Loading...
Wednesday, March 12, 2014

Setahun Enot dipinggirkan

REZEKI Enot kini tidak hanya pada bidang seni, dia mula berniaga untuk menampung perbelanjaan keluarga.
HAMPIR 20 tahun mengabdikan diri dalam bidang lakonan, pelakon komedi, Aliza Abdullah atau lebih dikenali sebagai Enot, 38, kini dilihat semakin menyepi dalam bidang seni mahupun pengacaraan.
Hampir setahun kelibat wanita yang terkenal dengan lakonan bersahaja itu tidak kelihatan di kaca televisyen, apatah lagi di layar lebar, Hits cuba menghubungi Enot dan akhirnya berjaya mendapatkan jawapan dari empunya diri mengenai ‘kehilangannya’.
Menurut Enot, sejak berhijrah kepada imej bertudung dua tahun lalu, tawaran yang diperolehnya semakin hari semakin kurang dan sehingga hari ini, sudah setahun dia tidak menerima sebarang tawaran untuk menjayakan program televisyen.
“Saya sendiri tidak tahu apa puncanya yang menyebabkan masalah ini berlaku. Saya tidak menerima sebarang tawaran sama ada untuk berlakon mahupun sebagai pengacara yang merupakan punca rezeki saya sebelum ini.
“Saya mula sedar situasi ini setelah lebih enam bulan atau setengah tahun selepas saya berimej begini. Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak jika mereka tidak mahu mengambil saya berlakon disebabkan saya bertudung.
“Cuma beranggapan, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin rezeki dalam bidang lakonan dah tertutup, tetapi dibuka pula pintu rezeki lain. Ini semua kerja Allah dan saya reda dengan ketentuan-Nya," katanya ketika dihubungi.
Sementelah tidak lagi aktif dalam bidang seni, Enot masih lagi bersyukur atas bakatnya yang berkebolehan untuk membuat kek atau biskut. Justeru, katanya, dia menggunakan kelebihan tersebut untuk meraih pendapatan buat seisi keluarga.
Cerita Enot, dia mula sibuk dengan pelbagai tempahan yang diterima di samping memulakan perniagaan kecil-kecilan di hadapan sekolah anaknya di Sentul.

“Syukur Alhamdulillah, satu pintu ditutup, satu pintu lain pula dibuka untuk saya mencari rezeki. Malah, dengan berniaga, saya percaya ia adalah cara paling diberkati oleh-Nya untuk setiap individu mendapatkan sesuap nasi.
“Walaupun secara kecil-kecilan, saya reda. Ia sudah memadai untuk perbelanjaan kami sekeluarga. Insya-Allah, jika ada rezeki lebih, saya akan mulakan perniagaan bakeri di premis. Bisnes sekarang ini hanya secara online," jelasnya.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP