Dualiti.
Bercerita mengenai single sulungnya itu, Jazman berkata 'Hitam' adalah penceritaan sebuah kehidupan penuh kesengsaraan dalam mengharungi pancaroba.
Katanya, walaupun ia tidak menjamin kebahagiaan hakiki namun semangat berterusan mampu memberi cahaya harapan.
Untuk pengetahuan, 'Hitam' sudah dimuatnaik secara rasmi di rangkaian YouTube KRU Music sejak Jun lalu.
Hitam merupakan lagu komposer terkenal Edry Abdul Halim manakala liriknya hasil kombinasi Edry, Jazman dan Saphuan.
0 comments:
Post a Comment