Loading...
Monday, March 31, 2014

Amran Pelanduk dua serupa


ARTIS MELETOP

Amran Pelanduk dua serupa


MEMILIH untuk menyembunyikan kebaikan dan tidak gemar menghebohkannya adalah pendirian hidup pelakon Amran Ismail, 28.

Malah pelakon yang dikenali menerusi drama Cinta Untuk Emelda ini juga menegaskan tidak gemar menceritakan kerja amal semata-mata untuk mendapat publisiti.

Justeru Amran menafikan pernah menunjuk-nunjuk kerja amalnya sewaktu misi menghulurkan bantuan kepada petugas yang terlibat dalam misi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 baru-baru ini.

“Memang saya ada menghulurkan bantuan tetapi secara senyap-senyap. Saya meminta rakan untuk memanjangkan bantuan saya kepada golongan memerlukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lalu.




“Tapi saya tidak ada di tempat itu. Saya ada penggambaran drama Menanti Hidayah untuk Radio Televisyen Brunei (RTB) waktu itu. Mungkin individu yang dimaksudkan itu adalah orang lain yang merupai wajah saya.

“Mungkin pelanduk dua serupa," katanya berhubung dakwaan mengatakan dia sengaja menayang wajah di tempat media bertugas dan menolak untuk ditemuramah sewaktu di KLIA awal bulan lalu.

Mengakui kerap kali salah dipanggil nama di kalangan peminat lantaran mempunyai iras wajah pelakon Syafie Naswip dan Kamal Adli namun kata Amran, itu bukan masalah besar baginya.

Biarpun kadangkala hatinya terguris apabila salah dipanggil nama tetapi kata Amran, akhirnya dia dapat membiasakan keadaan itu selepas dua tahun bertapak di dalam industri hiburan secara serius.

Beranggapan dalam dunia ini mempunyai tujuh wajah serupa kata Amran lagi, itu sudah cukup membuatkan hatinya terubat dan segera memaafkan si pemanggil.

“Tipulah kalau saya tidak terasa apabila peminat salah memanggil nama saya. Pada mulanya memang terasa tapi saya akhirnya terbiasa dengan situasi sebegitu," katanya yang menjadi pelakon iklan sejak berusia 17 tahun lagi.

Amaris nama baharuku

PADA masa yang sama Amran turut memberitahu bahawa rezekinya dalam bidang lakonan semakin cerah biarpun ada segelintir pihak yang tidak mengenalinya.

Apatah lagi selepas Amran bertindak menukar nama komersial kepada Amaris yang menggabungkan namanya dan bapa, Ismail Naim sejak awal tahun lalu.

“Saya memerlukan restu daripada abah untuk menggunakan namanya dalam proses penjenamaan diri. Keberkatan doa seorang abah membuatkan hidup seorang anak itu lebih bermakna pada masa depan.

“Tidak sangka pula, penukaran nama dan berkat doa abah membuatkan rezeki dalam bidang lakonan dan nyanyian bertambah mudah," kata pemilik single lagu berjudul Ini Janjiku.

Dalam usaha untuk mengukuhkan penjenamaan diri juga kata Amran, dia bersyukur apabila menerima tawaran berlakon di Brunei dan Indonesia.

Bagaimanapun kata Amran, perkara itu masih belum dapat dihebahkan secara terperinci kerana dalam proses perbincangan dan bakal dikongsi selepas ada kesepakatan.

Selain itu kata Amran, dia juga sedang mencari peluang untuk memperkenalkan produk Kurma Amaris kepada khalayak.

Berlakon, menyanyi dan kini berniaga, sekalipun banyak ruang yang diceburi namun kata Amran, dia percaya kepayahan hari ini akan memberikan kejayaan kepadanya pada hari mendatang.

“Saya perlu mencari peluang dan menggunakan kesempatan yang ada," katanya yang bersyukur mendapat sokongan padu daripada Amaris Fans Club selama ini.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP