Sebagai permulaan bergerak secara solo, Noh bakal tampil dengan album pertamanya dengan lima buah lagu baru yang mengetengahkan adunan muzik yang nyata berbeza daripada karya yang pernah dihasilkan bersama band Hujan sebelum ini.
Kata Noh, minatnya terhadap karya muzik jazz dengan elemen pop Nusantara adalah pendorong utamanya untuk bergerak solo.
“Dalam album ini, karya-karya yang saya cipta sendiri yang turut mendapat sentuhan kreatif daripada pemuzik dari Indonesia memang berbeza.
“Menerusi album ini, peminat akan nampak sisi berbeza saya dan saya mengharapkan peminat akan menerimanya,” ujarnya.
Selain menampilkan lagu-lagu yang berbeza dari genre yang pernah disampaikan, istimewanya album kali ini turut menampilkan lagu-lagu yang ditujukan khas buat isterinya, Mizz Nina dan ibu bapa serta mertuanya.
“Angin Kencang dan Bunga Di Telinga adalah lagu yang saya cipta khas buat Nina dan Biar Seribu didedikasikan buat ibu dan bapa serta kedua mertua sempena ulang tahun perkahwinan mereka.
“Mereka dan Hujan banyak memberi inspirasi kepada saya untuk menyempurnakan album ini,” katanya.
Selain Angin Kencang, Biar Seribu dan Bunga Di Telinga, lagu lain yang turut dimuatkan dalam album ini adalah Sang Penikam dan Gelung.
Bukan masa bersara
Sekadar ingin berkongsi hala tuju muziknya dengan peminat, Noh ingin lari dari ‘bunyi’ Hujan dan mencuba sesuatu yang baru.
“Setelah mengharungi pelbagai pengalaman bersama Hujan, saya rasa kini sudah tiba masanya untuk saya mengembangkan lagi karier sebagai artis solo.
“Sebenarnya memang sudah lama saya merancang untuk bergerak sendiri. Sekarang saya ambil keputusan untuk bercuti sebentar bersama Hujan untuk fokus album solo ini,” katanya ketika ditemui pada sesi pra dengar album barunya baru-baru ini.
Bagaimanapun, penampilan solonya tidak membawa maksud zaman Hujan bakal berakhir, tapi ia lebih kepada ekspresi secara secara individunya sebagai pemuzik.
Dalam pada itu, Noh akui buat masa ini dirinya belum bersedia untuk meninggalkan bidang seni memandangkan itulah minat dan juga lubuk rezekinya selama ini.
“Nina ada juga beri ‘hint’ pada saya supaya berhenti daripada bidang ini tapi dia tidaklah mendesak.
“Bukannya saya tidak mahu buat tapi inilah rezeki yang saya ada untuk menyara keluarga, tambahan pula saya ketua keluarga yang ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
“Saya akui ‘hint’ yang dia beri itu banyak buat saya berfikir. Walaupun belum bersedia sepenuhnya, tapi saya sudah mula memperlahankan aktiviti ini,” jelasnya.
0 comments:
Post a Comment