SUDAH menjadi kebiasaan, andaian dan tafsiran umum yang negatif seringkali kita dengar berkenaan wanita yang menjadi isteri kedua.
Paling teruk, mereka juga akan digelar perampas suami orang dan perosak rumah tangga wanita lain. Sebenarnya hidup bermadu itu tidak semestinya tidak bahagia. Mengakui perkara itu, penyanyi Nor Salima Habibi atau Salima memberitahu, bahtera perkahwinan yang dilayarinya sejak tiga bulan lalu, tidak mempunyai masalah. Malah, dia yang menjadi isteri kedua kepada penceramah bebas, Ustaz Syed Abd. Kadir Syed Hussin Aljoofre cukup bahagia dengan kehidupannya sekarang. Kata Salima hidupnya yang dahulu dengan sekarang tiada bezanya. Sementelah, dia dan madu yang mesra dipanggil 'kakak' itu sangat baik terhadap dirinya. Setakat ini hubungan kami berdua baik. Lagipun dia yang memberi restu kepada suami
untuk mengahwini saya. Kalau orang tanya mengenai status saya sebagai isteri kedua, saya hanya boleh simpulkan yang kami bahagia. Lagipun isteri pertama suami saya baik hati. Saya tiada masalah dengan kakak. Apa yang penting adalah sikap tolak ansur. Memang tidak dinafikan, kita sering dengar persepsi negatif yang dikeluarkan oleh orang tentang kehidupan bermadu.
Ada yang kata isteri muda biasanya inginkan perhatian tetapi saya tidak rasakan semua itu kerana saya melihat suami kami seorang yang adil.
Poligami itu ada hikmahnya. Saya selesa dengan suami dan perkahwinan itu mendidik saya untuk sentiasa menghormati isteri pertama suami saya.
Kini, apa yang perlu saya lakukan ialah menjadi seorang isteri yang baik, bertanggungjawab dan bertimbang rasa serta perlu memahami yang saya adalah isteri kedua," kata bekas bintang Akademi Fantasia 4 ini.
Menjelaskan dengan lebih lanjut perhubungannya dengan madunya, Salima memberitahu, mereka sering bertukar-tukar makanan dan hadiah antara satu sama lain. Selain itu, Salima turut mengakui yang dia pernah berjumpa dengan tiga orang anak kepada suaminya.
Pernah juga saya jumpa dengan anak-anak suami saya. Walaupun mereka bukan anak-anak sendiri tetapi saya anggap mereka juga sebahagian daripada hidup saya. Kalau ada masa jumpa, saya akan menghantar mereka ke sekolah juga," kata Salima ketika menghadirkan diri ke sesi fotografi di Studio Utusan, barubaru ini.
Tidak lekang dengan senyuman ditambah dengan raut wajahnya yang tenang ketika menjawab setiap persoalan, wanita berusia 26 tahun ini turut mengakui, dia sedang memperbaiki dirinya selepas bergelar isteri seorang ustaz.
Suami lembut tapi tegas
Suami saya seorang yang lembut tetapi dia tegas, " begitu ungkapan yang keluar daripada mulut Salima apabila diminta bercerita mengenai Abd. Kadir suami yang dinikahi pada 30 November lalu di kampung halamannya di Ipoh, Perak.
Menurut Salima, sepanjang mengenali Abd. Kadir, dia tidak pernah melihat suaminya itu marah, malah kalau ada perkara yang tidak berkenan pun, suaminya hanya akan tersenyum kemudian menegur secara berhemah. Ungkapan yang keluar itu juga membuktikan utuhnya kepercayaan Salima terhadap suami walaupun tidak mengenali siapa suaminya sebelum disatukan bersama.
Jujur saya katakan, saya memang tidak mengenali siapa suami saya yang sebenarnya. Saya hanya diberitahu oleh seorang ustaz yang mengajar saya bersama kumpulan Usrah Fitrah bahawa ada seorang lelaki mahu memperisterikan saya.
Itu yang orang kata, jodoh itu hadir tanpa diduga. Saya menerima suami selepas bertanyakan pandangan ibu bapa dan melakukan solat istikharah.
Saya terima lamaran itu dan memberi syarat supaya ambil saya dengan cara terhormat. Sebagai wanita Islam, sebelum berkahwin, dia mestilah mendapat keizinan isteri pertama dan ada kenduri walaupun ringkas," jelasnya. Tempoh tiga bulan bergelar isteri, ia
sedikit sebanyak membuka lembaran kisah hidup Salima untuk dikongsi bersama. Kata Salima, suaminya juga sentiasa berpesan agar menjaga keselamatan diri.
Suami saya juga ada melarang untuk tidak selalu bergerak seorang terutama ke tempat yang jauh. Kalau boleh, sekarang memang saya akan balik sebelum pukul 12 tengah malam. Apa yang paling lucu sekali, suami berpesan supaya jangan naik kapal terbang sendiri. Itu yang paling dia takut. Kalau boleh mesti ada orang teman," katanya.
0 comments:
Post a Comment