ARTIS MELETOP
Rita Rudaini Gembira dengan hidup baharu
MELIHAT raut wajahnya yang sentiasa tenang dan tidak lokek dengan senyuman, mungkin ramai yang menyangka pelakon Rita Rudaini kini melayari kehidupannya dengan tenang.
Biarpun proses mahkamah membabitkan dirinya dan bekas suami berkenaan dengan nafkah anak masih belum selesai, ia langsung tidak menjejaskan karier Rita, 37, sebagai seorang pelakon.
Cuma ketika bertemu dengannya sewaktu majlis Hari Raya Charity Event: Fiesta Raya 2014 yang berlangsung di Hotel Marriot Putrajaya baru-baru ini, tanpa berselindung dia meluahkan kekecewaannya.
Ia berhubung dengan sikap lepas tangan Aidil, 27, yang seperti tidak mengendahkan kedua-dua anak mereka, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2, terutama sekali sewaktu umat Islam hendak menyambut Hari Raya Aidilfitri.
(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});
“Kalau ditanya sama ada anak-anak ada beraya bersama bapa mereka, saya memang malas hendak jawab sebenarnya kerana tidak mahu timbul kontroversi. Namun begitu, saya berasa sangat kecewa dengan sikapnya itu.
“Sehingga kini dia langsung tidak memberi duit belanja atau persiapan raya untuk anak-anak. Saya bukanlah hendak berkira kerana masih lagi mampu, tetapi itu merupakan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa,” luahnya dengan nada kesal.
Mengakui Aidil ada menghubunginya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) sehari sebelum Aidilfitri, Rita memberitahu, bekas suaminya sekadar bertanya khabar dan ingin bercakap dengan anak-anaknya.
Bagaimanapun, dia menyatakan SMS yang dihantar itu langsung tidak dibalas olehnya kerana terlalu geram dengan sikap Aidil yang seperti lepas tangan serta sudah lama tidak bertanya khabar.
“Saya tidak pernah halang kalau dia hendak beraya dengan Rayyan dan Qaqa, tetapi saya berasa sangat kasihan dan kerap menangis apabila mengenangkan nasib anak-anak.
“Selepas cerita mengenai komunikasi antara saya dan Aidil menerusi aplikasi WhatsApp dan WeChat disekat oleh isterinya, Zarema tersebar ke pengetahuan umum, dia langsung tidak menghubungi saya lagi sehinggalah pada malam raya tempoh hari,” jelasnya.
Menurutnya, selepas setahun bercerai dia dan Aidil masih lagi perlu pergi ke mahkamah untuk perbicaraan yang membabitkan kes berkenaan dengan nafkah tertunggak dan mutaah.
RITA RUDAINI mengaku belum terfikir untuk berkahwin lagi. Dia selesa dengan kehidupannya sebagai ibu tunggal bagi dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai sambutan Aidilfitri yang dirai pada tahun, dia memberitahu, sekadar menyambutnya secara sederhana dan tidak meriah seperti tahun-tahun sebelumnya.
Ujarnya, setelah kehilangan ayah tirinya, Johari Joned yang baru sahaja meninggal dunia pada bulan Mei lalu akibat serangan jantung, ternyata Aidilfitri buat dirinya dan ahli keluarga lain di kampung terasa hambar.
“Ketika arwah ayah masih hidup dahulu, segala persiapan dan kelengkapan raya dia yang akan uruskan. Kini, setelah ketiadaannya saya tidak rasa teruja untuk menyambut Aidilfitri, kecuali membuat persiapan untuk anak-anak,” jelasnya.
Tidak terfikir
Memandangkan Aidil sekarang sudah mendirikan rumah tangga dengan wanita lain, Rita lantas ditanya kalau dia juga sudah bersedia untuk mencari pengganti dan menjadi teman hidupnya.
Sekadar mengukirkan senyuman apabila diajukan pertanyaan tersebut, pelakon berkenaan memberitahu, setakat ini masih belum terlintas lagi di hatinya untuk berkahwin lain.
“Saya senang dengan kehidupan sekarang dan tidak pernah rasa sunyi kerana miliki dua orang anak yang sentiasa menceriakan hidup saya. Kini, tumpuan saya lebih terarah kepada membesarkan anak-anak.
“Paling utama saya mahu tumpu kepada pendidikan mereka dan mencari sekolah yang terbaik. Seboleh-bolehnya saya bercadang menghantar mereka belajar di sekolah agama nanti,” ujarnya.
Menurut Rita, antara faktor utama dia masih menutup pintu hatinya untuk berkahwin setelah melihat nasib beberapa rakannya yang lain turut mengalami masalah kegagalan rumah tangga seperti dirinya.
Ujarnya, apabila bertemu, ada antara rakannya yang sering menceritakan masalah yang dihadapi bersama suami serta menjadikan dirinya sebagai tempat meluahkan perasaan.
“Perkara yang melucukan apabila ada yang meminta nasihat saya, sedangkan saya sendiri berhadapan masalah yang sama. Namun begitu, sebagai rakan saya akan memberikan kata-kata semangat sahaja.
“Ia tidak bermakna saya fobia atau serik berkahwin lagi, tetapi saya rasa hidup seorang lagi bagus. Kalau ditakdirikan saya bertemu jodoh, biarlah lelaki tersebut menyayangi kedua-dua anak saya itu,” jelasnya yang mengakui tiada mana-mana lelaki yang cuba mendekati dirinya.
Jenama sendiri
Selain memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kerjaya dalam bidang lakonan, Rita juga semakin berjinak-jinak dalam bidang perniagaan sebagai persediaan untuk masa hadapan.
Jelasnya, sekarang ini dia sedang menjalankan perniagaan menjual produk minuman kopi yang menggunakan jenama Luv My Coffee By Rita Rudaini dan produk penjagaan kulit Rudaini Beaute.
“Kedua-dua perniagaan tersebut sudah mula dijalankan sejak dua bulan lalu dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Setakat ini, saya lebih tumpu kepada promosi secara dalam talian.
“Tidak dinafikan jadual saya agak padat sekarang, tetapi saya masih lagi aktif berlakon. Apabila perniagaan ini semakin berkembang, barulah saya akan kurangkan aktiviti lakonan,” ujarnya mengenai aktivitinya sekarang.
Dalam pada itu, Rita juga menyatakan yang dia mempunyai impian untuk menjalankan perniagaan dan mengeluarkan minyak wangi yang menggunakan namanya sendiri sebagai jenama.
“Perancangan ke arah itu memang sudah ada dan kini sedang dalam peringkat perbincangan. Sudah tentu saya meletakkan harapan yang tinggi agar impian ini dapat menjadi kenyataan,” jelasnya mengakhiri bicara.
0 comments:
Post a Comment