Loading...
Thursday, March 13, 2014

Isteri Hisyam Hamid Nafi Kawal Kerjaya Suami

Isteri kepada pelakon dari Singapura, Hisyam Hamid terkejut apabila dituduh sebagai seorang yang sukar dibawa berbincang hal berkaitan kerjaya suaminya dan bersikap 'lebih sudu dari kuah'.

Rosmawati Hanafi, 33, berkata, dia tidak pernah cuba mengawal kerjaya suaminya malah segala keputusan yang dilakukan sebagai seorang pengurus adalah menerusi perbincangan dengan Hisyam.

"Saya sendiri terkejut apabila isu ini ditimbulkan kerana sepanjang menguruskan kerjaya suami di Malaysia saya cuba berurusan dengan semua pihak sebaik mungkin.

"Jika ada sesuatu tawaran yang tidak dapat dipenuhinya saya akan tolak secara baik bagi pihak Hisyam malah meminta maaf kerana tidak dapat bekerjasama," katanya kepadamStar Online.

Rosmawati ditemui pada majlis pelancaran program terbaharu Terima Kasih Sayang di Restoran Talent Lounge di sini, Rabu.

Program yang memberikan pengiktirafan kepada kaum wanita itu turut menampilkan barisan artis seperti Hisyam Hamid bersama isteri, Fizo Omar dan Mawar selain Sharifah Aleya dan Sharifah Amani.
Ia bakal bersiaran setiap Jumaat pada pukul 6 petang bermula 28 Mac ini.
Hisyam Rosmawati
Hisyam tidak berhasrat untuk mencari pengurus lain dan lebih senang isterinya menguruskan kerjaya seninya di Malaysia.

Bagaimanapun kata Rosmawati, dia tidak berkecil hati atau pun tertekan dengan gosip berkenaan kerana ia adalah lumrah biasa dalam dunia hiburan.

Dalam pada itu, Hisyam, 29, berkata, dia tidak mahu membebankan fikirannya dengan laporan negatif tersebut kerana ia tidak benar seperti didakwa. 

Jelas Hisyam yang popular menerusi drama bersiri Ariana Rose berkata, tujuan utamanya datang ke negara ini adalah untuk melebarkan sayap sebagai pelakon dan bukannya menimbulkan masalah kepada orang lain.

"Susah sebenarnya hendak memuaskan hati semua orang dan saya juga tidak berharap semua orang akan suka dengan diri kita. Tujuan saya datang ke sini adalah untuk berlakon dan gosip yang timbul hanya salah faham," katanya.

Sementara itu, Hisyam berkata, dia juga tidak mempunyai sebarang sebab untuk melantik pengurus lain ekoran gosip berkenaan kerana lebih selesa bekerjasama dengan isterinya sendiri. 

Kata Hisyam, walaupun Rosmawati menguruskan kerjayanya dari Singapura namun dia melakukan tanggungjawab dengan baik selain sering berbincang tentang tawaran yang diterima. 

"Satu perkara yang mungkin orang salah faham adalah semua keputusan saya yang buat apabila saya terima sesuatu tawaran dan bukannya Rosmawati.

"Perkara itu hanya salah faham dan tiada sebarang sebab mengapa saya perlu melantik orang lain untuk menguruskan kerjaya seni saya," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Hisyam berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah drama bersiri di Singapura berjudul Di Luar Garisan Cinta musim kedua sebelum kembali ke Kuala Lumpur untuk projek seterusnya.
Malah kata Hisyam dia juga bakal memasuki set penggambaran filem Sinaran bersama Neelofa dan Lisa Surihani arahan Osman Ali.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP