Loading...
Sunday, March 30, 2014

Taiyuddin jaga batas ketika berlakon


ARTIS MELETOP

Taiyuddin jaga batas ketika berlakon


TAIYUDDIN BAKAR memberitahu dirinya mendapat hidayah sewaktu terbabit dalam filem Hantu Bonceng.

KETIKA berlangsungnya majlis pelancaran filem Tuli Sekampung di Restoran BJORN, Taman Danau Desa, Kuala Lumpur baru-baru ini, kelihatan salah seorang pelakon utamanya iaitu Taiyuddin Bakar tampil berjubah dan berkopiah.

Menyangka ia sekadar merupakan penampilannya untuk promosi filem bergenre komedi arahan Mohd. Nor Kassim itu, pelakon tersebut menyatakan, kini dia sudah melalui fasa baharu dalam kehidupannya.

Semakin mendekatkan dirinya kepada Allah, pelakon itu meluahkan, antara faktor utama terhadap perubahan yang berlaku disebabkan keyakinannya terhadap kehidupan selepas mati yang kekal selama-lamanya.

ARTISMELETOP! sempat menemu bual pelakon yang pelakon yang popular menerusi filem Hantu Bonceng itu berhubung penghijrahan yang dilaluinya serta perkembangan terbaharunya dalam bidang seni.




ARTISMELETOP!: Bagaimanakah kesedaran untuk berubah dengan mendekatkan diri kepada Allah itu timbul?

TAIYUDDIN: Sebenarnya kesedaran itu mula timbul secara tiba-tiba disebabkan keadaan yang berlaku di sekeliling saya. Adakalanya kita selalu lupa yang setiap manusia itu akan mati sehingga membuat kehidupan menjadi leka. Kemudian saya selalu renungkan kembali apa yang pernah dilakukan sebelum ini serta terfikir tentang sumbangan saya terhadap masyarakat. Akhirnya, timbul kesedaran dalam diri untuk melakukan penghijrahan.

Selepas melakukan penghijrahan, adakah anda akan meninggalkan bidang seni?

Dengan perubahan yang berlaku ini, tidak semestinya saya perlu meninggalkan bidang yang sudah saya ceburi sekarang. Saya pernah melakukan muzakarah dengan beberapa orang ulama untuk meminta pandangan mereka sama ada saya harus berhenti daripada bidang seni atau tidak.

Hasilnya, mereka berpesan kepada saya agar tidak meninggalkannya dan menasihati supaya menggunakan peluang yang sepenuhnya untuk melakukan dakwah menerusi platform seni.


TAI dengan penampilan baharunya, sewaktu hadir pada majlis pelancaran filem Tuli Sekampung bersama Beto Qusyairy.

Adakah anda meletakkan sebarang syarat sebelum menerima sesuatu tawaran lakonan itu?

Sudah tentu sekarang ini saya perlu menjaga batas ketika berlakon, misalnya saya tidak akan melakukan adegan yang bersentuhan dengan wanita. Selain itu, saya perlu lebih teliti tentang kandungan cerita dalam sesebuah drama bersiri atau filem yang ditawarkan. Sebelum ini, saya pernah ditawarkan watak yang memerlukan saya berpakaian seperti seorang wanita, sedangkan ia merupakan perkara yang dilarang agama. Jadi, saya memang cukup berhati-hati sebelum menerima sesebuah tawaran itu.

Apakah perkembangan terbaharu kerjaya seni anda sekarang?

Ketika ini saya banyak menghasilkan skrip filem dan bercadang untuk menerbitkannya sendiri. Salah satunya ialah berkisar tentang perjalanan seorang individu yang tidak percaya tuhan (Ateis) mencari agama bagi menyinari kehidupannya. Kalau diikutkan, bukan mudah untuk menghasilkannya kerana perlu merujuk banyak pihak supaya tidak berlaku sebarang kesilapan. Namun begitu, saya sentiasa berdoa kepada Allah agar usaha saya ini dipermudahkan.

Boleh ceritakan tentang pembabitan anda dalam filem Tuli Sekampung?

Dalam filem ini saya memegang watak utama bersama Nabil Ahmad serta beberapa pelakon lain. Ceritanya agak ringkas iaitu mengenai pengembaraan dua orang pemuda yang mencari lembu milik tuannya yang hilang. Tuli Sekampung merupakan sebuah filem komedi, tetapi ia agak berbeza dengan kebanyakan filem komedi lain. Saya tertarik kerana ceritanya penuh dengan unsur satira yang menyentuh tentang isu sosial kehidupan masyarakat sekarang.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP