Loading...
Tuesday, March 11, 2014

Anak bahagiakan kami

PASANGAN ini enggan mengenang kisah lama dan fokus kepada masa depan hidup berkeluarga.
TARIKH 11 Oktober 2013 telah membongkar segala-galanya. Pengakuan Aeril Zafrel, 26, telah menggemparkan media walaupun pada awalnya pernikahan dengan Wawa Zainal, 23, cuba dirahsiakan daripada pengetahuan semua pihak.
Akibat sengketa itu, pasangan ini telah menyepi dan disisihkan selama beberapa bulan. Setelah hampir enam bulan senyap dari dunia hiburan, Aeril Zafrel yang dihubungi menyahut pelawaan Hits untuk melakukan sesi fotografi khas ini. Ini merupakan sesi fotografi yang pertama buat dirinya setelah berlakunya perkara itu.
Bertemu dengan pasangan sejoli ini di butik Wawa Zainal yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor, setiap persoalan dijawab dengan tenang oleh pasangan ibubapa muda ini.
Kelihatan begitu bahagia, pasangan ini dilihat semakin matang dan berhati-hati dalam membawa diri sebagai selebriti yang dikenali.
Memulakan bicara, Aeril Zafrel sebagai suami berkata, mereka sebenarnya tidak bersembunyi. Kehidupan mereka sekarang sudah cukup bahagia, malah cukup bergembira dengan apa yang dimiliki ketika ini.
“Saya tidak mahu lagi menoleh ke belakang, mahu pandang ke hadapan dengan penuh positif. Dan saya juga tidak perlu bimbang pandangan orang lain terhadap kami. Saya sudah ada anak dan isteri yang sangat saya cintai.
“Apa yang berlaku ada hikmahnya, sekarang saya bebas menjalankan kehidupan saya sebagai suami mahupun seorang ayah. Saya tidak takut membawa isteri dan anak saya berjalan-jalan. Apa yang sudah lepas biarlah ia berlalu," katanya yang juga pernah kusut ketika kontroversi perkahwinannya sedang hangat diperkatakan tahun lalu.
Namun, sesi fotografi yang diatur itu tidak dihadiri oleh anak mereka Ahmad Fakhruddin Attar selepas Aeril menolak pelawaan Hits untuk melakukan sesi itu bersama anak.
Masih belum bersedia untuk memperkenalkan anaknya secara dekat dengan media, pasangan ini tidak mahu bayi mereka terlalu cepat untuk mendapat pendedahan.
“Biarlah dia membesar dengan baik sebagaimana bayi-bayi lain. Minta maaf kalau saya tidak boleh membawanya ke sesi ini. Tunggulah dan kalau masa sudah mengizinkan saya akan membawanya ke sesi fotografi. Apa yang penting, doa kalian untuk kebahagiaan kami sekeluarga.
“Kehidupan saya sekarang banyak dihabiskan dengan anak dan juga isteri. Saya sangat gembira melihat perkembangan anak saya dan boleh dikatakan dialah penyeri hidup kami.
“Berbanding kehidupan zaman bujang dahulu, kehidupan saya kini lebih tenang dan teratur," ujar Aeril.
Bersetuju dengan penjelasan suami, bagi Wawa Zainal, anaknya telah membahagiakannya dan mengakui komitmen dirinya sebagai ibu sangat tinggi.
“Selain suami, anak juga hero buat diri saya. Kehadiran Attar telah cukup mematangkan saya. Saya dapat merasakan tanggungjawab saya sudah bertambah. Bukan setakat menjadi isteri, saya juga seorang ibu dan perlu menjalankan tanggungjawab yang lebih besar," katanya yang kini juga dalam proses pembelajaran hal yang berkaitan kekeluargaan.
Attar happy baby
Dilahirkan pada 24 Ogos lalu, Attar kini sudah berusia enam bulan. Rasanya ramai yang ingin mengetahui perkembangan terkini anak kepada pelakon yang pernah popular dengan drama bersiri Klik ini.
Gembira sambil tersenyum menceritakan tentang anaknya, Aeril akui Attar adalah seorang bayi yang sangat senang dijaga.
“Anak saya baik. Dia happy baby. Sekarang Attar membesar dengan sihat. Buat masa ini juga dia belum lagi menangis kerana perkara bukan-bukan. Tangisannya hanya akan keluar bila nak tidur mahupun sedang lapar.
“Nasib baik. Attar juga tidak takut berjumpa dengan orang baru. Dia akan tunjukkan muka gembira seolah-olah dia sedang teruja untuk berkenalan malah tidak akan menangis pun kalau didukung.
“Dia memang senang untuk mengenali orang. Selain itu, Attar juga akan menjadi jam loceng buat saya. Dia akan kejutkan saya seawal pukul 5.30 pagi dan bolehlah saya bersiap-siap untuk sembahyang Subuh," katanya.
Tambah Aeril, dia yang kini sedang mendalami ilmu agama bersama isteri juga akan memperdengarkan bacaan ayat-ayat al-Quran kepada anaknya.
“Setiap kali membaca al-Quran, saya akan berada di sebelah anak saya. Saya mahu dia mula mendengar ayat-ayat suci. Selain itu, saya juga akan menyanyi di sebelah dia supaya dia selalu mendengar," kata Aeril.
Jika si ayah gembira melihat perkembangan anak di depan mata, si ibu pula bercerita tentang badannya yang semakin kurus.
Gelak kecil sahaja Wawa apabila ditanya tentang badannya sambil mengakui bahawa beratnya sudah menurun daripada 48 kilogram kepada 40 kilogram.
“Mungkin saya penat menjaga anak, sebab itu badan saya semakin kurus. Dia kini sudah lasak dan saya perlu memberi lebih perhatian kepadanya.
“Alhamdulillah, ibu saya datang dari Sabah dan tinggal bersama saya untuk membantu menjaga Attar kerana saya sudah mula sibuk bekerja," katanya.
Akui Wawa yang seronok menjalani tugas sebagai ibu dan isteri, dia sebenarnya lebih banyak menghabiskan masa di rumah daripada bekerja.
“Selepas apa yang berlaku, kisah pernikahan kami diketahui ramai, saya lebih banyak menghabiskan masa bersama anak dan suami.
"Saya bukan lari atau menghilangkan diri seperti yang didakwa, tetapi memberi lebih tumpuan kepada keluarga. Itu lebih baik buat kami ketika itu," tuturnya


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP