Loading...
Saturday, March 15, 2014

Senyuman puluhan ribu ringgit!


Kepakaran teknologi masa kini dalam pelbagai bidang, memungkinkan apa saja, sekalipun membabitkan hal yang mustahil.
Mengambil contoh industri kecantikan yang cukup berkait rapat dengan kehidupan glamour, dihuni golongan selebriti, pelbagai jenis rawatan kecantikan dan pembedahan kosmetik yang merangkumi setiap inci tubuh dan wajah, mampu menjanjikan penampilan diri yang lebih sempurna. Sekali gus, mengubah yang kurang menawan menjadi lebih jelita dan tampan.

Bagaimanapun, isu yang ingin diketengahkan dalam RAP edisi Syok Sabtu! kali ini bukan berkisar kepada rawatan botoks, kolagen mahupun pembedahan plastik yang sudah semacam isu kedai kopi, sebaliknya ingin membawa pembaca mendengar pengalaman mengenai kaedah rawatan gigi dan pembedahan kosmetik untuk memiliki gigi yang cantik.

Memiliki jajaran gigi yang tersusun, rata dan putih berseri, menjadi impian setiap insan. Tambahan pula ramai berpendapat jika muka saja cantik tapi gigi tidak bersih atau kurang tersusun, boleh menyebabkan seseorang hilang keyakinan diri.
Foto
MISHA Omar

Justeru, pelbagai kaedah rawatan yang ditawarkan untuk membolehkan anda memiliki ‘senyuman yang menawan’. Antaranya, pemutihan gigi, ‘veneer’, ‘crowning’, tampalan komposit, ortodontik, gigi palsu, ‘bridge’ dan implan.

Bagi yang mengutamakan gaya, boleh mencuba aksesori gigi sebagai memenuhi kehendak ‘trend dan style’ antaranya gigi emas, LED Smiles (fenomena di Jepun khususnya pada 2011), ‘Twinkle Teeth’, ‘Tattoo’ dan ‘Tooth Jewellery’.

Namun, jangan terkejut untuk sekuntum senyuman menawan, adakalanya rawatan boleh mencecah puluhan ribu ringgit atau bersamaan harga sebuah kereta Kancil.


Misha Omar (penyanyi & pelakon)

Jenis Rawatan:
 Ortodontik menggunakan aplians pembetulan yang dikenali sebagai pendakap atau ‘braces’, untuk membawa gigi dan rahang ke kedudukan yang lebih baik.

Misha: “Saya memakai pendakap gigi selama tiga tahun setengah bermula pada tahun 2006 hingga 2010. Tujuan saya memakainya untuk membetulkan jajaran gigi supaya gigitan antara gigi sama. Saya mendapatkan khidmat di sebuah klinik di Ampang. Kos untuk membuat pendakap ini saja menelan belanja RM8,000.”


Yana Samsuddin (pelakon)

Jenis rawatan:
 Pemutihan gigi & Veneer (meratakan gigi)

Yana: “Lebih kurang tiga bulan lalu, saya melakukan rawatan untuk meratakan juga memutihkan. Sebelum ini saya juga pernah memakai pendakap gigi. Soal berapakah kos yang dilaburkan untuk penjagaan gigi yang sudah dilakukan rasanya tidak perlu dihebahkan kepada umum. Saya melakukan ini kerana saya memang seorang yang mengambil berat soal kecantikan”.

Info: Berdasarkan hasil rujukan yang dibuat rawatan Composite Veneer antara rawatan yang termahal kerana untuk sebatang gigi ia boleh mencecah RM1,000 sebatang.


Alyah (penyanyi)

Jenis rawatan:
 Crown (boleh digunakan untuk menukar warna dan juga bentuk gigi. Biasanya ia digunakan untuk gigi yang rosak dan juga untuk gigi yang kedudukannya lari dari gigi lain (gigi terkebelakang atau berlapis)

Alyah: “Saya mengikuti rawatan ini kerana struktur gigi saya tidak teratur selain ada masalah gigi berlapis. Gigi berlapis yang kronik membuatkan kita kurang selesa apabila bercakap mahupun mengunyah makanan. Kos untuk rawatan ini, saya laburkan lebih kurang RM20,000."


Shahir AF8 (penyanyi)

Jenis Rawatan:
 Ortodontik

Shahir: “Saya mula memakai pendakap gigi sejak November 2008. Rawatan keseluruhan termasuk susulan lebih RM4,000. Namun disebabkan ketika proses rawatan saya dipilih masuk ke dalam Akademi Fantasia 8, rawatan dengan doktor asal saya terpaksa dihentikan dan kemudian saya mendapatkan pula khidmat pakar pergigian di Kampar. Tujuan saya memakainya, untuk menyamakan kedudukan gigi atas dan bawah."


Artis barat turut berhabis

Lupakan coli kon dan korset, pada khalayak ramai Madonna adalah penyanyi yang berani dengan ‘fashion statement’nya. Namun beliau maju setapak lagi dengan ‘fashion statement’ yang agak keterlaluan iaitu gril emas.

Bintang pop berusia 55 tahun ini dengan bangganya menayangkan gigi yang berkilau emas ketika dia berada di kelab kesihatan Hard Candy di Rom.

Penyanyi rap, Kanye West yang juga tunang kepada Kim Kardashian pula mempunyai gigi yang diselaputi berlian, manakala rakan nyanyiannya Rihanna, Miley Cyrus dan juga Beyonce turut mempunyai gigi berlian atau emas sebagai hiasan pada gigi mereka.

Bukan saja Madonna yang menggemari 'trend' gigi bling bling, bintang pop terkenal Katy Perry turut mempamerkan gril berlian diselaputi ejaan Roar pada giginya dalam MTV Video Music Awards 2013.

Ramai tertanya-tanya kenapa Madonna menyertai barisan selebriti yang bangga menayangkan gigi emas mereka atau gigi bling bling. Bagi penyanyi rap apa yang ditayangkan adalah sebagai aksesori mahal dan mewah sebagai simbol kekayaan manakala yang lain mendakwa ia adalah satu bentuk ekspresi peribadi.

‘Teeth guard’ yang diperbuat daripada logam seperti platinum dan emas seerta diselaputi berlian permata berharga mula menjadi popular pada era 1980-an.

Penyanyi Nelly pernah menghasilkan lagu mengenai ‘grillz’ atau ‘teeth guard’ pada 2005. Rihanna serta perenang Olimpik Ryan Lochte juga mempunyai ‘grillz’.

Pendakap gigi emas boleh tang­gal, yang diperbuat daripada logam seperti platinum dan emas dan sering diselaputi dengan permata berharga, mula-mula menjadi popular di Eighties .

Menurut pakar budaya pop Eloise Parker ‘grillz’ adalah sangat mahal antara satu sebab ia menjadi status identiti bagi selebriti bertaraf lima bintang.
Penyanyi Lil Wayne menggemari ‘grillz’ berlian yang berharga RM330,000. Program TV terkenal Ugly Betty juga meninggalkan impak yang besar .

Namun Gwen Stefani terlebih dulu memakai gigi palsu ala Ugly Betty.

“Saya tidak mampu memakai gigi logam ketika di zaman kanak-kanak dan kerana itu saya memakai ketika dewasa lebih kepada pilihan gaya,” kata Gwen.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP