Loading...
Friday, March 21, 2014

Eja bongkar isu penderaan seksual

ISU pencabulan serta penderaan seksual yang berlaku terhadap kanak-kanak perempuan sering menjadi bualan hangat dalam kalangan masyarakat tempatan. Lebih-lebih lagi apabila si pelaku mempunyai pertalian persaudaraan yang rapat dengan -mangsa yang terlibat. Perkara terkutuk ini bukan sahaja menjadi igauan ramai, malah ia turut dirasai oleh pelakon terkenal, Siti Shahrizah Saifuddin, 42, atau lebih mesra disapa Eja.
Justeru, sewaktu diminta oleh pertubuhan WOMEN: Girls untuk mengarahkah sebuah filem pendek berdurasi lebih kurang tiga minit sempena penganjuran Ikal Mayang bagi tahun yang kedua, Eja terus menerima pelawaan tersebut tanpa berfikir panjang.
Melalui penganjurannya pada tahun ini, penonton dibawa meneroka beberapa kisah mengenai wanita yang diarah berdasarkan tema Unspoken Truth. Selain itu, pembikinan filem-filem pendek ini turut direalisasikan bagi menyambut hari wanita sedunia yang berlangsung pada 8 Mac lalu.
Walaupun tidak disiarkan di mana-mana stesen televisyen buat masa ini, penonton boleh menyaksikan hasil kerja pengarah-pengarah ternama ini secara online di laman perkongsian video YouTube menerusi saluran Women Girls.
Ketika berpeluang bertemu dengannya pada majlis tayangan filem-filem pendek tersebut di GSC Signature The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini, aktres yang pernah popular menerusi drama bersiri Mya Zara itu dilihat mengangkat isu penderaan seksual sebagai tema utama filem pendeknya.
Mengakui mempunyai sebab yang tersendiri memilih tema tersebut, ibu kepada Nur Eishal Mohd. Silahuddin, 5, ini turut bercerita mengenai pembabitan pertamanya menggalas tanggungjawab sebagai seorang pengarah. Ikuti temu bual selanjutnya.
EJA memberitahu, tidak mahu mengarah lagi pada masa akan datang.


Kosmo!: Tahniah di atas filem pendek hasil pengarahan pertama anda. Boleh ceritakan sedikit mengenai penglibatan anda dalam Ikal Mayang pada tahun ini?
EJA: Alhamdulillah, terima kasih. Sewaktu menerima tawaran oleh pihak WOMEN: Girls melalui panggilan telefon, saya terus bersetuju untuk mengarah. Pada saat itu juga, isu penderaan seksual terus bermain dalam fikiran saya. Dari situ, saya terus mengambil keputusan untuk menggunakan isu tersebut sebagai tema filem pendek saya yang berjudul Reflections.
Mengapa anda memilih tema tersebut sebagai intipati utama pengarahan Reflections?

Sejak kebelakangan ini, kita sering disajikan dengan pelbagai berita tentang penderaan dan pencabulan seksual dalam kalangan kanak-kanak perempuan. Mereka yang terlibat pula kebanyakannya mempunyai pertalian darah antara satu dengan lain. Individu yang sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anak kecil ini menyalahgunakan kepercayaan tersebut dengan melakukan perbuatan terkutuk yang keji.
Apa kaitan isu ini dengan diri anda?
Saya mempunyai seorang anak perempuan yang masih kecil. Akibat kerap membaca tentang perkara-perkara sedemikian di dada akhbar, jiwa keibuan saya semakin kuat dan saya berharap agar filem ini dapat memberikan impak yang positif terhadap orang ramai.
Boleh ceritakan tentang perjalanan filem pendek ini?
Reflections berkisar mengenai seorang kanak-kanak yang telah dicabul secara seksual oleh pak ciknya sendiri. Dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa dan terus berdiam diri mengenai perkara tersebut sehinggalah dia dewasa. Filem pendek ini dilakonkan oleh Puteri Balqis dan wataknya dewasanya dipegang oleh Fouziah Gous.
Bagaimanakah anda merangkumkan mesej yang besar dalam sebuah filem pendek berdurasi dua minit?
Saya bersyukur kerana kru-kru serta pelakon yang terlibat begitu sepakat dalam menghasilkan filem pendek ini. Proses penyuntingan juga berjalan dengan lancar. Saya percaya, dengan adanya kerjasama yang baik, sesebuah produksi itu mampu untuk menghasilkan sebuah karya yang bagus.
Bagaimana pula dengan pengalaman mengarah buat kali yang pertama?
Sejujurnya, proses pengarahan berjalan dengan lancar. Ditambah pula dengan kesungguhan yang ditonjolkan oleh Puteri Balqis, penggambaran yang berlangsung dari awal pagi berjalan dengan baik.
Ada perancangan untuk mengarah drama atau filem?
Mungkin tidak. Saya menyertai Ikal Mayang kerana tertarik dengan tema yang ingin disampaikan oleh WOMEN: Girls iaitu Unspoken Truth. Pada pendapat saya, apa salahnya mencuba jika naskhah yang ditampilkan mampu untuk menjadi sebuah platform yang baik dalam mengubah persepsi masyarakat terhadap isu-isu yang berkaitan dengan penderaan seksual.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP