Namun, di saat industri mengalami kemerosotan kutipan, muncul filem tempatan berbahasa Cina, The Journey, sebagai filem paling berjaya setakat ini.
Walaupun filem Cina kurang mendapat sambutan pada awalnya, namun tahun lalu menyaksikan permulaan yang baik apabila filem, The Wedding Diary 2 dan Once Upon A Time, masing-masing berjaya mencatat kutipan RM4.61 juta.
Berjaya meraih lebih RM15 juta dalam tempoh 27 hari tayangan, filem terbitan, Astro Shaw, ini menduduki rating tertinggi, sekaligus merampas takhta milik filem terbitan, KL Gangster, yang pernah meraih RM11.74 juta, pada 2011.
Ini merupakan kejayaan besar buat filem berbahasa Cina walaupun ia hanyalah karya yang menerapkan nilai cinta dan masyarakat. Mula ditayangkan pada 30 Januari lalu, filem arahan, Chiu Keng Guan, ini membawa kisah Uncle Chuan, yang berpegang teguh pada adat berasa kecewa apabila anak tunggalnya, Bee ingin berkahwin dengan jejaka Inggeris, Benji selepas sedekad menuntut di United Kingdom.
Walaupun berat hati untuk melepaskan anaknya kepada Benji, namun kasih seorang bapa, Chuan bersetuju dengan bersyarat dengan mengadakan majlis mengikut tradisi.
Tanpa paparan aksi yang hebat dan ganas, filem kekeluargaan ini mencipta satu fenomena baru sehingga berjaya menarik hati penonton untuk terus melabur di panggung.
Malah, amat mengejutkan apabila ada di kalangan penonton adalah daripada masyarakat Melayu yang dahagakan filem seumpama ini. Jika diteliti, filem ini bukanlah filem yang mendapat publisiti besar-besaran kerana kesemua aspek termasuk kos produksi dan promosi, adalah biasa-biasa sahaja.
Begitu juga dengan pemilihan pelakon yang kurang dikenali. Dalam temu bual terdahulu, Keng Guan pernah memberitahu bahawa tiada 'ramuan' istimewa dalam filem berkenaan, namun menganggap sesuatu yang kecil itu ada kalanya memberi impak yang besar.
Secara dasarnya, filem ini adalah 'sindiran halus' buat penggiat seni tempatan apabila filem Cina mampu pergi lebih jauh berbanding filem Melayu yang kebanyakannya dilihat tidak ubah seperti drama televisyen tanpa sentuhan magis!
Seni & Komersial: Gayatri Su-Lin Pillai
Ini bukanlah filem pertama penerbit ini dalam membawa elemen kemasyarakatan dan kekeluargaan. Sebelum ini, penerbit terkenal, Gayatri Su-Lin Pillai, pernah terlibat menerusi beberapa filem sebegini termasuk Papadom, Setem dan Papadom 2.
Menurut Naib Presiden Astro Shaw ini, sepanjang penglibatannya sebagai penerbit filem, ia adalah filem paling berjaya setakat ini. Pun begitu, Gayatri menganggap filem ini
tiada formula khas sehingga berjaya mendapat sambutan dari penonton di pawagam.
"Saya selalu cuba mewujudkan keseimbangan antara seni dan nilai komersial. Malah, saya berpuas hati dengan karya-karya sebelum ini walaupun kurang mendapat sambutan di penonton.
"Kadang-kadang, kita perlu akur dengan situasi penonton walaupun karya itu memenuhi elemen tersebut. Filem ini hanyalah filem biasa dan tiada apa-apa formula khas, ia adalah pencapaian yang tidak dijangkakan," katanya lagi.
Tambah Gayatri, ketika membaca skrip filem itu, dia tertarik dengan jalan ceritanya yang indah. "Sebelum ini, saya pernah bekerja dengan Keng Guan menerusi filem, Woohoo! dan
saya tahu bagaimana cara kerjanya.
"Saya juga sangat yakin dengan sentuhan Keng Guan dan berharap agar filem ini akan terus berjaya," kata penerbit filem, Penanggal, Awan Dania The Movie dan Husin, Mon & Jin
Pakai Toncit ini.
Kena dengan selera: Mamat Khalid
Tiada masalah untuk menyokong filem lain, pengarah terkenal, Mamat Khalid, mengakui turut meluangkan masa menonton karya berkenaan. Menurut pengarah filem, Hantu Kak Limah Balik Rumah, kejayaan itu membuktikan bahawa filem ringan ini mampu mendapat sambutan memberangsangkan sehingga menyaksikan sebilangan besar penonton ke
pawagam.
"Bagus, itu bermakna kalau filem 'kena' dengan selera, kutipan akan menjadi tinggi. Ia juga membuktikan masih ramai jumlah penonton ke pawagam. Saya tidak nafikan, filem itu adalah filem ringan yang bagus dan sesuai ditonton seisi keluarga.
"Namun, saya kecewa kerana filem Cina mendapat sokongan Melayu, namun filem Melayu tak mampu untuk menambat hati 'deme'," katanya lagi.
Kuasa penonton Cina!: Ahmad Idham
Bagi pengarah dan penerbit terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, filem itu bukanlah satu karya yang perlu mendapat pujian setinggi gunung. Menurut Idham, ia lebih menjurus kepada kuasa penonton dan masyarakat Cina yang sentiasa memberi sokongan kepada filem mereka.
"Sebenarnya, filem ini adalah filem biasa sahaja, namun saya tidak nafikan kuasa yang ada pada penonton. Masyarakat Cina sememangnya sepakat dalam apa jua perkara termasuk juga hal politik.
"Ini adalah perkara normal dalam pelaburan industri apabila sesuatu filem itu berjaya mendapat sambutan di luar jangkaan. Kalaulah masyarakat Melayu sama seperti semangat orang Cina, sudah pasti karya kita juga akan berjaya," katanya yang belum berpeluang menyaksikan filem itu.
Jelasnya lagi, tidak seperti filem Cina, kebanyakan filem tempatan akan berdepan dengan pengkritik tidak bertauliah yang sengaja mencari kelemahan dan kekurangan dalam sesebuah filem.
"Inilah penyakit orang Melayu. Tidak cuba untuk memberikan sokongan kepada produk kita. Malah, ditambah pula dengan ulasan-ulasan yang tidak perlu. Pada pemerhatian saya, orang Cina susah mengkritik filem sendiri walaupun ia teruk atau tidak menepati cita rasa," katanya.
Tambah Idham, jumlah kutipan itu akan terus bertambah sekiranya mendapat kerjasama daripada pihak pawagam untuk melanjutkan tempoh tayangan.
"Saya juga terkejut apabila filem ini boleh dilanjutkan hingga sebulan sedangkan filem saya seperti, Hantu Bonceng, dulu hanya ditayangkan dua minggu sahaja walaupun mencapai kutipan box office," katanya.
Jadi pembakar semangat: Datuk Yusof Haslam
Jika sebelum ini, filem terbitannya, KL Gangster, berjaya berada di takhta tertinggi dalam senarai filem sepanjang dua tahun. Namun, ternyata, filem The Journey, berjaya melepasi kutipan filem terbitan Skop Productions, sekali gus memberi tamparan hebat.
Menurut penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam, tidak terdetik rasa kurang berpuas hati atau tercabar dengan pencapaian filem berbahasa Kantonis itu.
"Sebelum ini, saya pernah beritahu Syamsul, bahawa akan ada filem yang berjaya menandingi filem KL Gangster. Jadi, ianya terbukti apabila filem ini berjaya meraih kutipan yang tinggi. Saya berbangga dengan kejayaan itu kerana ia memberi gambaran bahawa industri tidak kehilangan penonton.
"Namun, satu ketika dulu, saya pernah meletakkan sasaran bahawa KL Gangster 2 bakal menggantikan tempat itu. Ianya gagal dicapai apabila filem ini telah disabotaj dan mula ditonton sebulan sebelum tarikh tayangan," katanya yang hanya mengutip hampir RM5 juta untuk filem berkenaan.
Menurut ikon seni ini, kejayaan The Journey perlu dijadikan pembakar semangat penggiat seni lain untuk terus berkarya.
0 comments:
Post a Comment