Loading...
Saturday, March 29, 2014

Lu, Gua, Bro kisah budak kampung

JIKA selama ini, kita hanya melihat Zalif atau nama sebenarnya Md Zalif Naquiyudin Wan Abu Bakar Sidek, 27, dan Epy Kodiang atau nama sebenarnya Muhammad Hanafi Rusmadi, 22, di layar perak.

Namun kali ini, mereka membuktikan bukan sahaja mampu menjayakan watak yang diberikan dalam filem, bahkan mereka juga mampu menghasilkan sebuah naskhah komedi yang sesuai ditonton oleh semua lapisan.

Kali ini mereka bergandingan dalam filem terbaharu Lu, Gua, Bro yang mengisahkan tentang perjalanan, suka duka liku hidup dua sahabat baik, Yu (Zalif Sidek) dan Mi (Epy Kodiang) yang berasal dari kampung yang sama dan lahir pada hari yang sama.

Dari zaman kanak-kanak ke  ke zaman dewasa, mereka tetap bersama walau apa pun berlaku. Impian mereka adalah untuk menjadi seorang polis, tambahan pula kedua bapa mereka juga menginginkan mereka menjadi anggota polis.

Kisah bermula apabila Yu dan Mi bertemu di sebuah kilang tempat di mana Mi bekerja sebagai pengawal keselamatan setelah setahun tidak bersua kerana Mi bekerja di bandar selepas meninggalkan kampung halaman. Yu yang lari dari pengedar dadah menjumpai Mi di dalam stor kilang tersebut.

Kilang tempat Mi bekerja rupa-rupanya menjalankan aktiviti sindiket pengedaran dadah. Yu dan Mi cuba untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis namun dilarang oleh pengedar dadah tersebut.

Pergelutan berlaku membuatkan Yu dan Mi naik ke tingkat atas bangunan kilang untuk menyelamatkan diri. Sedang berlari, Yu tergelincir di kaki tiang bangunan dan sempat disambut oleh Mi yang hampir terjatuh namun Yu hanya tergantung di situ.

Yu yang hampir berputus asa telah diredakan oleh Mi dengan kata-kata semangat sehinggalah menceritakan kisah silam mereka bagaimana mereka berdua bersemangat dalam segala urusan dan cekal menghadapi segala cabaran bersama.

Menariknya, filem yang menampilkan Zalif dan Epy sebagai pelakon utama ini memaparkan kehidupan budak-budak kampung pada zaman ini.

Secara tidak langsung, filem yang diarahkan Ismail Bob Hasim dan turut menampilkan Nina Iskandar dan Rahim R2 ini mampu mengimbau kenangan silam anda ketika membesar di kampung.


Epy, Zalif penyeri

Bukan itu sahaja, gandingan Zalif dan Epy di dalam filem ini juga amat menarik dan mereka berjaya membawakan watak masing-masing dengan baik.
Pendek kata, ada sahaja tindakan mereka dan dialog mereka yang akan membuatkan anda ketawa geli hati.
Apatah lagi, dengan tagline 'Biar hilang awek, jangan hilang member' sudah cukup untuk memberikan anda bayangan mengenai jalan cerita filem ini.


Filem selamba

Bukan itu sahaja, pada pandangan penulis, ia sebuah naskhah yang selamba dan penyampaian yang begitu selamba.

Meskipun ada beberapa babak yang agak klise, namun ia tidak menjejaskan keseluruhan jalan cerita dan sesuai di tonton bagi anda yang inginkan sebuah filem yang santai.

Justeru bagi anda yang menginginkan sebuah karya yang santai, jangan lupa untuk menyaksikan filem ini di pawagam.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP