MULA dikenali melalui kelantangan dalam penulisan blog, kini namanya semakin dikenali apabila mengambil keputusan untuk terjun dalam bidang hiburan sebagai pengacara dan pelakon.
Hanis Zalikha Zainal Rashid atau lebih mesra disapa Hanis melangkah setapak ke hadapan lagi apabila mula melebarkan sayapnya sebagai duta produk kecantikan.
Biarpun masih hijau dalam industri seni hiburan tanah air, gadis berusia 24 tahun ini manis melontarkan senyuman ketika diminta untuk ditemu ramah para wartawan ketika majlis pelancaran produk baharu Safi Balqis Trilogy di Empire Hotel Subang Jaya, Selangor.
Ketika karier Hanis sedang meningkat naik, Hanis melahirkan rasa kesal apabila sering disamakan dengan pelakon kontroversi Hanez Suraya.
Persamaan nama menyebabkan kontroversi yang melanda Hanez Suraya yang dikatakan menjalinkan hubungan percintaan dengan salah seorang lelaki berstatus suami orang sedikit sebanyak telah menjejaskan nama Hanis Zalikha.
Tohmahan yang dilemparkan kepada Hanis Zalikha di dalam laman sosial telah menyebabkannya tidak selesa dek kekeliruan orang ramai terhadap nama dua orang gadis cantik tersebut.
Ikuti temu bual Kosmo! dengan pelakon yang pernah membintangi filem terbitan Skop Production Snd. Bhd. iaitu Gangster Celop itu.
Kosmo!: Bagaimanakah perasaan anda apabila peminat keliru dengan nama anda dan Hanez Suraya yang kini sedang dilanda kontroversi?
HANIS ZALIKHA: Jauh di lubuk hati, saya merasa kesal sekali dan terkejut apabila baru-baru ini dalam laman sosial Twitter saya menerima pesanan yang tertulis ‘Shame On You’. Saya betul-betul terkejut dan tidak tahu apa-apa mengenai perkara tersebut. Setelah diselidik ia merupakan pesanan daripada peminat yang keliru dengan nama saya dengan Hanez Suraya. Bagaimanapun, peminat tersebut telah meminta maaf kepada saya.
Apakah tindakan ataupun reaksi anda apabila menerima tohmahan sebegitu?
Pada mulanya saya kesal sekali, namun pada masa yang sama saya juga bersimpati dengan kontroversi yang melanda Hanez Suraya. Saya bersyukur apabila kontroversi tersebut kini mulai reda.
Adakah anda terdetik untuk menukar nama komersial anda daripada Hanis Zalikha kepada Zalikha?
Saya tidak terfikir untuk melakukan sedemikian memandangkan saya sangat sayang akan nama saya. Pada permulaan saya terjun ke dalam bidang ini, orang ramai sudah mula mengenali saya dengan nama Hanis Zalikha, jadi, saya rasa biarlah saya kekal dengan nama panggilan ini.
Selain menerima tohmahan dalam alam maya, adakah anda menerima ugutan luar ataupun secara fizikal daripada peminat berikutan daripada kontroversi tersebut?
Buat masa sekarang, Alhamdulillah saya tidak menerima sebarang ugutan secara fizikal daripada peminat selain dalam laman sosial. Jika hal itu berlaku, saya akan segera membuat tindakan bagi mempertahankan diri saya.
Beralih kepada soalan lain, boleh anda ceritakan mengenai sebab anda memilih untuk menjadi duta kepada produk kecantikan Safi White Trilogy ini?
Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi duta produk pada kali ini. Mungkin disebabkan sejak dahulu lagi saya sudah menggunakan produk ini di samping saya sememangnya suka produk kecantikan dan sering melakukan pengiklanan produk kecantikan sebelum ini. Walaupun penampilan saya agak kasar namun saya masih menjaga penampilan diri.
Adakah Hanis bersedia untuk memegang amanah sebagai duta memandangkan sebelum ini duta bagi produk kecantikan Safi merupakan nama-nama besar seperti, Dynas Mokhtar, Shila Amzah, dan Elly Mazlein?
Saya rasa ia merupakan tanggungjawab yang besar apabila menerima tanggungjawab sebagai salah seorang duta. Saya sedaya upaya melakukan sebaik mungkin dan saya akan meneruskan legasi ini dengan sebaik mungkin.
Adakah anda merancang untuk mempromosikan produk ini dalam laman sosial memandangkan anda merupakan salah seorang selebriti yang aktif dalam alam maya?
Ya, sudah tentu saya mempunyai perancangan sebegitu. saya juga begitu teruja untuk berkongsi dengan peminat mengenai maklum balas peminat terhadap produk ini sekali gus mempromosikan jenama produk kecantikan ini.
0 comments:
Post a Comment