Mengakui isterinya Mizz Nina jauh lebih kuat dari dirinya dalam membuat keputusan, Noh percaya akan sampai suatu masa di mana keputusan untuk meninggalkan dunia seni akan berlaku juga pada dirinya. Itu bukanlah suatu yang mustahil. Cuma, sebagai seorang yang telah berada hampir sembilan tahun dalam industri hiburan, dia percaya ia harus berlaku secara perlahan.
Melihat keputusannya untuk mengeluarkan album solo setelah sekian lama selesa dengan gelaran vokalis kumpulan Hujan, bagaikan dia cuba menyampaikan sesuatu yang berbeza buat peminat kumpulan itu. Adakah ini bermakna Hujan itu sendiri sudah sampai ke garisan penamat dalam berkarya sehingga Noh sendiri mencari haluan berbeza?
Menyentuh perubahan itu, Noh bagaimanapun tidak menafikan dia mempunyai perancangan untuk mencuba lebih banyak perkara berbeza tanpa Hujan. Namun. dia menegaskan Hujan bukan sekadar kumpulan muzik.
Noh mahu peminat faham Hujan merupakan sebahagian daripada hidupnya.
Lebih jelas, kehadiran Hujan dalam hidupnya tidak akan dapat diganti dengan apa juga memandangkan hubungan yang terjalin antara mereka bagaikan adik beradik.
Dalam Hujan kami memang mahu setiap dari kami mempunyai keinginan sendiri. Maksudnya, masing-masing juga ada projek yang berbeza di luar kumpulan.
Sebab itu kami tidak kisah sebenarnya untuk tampil tanpa Hujan sekali sekala. Masing-masing faham sokongan setiap dari kami perlu ada dalam memastikan kami mencapai apa yang dimahukan," katanya ketika di temui pada sesi pradengar album solonya di studio miliknya, Pharcyde Studio, di Ampang, Selangor.
Menolak album ini nanti sebagai tanda persediaan awal dari Noh sebelum Hujan berhenti".
Anak seni kelahiran Sarawak ini dengan jelas memberitahu itu bukan penyebab utama mengapa dia perlu mengeluarkan album solo.
Baginya berada dalam dunia hiburan, dia sendiri tahu pelbagai kemungkinan boleh terjadi.
Saya tahu sewaktu Hujan naik, memang terlalu cepat. Memang saya sudah bersedia dengan apa juga kemungkinan ketika itu.
Bagaimanapun kami tidak melihat perpecahan dalam Hujan memandangkan hubungan kami lebih dari rakan muzik. Mereka semua merupakan keluarga saya.
"Malah kalau bertemu, muzik bukanlah perkara utama yang dibincangkan kami, tetapi lebih kepada kehidupan masing-masing," katanya.
Membina kepercayaan diri selama lapan tahun sebelum benar-benar yakin dengan kemampuan diri membuat album solo, menurut Noh atau nama sebenarnya Noh Salleh, 29, dia tidak pernah mahu muziknya terlalu disamakan dengan Hujan.
Kalau kata saya buat album ini hanya mahu bertahan, lebih baik saya buat muzik yang lebih didengari peminat kini. Tetapi saya pilih elemen muzik lama, yang seakan-akan membawa pendengar kembali ke era 50-an.
Ini merupakan muzik pilihan saya. Sebenarnya saya tidak berharap peminat Hujan akan turut suka muzik yang saya bawa ini. Saya lebih suka bereksperimen, dan mahu muzik ini didengar semua golongan," katanya.
Meletakkan isterinya Shazrina Azman, 33, sebagai inspirasi utama dalam menghasilkan lagu-lagu dalam albumnya ini, perkongsian rasa cinta dia terhadap Mizz Nina lebih kepada menghargai pengorbanan wanita tersebut.
Memang saya menjadikan isteri sebagai inspirasi dalam menghidupkan lagu-lagu dalam album ini. Bagaimanapun pertambahan elemen itu juga datang dari kisah perjalanan kumpulan Hujan itu sendiri. Bila isteri saya dengar lagu-lagu ini, dia sangat menyukainya," katanya.
Sokong pilihan isteri
Noh sendiri amat terkejut dengan kekuatan isterinya. Kata Noh sebagai suami dia tidak menolak untuk merasa bahagia melihat perubahan yang dialami Mizz Nina. Sungguhpun pilihannya masih untuk berada dalam bidang muzik, Noh tidak terlalu gusar kerana kepercayaan Mizz Nina seakan dorongan terbesarnya.
Kita sendiri tahu bagaimana dia (Mizz Nina) dalam bidang muzik. Memang dia sangat suka. Tetapi bila dia buat keputusan untuk terus tinggalkan bidang ini secara tiba-tiba, memang ia menyentuh perasaan saya. Jujurnya memang isteri saya seorang yang kuat," pujinya.
Menurut Noh, isterinya itu memang ada berbincang dengannya sebelum memutuskan untuk meninggalkan bidang ini. Sebagai suami tiada apa yang boleh diberikan selain kata-kata semangat serta dorongan tidak berbelah bahagi.
Sebelum menunaikan haji kami ada melakukan umrah bersama. Sewaktu itu memang sudah terdetik dalam hatinya untuk meninggalkan dunia nyanyian.
Melihat dia melakukan keputusan ini saya akui bukan mudah. Tetapi semua yang berlaku mengikut apa yang dimahukan dirinya sendiri. Saya tahu dia gembira sekarang. Saya juga lega melihat perubahan ini," katanya.
Menguak sedikit kisah kehidupannya kini, menurut Noh memang di kala ini proses pengajian mendalami ilmu agama sedang giat berjalan. Malah permulaan setiap paginya setiap hari kini lebih indah berbanding dahulu.
Kami berdua memang dalam proses lebih mendalami ilmu agama. Memang ada kelas agama yang kami hadiri bersama-sama. Bagaimanapun saya masih dengan muzik saya, cuba seimbangkan permintaan isteri.
Tetapi tiada apa yang lebih indah untuk melihat permulaan setiap pagi itu dengan dikejutkan isteri untuk solat Subuh bersama-sama," katanya.
0 comments:
Post a Comment