Loading...
Wednesday, March 19, 2014

Bocey selesa bertiga

PENGALAMAN yang dilalui oleh Achey serta kumpulan Bocik yang dianggotai Fad dan Abam ketika berkecimpung dalam program realiti berbentuk komedi bukanlah sesuatu yang baharu.
Bagaimanapun, nasib dilihat menyebelahi mereka setelah menyertai program Bintang Mencari Bintang (BMB) musim pertama terbitan TV3 pada tahun lalu. Achey yang merupakan anak didik Harun Salim Bachik muncul juara, manakala Bocik yang mendapat bimbingan Afdlin Shauki pula dinobatkan sebagai naib juara.
Ternyata penyertaan Achey dan Bocik dalam pertandingan komedi tidak terhenti setakat itu sahaja. Selepas dikenali menerusi BMB, mereka terpilih pula untuk bertanding dalam Maharaja Lawak Mega (MLM) 2013 dan membentuk kumpulan Bocey.
Biarpun baru kali pertama bergandingan bersama-sama, kemunculan mereka dalam pertandingan tersebut telah membuahkan hasil sehingga muncul pemenang tempat ketiga setelah tewas kepada kumpulan Sepahtu dan Shiro.
Berkesempatan bertemu dengan Bocey semasa majlis pelancaran program BMB musim kedua yang berlangsung di SACC Mall, Shah Alam, Selangor minggu lalu, ketiga-tiganya menceritakan tentang perancangan masing-masing.
Menurut Achey, dia sama sekali tidak menyangka bahawa keputusan yang dibuat untuk bergabung dengan kumpulan Bocik memberikan impak tersendiri serta mampu menarik perhatian peminat.
Ujarnya, memandangkan sebelum ini dia bergerak secara solo dalam program BMB, sudah tentu masa yang lebih banyak diperlukan bagi mereka mendapatkan keserasian apabila beraksi secara berkumpulan.
"Hubungan saya dengan Fad dan Abam sudah mula akrab sejak kami menyertai BMB lagi. Meskipun saling bersaing, tetapi kami selalu lepak bersama serta berkongsi idea dan pandangan.
"Kemudian saya juga pernah memasang niat dan merancang untuk bergabung dengan mereka. Apabila saya menyatakan perkara tersebut kepada Fad dan Abam, tidak sangka pula mereka turut mempunyai keinginan yang sama," ujar pemilik nama sebenar Mohd. Nasir Hamza itu.
Jelas Achey, pada mulanya ia sekadar niat sahaja dan dia sendiri tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk bergabung. Malah, selepas berakhirnya BMB, dia dan Bocik membawa haluan masing-masing dengan memenuhi undangan membuat persembahan yang diterima.

AKSI lucu yang ditampilkan oleh Bocik ketika bersaing dalam BMB pada tahun lalu sentiasa dinantikan oleh peminat.


