Loading...
Monday, April 14, 2014

Sidek tegar lawan kanser


ARTIS MELETOP

Sidek tegar lawan kanser



DATUK M. NASIR memberi sedikit sumbangan kewangan mewakili Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) bersama Nash sewaktu hadir menziarah Sidek minggu lalu.

“HIDUP dah sampai ke penghujung. Kalau panjang umur, berjumpalah kita,” luah pelakon veteran Sidek Hussin dalam nada perlahan sewaktu berpeluang menziarahinya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini.

Walaupun kelihatan sedikit lemah, pelakon berusia 63 tahun itu masih mampu duduk di atas katil sambil dibantu isterinya, Sebiah Sulaiman, 61, yang setia menemani Sidek sejak dia dimasukkan ke hospital tersebut pada 30 Mac lalu.

Mengimbas kembali tentang saat-saat panik itu, Sebiah berkata, dia dan Sidek sedang keluar berjalan-jalan di sekitar Jalan Chow Kit untuk membeli permainan buat cucu-cucu mereka.

“Ketika sedang leka memilih barang permainan, dia terus pengsan. Saya menjadi panik dan terus menangis. Setelah menghubungi ambulans, suami saya terus dibawa ke HKL untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujar Sebiah.

Menerusi ujian ke atas sel yang diambil daripada tisu ketumbuhan di pangkal leher Sidek, doktor mengesahkan bahawa aktor itu kini menghidap penyakit kanser.

Imbasan menggunakan mesin pengimbas pelbagai resolusi (MRI) turut menemui banyak tompok putih di dalam ketumbuhan serta beberapa bahagian di kepalanya.

Masih menunggu keputusan daripada pihak hospital, Sidek reda dan sedia mencuba apa jua alternatif untuk kembali pulih seperti sedia kala.




Kimoterapi

“Saya sedang menunggu keputusan rasmi daripada pihak doktor mengenai jenis kanser yang saya hidapi ini. Jika sel kanser ini berbahaya dan mampu merebak, doktor mencadangkan agar saya menjalani rawatan kimoterapi. Jika sebaliknya, ketumbuhan ini akan dibuang.

“Apa juga keputusannya, saya reda dengan ketentuan Allah. Mungkin ini merupakan salah satu cara-Nya untuk menghapuskan dosa-dosa kecil saya,” ujar Sidek.

Mengulas mengenai rawatan kimoterapi yang cukup terkenal dengan kesan sampingannya terhadap tubuh, Sidek bertegas mahu mencubanya walaupun dia tahu kesannya terlalu kuat bagi tubuhnya yang lemah.

“Jika kita tidak mencuba, kita tidak tahu. Apa pun, itu merupakan pilihan saya dan pasti akan melakukannya,” ujar Sidek yang masih menerima tawaran berlakon daripada Erma Fatima tetapi terpaksa menolaknya kerana tidak berdaya untuk beraksi di hadapan kamera.

Pelakon yang berasal dari Batu Arang, Selangor itu mula mengalami rasa tidak sedap badan sejak dia pulang daripada mengerjakan umrah pada bulan Jun tahun lalu.

Rasa mencucuk-cucuk pada bahagian ketumbuhan yang mula membesar sejak 30 tahun lalu itu makin parah lebih-lebih lagi pada waktu malam.

Selera makan Sidek turut terbantut sehinggakan berat badannya yang dahulu mencecah 83 kilogram (kg) susut sebanyak 28kg.

“Saya tidak berselera untuk makan. Jika makan, pasti akan muntah kembali. Jadi, saya hanya bergantung pada susu dan bubur. Disebabkan itu berat badan saya semakin menyusut.

“Bagaimanapun, saya akan terus kuat untuk melawan penyakit ini dan mencuba sebarang alternatif yang ada untuk mengubati kanser,” ujarnya.

Pada hari sama, penyanyi Nash yang merupakan salah seorang pemegang amanah Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) hadir bersama timbalannya, Datuk M. Nasir bagi menghulurkan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada Sidek.

“Ini merupakan tanggungjawab bersama dan kami berbesar hati kerana dapat memberikan bantuan ini dengan kadar yang segera,” katanya.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP