ANDY dikenali ramai sebagai komposer, penyanyi dan pemuzik dalam persada muzik tanah air sejak lebih 10 tahun lalu. Namun, sama seperti para peminat lain, dia juga mempunyai penyanyi dan pemuzik kegemarannya.
Sebab itu, penyanyi kumpulan rock Flop Poppy ini tidak akan melepaskan peluang jika diberi kesempatan menonton konsert kumpulan-kumpulan rock Barat yang telah banyak mempengaruhinya selama ini.
Menurut Andy atau nama sebenarnya Megat Effendy Zakaria, pada 2011 dia berpeluang menyaksikan festival muzik rock terbesar di Australia yang dikenali Soundwave dan sejak itu ia telah mengubah kehidupannya.
Anak seni berusia 42 tahun ini seakan-akan puas kerana dapat menyertai festival yang diadakan selama dua hari dengan membariskan hampir 100 kumpulan rock yang sebahagian daripadanya adalah kumpulan kegemarannya.
Jelas Andy, lantaran kepuasan itu jugalah dia mengambil keputusan untuk mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah pada tahun berikutnya yang mana ia seolah-olah sebagai isyarat buatnya beralih haluan dalam pelbagai aspek.
Saya dapat pergi ke festival Soundwave itu pun kerana kebetulan diberi sekeping tiket percuma oleh seorang kawan yang tidak dapat pergi ke festival itu. Saya anggap tiket itu macam rezeki dan membuka laluan lain kepada saya.
Mana tidaknya pada festival yang diadakan di Perth, Australia setiap tahun itu kebanyakan kumpulan kegemaran saya beraksi di situ. Antaranya Iron Maiden, Slayer, Primus, Rob Zombie, Dimmu Borgir dan banyak lagi.
Saya cakap kalau selepas ini tidak dapat pergi lagi ke festival yang macam itu pun tidak mengapa kerana saya betul-betul puas hati. Setahun selepas itu iaitu pada 2012 saya pun pergi umrah," katanya kepada Hits baru-baru ini.
Kata penyanyi yang popular dengan lagu berjudul Sewaktu Dulu ini, sewaktu mengikuti festival Soundwave dia seakan-akan terpaku kerana dapat menonton persembahan kumpulan-kumpulan rock kesukaannya secara langsung.
Dia yang ditemani oleh dua lagi rakannya iaitu Shah dan Ken turut mengambil kesempatan sewaktu kunjungan ke Perth itu dengan menjelajah banyak tempat menarik di sana yang mana itu adalah peluang terbaik pernah diperolehinya.
Selain menyaksikan festival Soundwave, kami bertiga juga menghabiskan masa 12 hari secara keseluruhannya untuk menghabiskan masa bersama-sama di sana. Pengalaman itu memang sukar untuk dilupakan dalam hidup saya.
Ini kerana, festival selama dua hari itu menyediakan lebih lima pentas bagi membolehkan hampir 100 kumpulan beraksi dalam festival selama dua hari berturut turut itu dengan disaksikan lebih 50,000 penonton.
Itu adalah konsert rock terbesar yang pernah saya saksikan yang mana ia seperti memenuhi impian saya sejak dari zaman remaja. Selepas menonton festival itu hati saya puas dan baharulah mula terfikir buat perkara lain," ujarnya.
Tunai umrah sendirian
Setahun selepas menyaksikan festival Soundwave, Andy mengambil keputusan untuk mengerjakan umrah di Mekah termasuklah ke Madinah.
Pemergiannya ke Tanah Suci tidak ditemani isteri, anak-anak atau sanak saudara kerana penyanyi yang pernah berduet dengan Misha Omar melalui lagu Sembunyi punya alasan tersendiri.
Saya memang mahu pergi umrah sendirian kerana ini adalah kali pertama saya ke sana. Sebagai permulaan biarlah saya pergi seorang dulu kerana sebagai suami dan bapa ini adalah tanggungjawab saya sendiri.
Sebagai ketua keluarga saya mahu tunaikan tanggungjawab ke atas diri sendiri dulu. Mungkin kalau ada rezeki saya akan membawa isteri dan anak-anak ke sana. Ini kerana saya ada rancangan untuk ke sana lagi.
Daripada pengalaman itu, saya dapat banyak ketenangan dan mula mengenali akan erti hidup yang sebenar. Apatah lagi, ketika saya pergi ke Mekah ia dalam bulan Ramadan dan saya kemudiannya sambut raya di sana sendirian.
Itu adalah pengalaman berharga kerana selepas kunjungan tersebut hati saya memang tertarik untuk pergi ke sana lagi kalau diizinkan Allah. Sejak balik dari Mekah saya sedikit sebanyak mula berubah ke arah agama," jelasnya.
Selain itu, penyanyi yang menyimpan janggut dan sering berkopiah ini turut tidak dapat melupakan kenangan sedih iaitu pemergian kawan baiknya Firdaus atau lebih dikenali sebagai Os ke rahmatullah kira-kira empat tahun yang lalu.
Allahyarham yang juga bekas gitaris kumpulan rock Naked Butterfly itu merupakan kawan baiknya sejak lebih 20 tahun lamanya dan pengalaman menguruskan jenazah temannya itu turut memberi kesan kepada Andy.
Saya kenal arwah semasa sama-sama tinggal serumah di Brickfields, Kuala Lumpur pada awal tahun 1990-an. Kami berkawan baik dan saya turut terbabit menguruskan jenazahnya sewaktu di Hospital Sungai Buloh.
Arwah yang meninggal dunia pada 5 Ogos 2010 memang memberi kesan dan keinsafan kepada saya. Ia memberi impak besar kepada saya, malah anak-anak saya juga mengenali arwah sejak mereka masih kecil lagi," tuturnya.
Tambah bapa kepada enam orang anak ini, sejak saat itu dia juga mula aktif dengan menghadiri kelas-kelas ilmu bersama-sama kawan-kawannya di surau-surau atau masjid-masjid di sekitar Petaling Jaya dan Rawang, Selangor.
Malah, Andy turut tidak ketinggalan semakin menerapkan nilai-nilai positif termasuklah elemen-elemen ketuhanan menerusi lagu-lagu ciptaannya sejak kebelakangan ini sebagai suatu manifestasi atas penghijrahannya itu.
Setakat ini saya ada lebih kurang lima lagu baharu yang belum dirakamkan lagi. Tetapi sebagai permulaan saya telah merakamkan sebuah lagu bertajuk Tekad dalam sebuah demo tape. Lagu itu dalam genre muzik pop.
Saya yang mencipta lagu itu dan liriknya pula ditulis oleh Taheera Mohamad. Ini adalah projek solo saya yang mana lagu itu telah pun berada dalam YouTube sejak kira-kira dua minggu lepas dan ia mendapat sambutan ramai peminat.
0 comments:
Post a Comment