Loading...
Tuesday, March 4, 2014

Idea skool of lawak mengarut?

Biarpun saingan sudah masuk ke ming­gu ketiga, Skool of Lawak yang disiarkan menerusi Astro Warna (saluran 132) setiap Jumaat belum menunjukkan tanda-tanda untuk menyengat sekali gus membuatkan peserta dan pengajarnya perlu bekerja keras memperbaiki kelemahan.
Perkara yang perlu diambil berat sudah tentunya kandungan lawak kerana kadang-kadang peserta hilang arah dan merapu. Hanya peserta dari beberapa kelas nampak menyerlah manakala selebihnya seperti syok sendiri dalam berlawak. 
Sayang sekali mereka gagal memanfaatkan ilmu yang diperoleh daripada pengetua, Othman Haf­sham dan tiga tenaga pe­ngajar, Fauziah Nawi, Sabri Yunus dan Khir Rahman yang sememangnya berpengalaman luas. 

Selepas enam peserta disingkir pada minggu kedua, kini tinggal 27 peserta dari sembilan kelas iaitu Seroja, Melur, Melati, Dahlia, Orkid, Kenanga, Mawar, Cempaka dan Kekwa pada ming­gu ketiga, Jumaat lalu.
Dengan tema Spoof & Parody, mereka perlu menampilkan komedi yang memikat hati penonton dan paling utama barisan juri iaitu Datuk Rosyam Nor serta dua pengarah terkenal, Mamat Khalid dan Profesor Madya A Razak Mohaideen.

Apa yang pasti, lawak yang ditampilkan peserta agak hambar dan sukar mencuit hati penonton di studio mahupun di rumah. Bagaimanapun gandingan pengacara Johan dan Jep Sepahtu berjaya mengubah suasana dan boleh dikatakan penonton lebih ba­nyak ketawa menyaksikan gaya selamba mereka di atas pentas.

Dari segi persembahan, hanya kelas Dahlia dan Orkid yang menyerlah manakala yang lain perlu banyak belajar skil lawak terutamanya ‘punch line’ untuk menggeletek hati penonton.

Seawal program lagi, kelas Melur yang membuka pentas menerima kritikan keras daripada Rosyam yang menyifatkan persembahan mereka tidak lawak dan kelas Mawar yang dikatakan banyak membazir masa dengan idea merepek.

Selain itu, Rosyam turut menegur persembahan kelas Kenanga yang dikatakan huru hara, manakala peserta wanitanya Ain tergedik-gedik tanpa arah di atas pentas.

Ini berbeza dengan Mamat dan A Razak yang mengambil pendekatan memuji persembahan beberapa kelas, namun dalam masa sama tetap memberi teguran dan kritikan yang perlu agar mereka bangkit memperbaiki kelemahan pada minggu mendatang.

Selepas pemarkahan dibuat, tiga kelas yang menduduki undian terbawah ialah Seroja, Melur dan Melati.

Hafsham kemudian mengumumkan Atan dari Seroja, Ajai (Melur) dan Lan (Melati) tersingkir dan tinggal 24 peserta membawakan cabaran pada minggu berikutnya.

Rosyam ketika ditemui berkata, kelantangannya pada malam itu bersebab kerana bersimpati dengan nasib orang lain yang bertungkus-lumus berusaha menyertai program ini tetapi tidak berjaya.

“Ada ramai yang nak cuba nasib tapi gagal. Mereka yang terpilih berada dalam program ini perlu berusaha bersungguh-sungguh memberikan yang terbaik dan jangan bersikap sambil lewa.

“Saya kena kejutkan mereka dari tidur. Seperti yang saya komen dalam persembahan mereka, tak kisahlah sama ada mereka tak tidur langsung, mereka perlu buat yang terbaik dalam masa tiga minit sete­ngah yang diberikan.

“Inilah waktunya untuk orang lihat kemampuan mereka berlawak. Saya dah beritahu mereka masa yang ada tak banyak tapi mereka gagal memanfaatkannya dengan baik,” katanya.

Berlainan pula dengan Mamat yang menyifatkan persembahan peserta ada peningkatan berbanding minggu sebelumnya.

“Persembahan mereka bukan seperti sebelum­nya yang dianggap masih ­hijau. Kali ini tahap keyakinan mereka di atas pentas memang nampak. Begitu juga tempoh ketepatan masa juga bagus. Cuma daripada aspek kandungan komedi sememangnya agak kurang,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP