“Ia akan menceritakan pengalaman suka dan duka saya sepanjang 30 tahun pembabitan saya dalam bidang hiburan,” kata Amy Search yang bakal menerbitkan buku biografinya hujung tahun ini.
Amy berkata, penerbitan biografi itu merealisasikan impiannya untuk memiliki buku sendiri yang menceritakan kisah hidupnya selepas mendapat banyak permintaan daripada peminat.
“Ini adalah perkongsian eksklusif daripada saya kepada semua peminat saya yang memberi sokongan sejak bergelar artis pada tahun 1980-an lagi.
“Selama ini saya dapat terus bertahan disebabkan sokongan yang tidak pernah putus daripada peminat. Jadi tidak salah untuk saya berkongsi kisah kehidupan saya bersama mereka,” katanya.
“Selama ini saya dapat terus bertahan disebabkan sokongan yang tidak pernah putus daripada peminat. Jadi tidak salah untuk saya berkongsi kisah kehidupan saya bersama mereka,” katanya.
Amy berkata, buku setebal kira-kira 400 muka surat itu sudah 70 peratus disiapkan dan dijangka akan berada di pasaran hujung tahun ini.
Dalam pada itu, Amy juga bakal muncul dengan album solo terbarunya yang akan berada di pasaran pada Julai nanti.
Menurutnya, dia enggan mendedahkan judul album berkenaan kerana mahu memberi kejutan kepada peminat-peminatnya yang sudah lama menantikan kemunculan album solonya.
Selain tampil dengan pelbagai jenis lagu baru, album berkenaan juga bakal menyaksikan pembabitan beberapa penyanyi popular antaranya Datuk M Nasir.
“Kali terakhir saya merakam album solo ialah 13 tahun lalu. Jadi tahun ini adalah masa yang sesuai untuk saya,” katanya.
Sumbang buku untuk penduduk kampung
Amy dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Projek Amal Selangor dan Kuala Lumpur menyumbangkan 240 buah buku pelbagai kategori kepada Perpustakaan Desa di Kampung Bukit Mat Inson, Pendang, Kedah, baru-baru ini.
Sumbangan itu juga adalah salah satu daripada program yang disertainya sempena siri jelajah Amy Search Jelajah Pendang Bersama Komuniti yang dijalankan selama dua hari bermula Sabtu lalu.
“Ini juga adalah salah satu cara untuk saya membalas jasa peminat-peminat yang banyak memberi sokongan kepada saya selama ini.
“Walaupun agak sibuk dengan jadual kerja yang padat, saya akan tetap berusaha untuk meluangkan masa bagi tujuan mendekatkan diri dengan peminat terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
“Mereka tidak perlu keluar ke mana-mana untuk berjumpa dengan saya kerana saya sendiri akan datang ke kampung mereka untuk bertemu dengan mereka,” katanya.
Selain memberi sumbangan buku, Amy turut mengadakan mini konsert pada sebelah malam di pekarangan perpustakaan terbabit bagi menghiburkan penduduk kampung.
0 comments:
Post a Comment