Ujarnya, niat tersebut akhirnya menjadi kenyataan setelah mereka dipilih menyertai pertandingan MLM 2013. Malah, idea gabungan sebagai satu kumpulan turut dicetuskan oleh sifu mereka sendiri ketika menyertai BMB dahulu iaitu Afdlin dan Harun setelah melihat potensi yang dimiliki.
"Kami tidak menyangka bahawa Afdlin dan Harun mencadangkan supaya kami bergabung dan akhirnya terbentuklah Bocey. Menariknya, kami bersaing dengan sifu sendiri iaitu kumpulan Boboi dalam MLM 2013.
"Namun begitu, matlamat kami menyertai pertandingan tersebut bukanlah sekadar bersaing semata-mata kerana ia akan memberikan lebih banyak tekanan. Asalkan penonton terhibur dengan persembahan Bocey, ia sudah memadai buat kami," ujarnya.
Dalam pada itu, pelawak kelahiran Segamat, Johor itu turut berterima kasih kepada program BMB yang telah membuka ruang kepada dirinya untuk berkecimpung dalam bidang seni secara lebih serius.
"Sebelum ini saya pernah menjalani uji bakat pertandingan realiti seperti Raja Lawak dan Mentor, tetapi menerusi BMB barulah saya dapat menampilkan kebolehan sebenar sehingga muncul sebagai juara," ujarnya yang pernah menjadi seorang mekanik sebelum menyertai BMB.
Berbeza pendapat
Memandangkan baru kali pertama bergandingan bersama, Fad atau nama sebenarnya Muhamad Fadzlie Mohd. Nizam tidak menafikan terdapat sedikit kesukaran sewaktu Bocey membuat persembahan pada peringkat awal saingan.
Apatah lagi, Bocey tidak diletakkan sebarang harapan yang tinggi untuk mara lebih jauh dalam MLM 2013. Kesukaran yang dialami itu telah dapat diatasi dengan hasil usaha keras mereka.
"Tidak dinafikan hubungan kami sudah rapat sejak menyertai BMB dahulu, tetapi bukan mudah buat kami mendapatkan keserasian. Lagipun ketika itu kami tidak mampu melihat sejauh mana Bocey dapat beraksi sebagai sebuah kumpulan.
"Terdapat juga perbezaan pendapat apabila masing-masing memberikan idea, namun ia langsung tidak melemahkan semangat kami dan ia membuatkan hubungan saya, Achey dan Abam menjadi lebih erat," jelasnya.
Sementara itu, ketika ditanya pandangannya sama ada mahu dikenali sebagai Bocik atau Bocey, Fad memberitahu, dia tidak kisah sekiranya peminat memanggilnya dengan kedua-dua nama tersebut.
Tegasnya, meskipun peminat lebih mengenali diri mereka bertiga sebagai kumpulan Bocey, dia menyatakan bahawa Bocik tidak pernah berkubur sama sekali dan akan terus menggunakan nama Bocik jika diundang membuat persembahan berdua dengan Abam.
BOCEY bakal tampil dengan filem sulung mereka berjudul Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa.


"Saya akui sekarang ini semakin selesa apabila dapat beraksi secara bertiga, namun kami tidak akan menolak rezeki yang diberikan sekiranya tawaran itu untuk Achey seorang atau cuma membabitkan Bocik.
"Jadi, kami tidaklah terikat dengan Bocey semata-mata kerana tidak semua tawaran membabitkan kami bertiga. Lagipun ia memberi kami peluang yang lebih luas untuk mengembangkan kerjaya yang diceburi ini," ujarnya.
Bahan jenaka
Apabila melihat kepada persembahan yang ditampilkan oleh Bocey, sudah tentu paling menjadi tumpuan penonton ialah Abam lantaran dirinya memiliki fizikal yang besar sehingga kerap menjadi bahan jenaka oleh Achey dan Fad.
Namun begitu, pemilik nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Mohd. Ridzuan itu beranggapan ia merupakan sesuatu perkara yang normal dan tidak salah sekiranya ia boleh dijadikan humor untuk menghiburkan penonton.
"Bohonglah kalau saya katakan tidak pernah berasa kecil hati dahulu, cuma saya berpegang pada prinsip bahawa apa yang dilakukan itu sekadar lawak semata-mata dan perlu bersikap terbuka.
"Biasanya, kami selalu mengamalkan supaya saling bermaafan antara satu sama lain setelah selesai membuat persembahan agar masing-masing tidak berkecil hati dan itu merupakan langkah paling berkesan untuk kebaikan bersama," ujarnya.
Bercerita tentang kehidupan yang dilaluinya sekarang ini, Abam menyatakan dirinya sudah tidak bebas lagi seperti dahulu. Misalnya, jika pergi ke sesuatu tempat dia akan di kelilingi oleh peminat.
"Kalau dahulu saya bebas berpakaian untuk pergi ke mana-mana sahaja, kini saya lebih menitikberatkan tentang penampilan diri. Perkara tersebut perlu dijaga dan tidak sesuai sekiranya tampil dengan gaya terlalu ringkas," jelasnya.
Mengenai aktiviti seni terbaharunya pula, Abam ketika ini sedang sibuk menjalani penggambaran filem berjudul Hantu Bungkus Ikat Tepi terbitan Metrowealth yang turut dibintangi Nora Danish dan kumpulan Jambu.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP