ARTIS MELETOP
Liyana Jasmay Dulu berdua, kini beraya bertiga
KALAU dahulu dia hanya berkesempatan menyambut Aidilfitri bersama suami tercinta, ternyata kali ini, situasinya cukup berbeza buat Liyana Jasmay yang baru sahaja melahirkan seorang bayi perempuan yang diberi nama Sofia Arissa.
Tiada apa yang lebih menggembirakan diri Liyana ketika ini dan beranggapan bahawa dengan kelahiran Sofia telah menjadi pelengkap dalam kehidupannya sebagai seorang isteri dan ibu.
"Kalau ditanya mengenai perasaan saya sekarang ini, agak sukar untuk digambarkan kegembiraan yang dirasai. Tambahan pula tidak lama lagi sambutan Aidilfitri akan tiba.
"Pastinya suasana kali ini agak berbeza kerana dahulu saya cuma menyambutnya berdua dengan suami, tetapi dengan kehadiran SofIa dalam kehidupan kami telah menambahkan lagi suasana meriah," ujarnya sewaktu sesi fotografi khas bersama Kosmo! baru-baru ini.
Namun begitu, pelakon tersebut menyatakan dia sekeluarga tidak akan pulang kampung halamannya, iaitu di Alor Gajah Melaka seperti kelaziman saban tahun. Sebaliknya, mereka menyambutnya di Kuala Lumpur sahaja.
Jelasnya, memandangkan usia Sofia yang baru sahaja mencecah dua bulan, dia bimbang dengan keadaan anaknya itu yang tidak dapat menempuhi perjalanan jauh serta mengalami kesesakan lalu lintas.
"Lagipun ayah saya sendiri tidak membenarkan saya membawa Sofea keluar selalu memandangkan usianya yang masih terlalu kecil, apatah lagi untuk menempuh tempoh perjalanan yang lama.
"Dengan adanya Sofia, saya tidak kisah menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur sahaja. Malah, saya juga telah menempah dua pasang baju di sebuah butik terkenal untuk anak saya," ujarnya.
Bercerita tentang pengalamannya ketika melahirkan Sofia, Liyana memberitahu, dia berasa lega kerana dapat bersalin dalam keadaan normal dan pihak hospital terutama sekali doktor banyak membantu dirinya.
LIYANA berasa beruntung kerana Fathuddin memahami kariernya sebagai pelakon walaupun telah melahirkan seorang cahaya mata.
Ujarnya lagi, dia banyak bertanya kepada doktor tentang beberapa perkara penting yang terpaksa dilalui semasa mengandung supaya lebih bersedia berhadapan dengan sebarang situasi serta banyak mengamalkan zikir.
"Pada mulanya, perasaan takut itu memang sentiasa dirasai memandangkan saya mengandung anak sulung, tetapi apabila melihat Sofea di hadapan mata, saya rasa melahirkan anak itu merupakan satu pengalaman yang paling indah," luahnya.
Berkenaan dengan kehidupan hariannya setelah mempunyai anak, pelakon tersebut menyatakan sudah tentu terdapat banyak perbezaan yang akan dilaluinya apabila menjadi seorang ibu.
Sebagai contohnya, masa untuk bersama-sama dengan rakan tidak lagi seperti dahulu memandangkan sekarang sepenuh tumpuan perlu diberikan kepada anak tersayangnya itu yang tidak boleh berenggang dengan dirinya.
"Biasanya, kalau saya tinggalkan Sofia sekejap untuk menyelesaikan beberapa urusan, tiba-tiba akan timbul perasaan sedih. Paling lama, saya akan tinggalkannya bersama ibu sama ada dua atau tiga jam sahaja kerana rasa tidak sabar berjumpa dengannya," ujarnya.
Tiada halangan
Biarpun sudah bergelar seorang isteri dan ibu kepada seorang cahaya mata, Liyana menyatakan, ia bukanlah satu penghalang buat dirinya untuk meneruskan karier dalam bidang lakonan.
Bagi Liyana, biar sibuk macam mana sekali pun kerjayanya sebagai pelakon, keluarga harus menjadi keutamaan buat dirinya serta dia perlu menjaga batas-batas sebagai seorang wanita yang sudah beristeri.
"Paling utama sekali, saya akan menolak sebarang adegan yang berpegangan dengan lelaki bukan muhrim. Sebagai seorang isteri, saya sudah tentu perlu menghormati dan menjaga nama baik suami dan keluarga.
"Selain itu, saya perlu lebih selektif dan hanya menerima sebarang tawaran yang bersesuaian dengan status diri saya sekarang. Lagipun kehidupan saya sudah tidak sama lagi seperti semasa hidup bujang dahulu," tegasnya.
KEHADIRAN Sofia ke dalam hidup Liyana merupakan sesuatu yang tidak ternilai harganya.
Menurutnya, dia sangat beruntung kerana suami langsung tidak menghalang keinginannya untuk terus berlakon. Meskipun sudah memiliki anak, suaminya masih memberikan keizinan untuk dia meneruskan karier seninya.
"Tentang tawaran lakonan pula, ia bergantung kepada masa dan keadaan yang sesuai. Buat masa ini, saya tidak boleh mengambil tawaran yang mengambil tempoh masa yang panjang ketika penggambaran kerana Sofia perlu mendapat lebih banyak perhatian daripada saya," ujarnya.
Kembali berlakon
Dalam pada itu, Liyana memberitahu bahawa semasa Aidilfitri ini, dia tidak dapat bercuti dalam tempoh yang lama kerana bakal kembali berlakon dan terbabit dengan sebuah penggambaran telemovie.
Ujarnya, pada hari raya kelima dia akan bertolak ke Krabi, Thailand untuk menjalani penggambaran telemovie berjudul Hatiku Di Krabi terbitan syarikat produksi miliknya sendiri iaitu Mermaid Studios.
"Berkemungkinan besar saya akan berada di sana selama tujuh hari dan sepanjang tempoh tersebut saya terpaksa berjauhan dengan Sofia. Bagaimanapun, saya sudah membuat persediaan sepanjang ketiadaan saya nanti.
"Memandangkan anak saya itu masih lagi menyusu badan, saya sudah membuat simpanan susu badan sendiri sebanyak 60 paket. Ia terpaksa dilakukan kerana saya tidak memberi Sofia minum susu tepung," jelasnya.
0 comments:
Post a Comment