"Apa yang perlu kita lakukan kini adalah berdoa dan terus berdoa agar keajaiban akan berlaku," luah bekas Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berhubung insiden kehilangan pesawat MAS, MH370 yang sehingga kini masih kekal misteri.
Tambah Zed atau nama sebenarnya, Rozaidi Abdul Jamil, 34, lagi kehilangan pesawat berkenaan membawa satu kemusykilan yang cukup besar sehingga menimbulkan satu persoalan yang cukup rumit untuk dirungkaikan.
"Kita perlu lebih berusaha untuk mendapat 'jawapan' di mana MH370. Tidak cukup dengan itu, kita turut mendapat bantuan dari negara luar seperti China, Amerika Syarikat dan Vietnam.
"Malah, saya dapat tahu hari ini, kita juga mendapatkan khidmat dari bomoh dalam membantu menyelesaikan masalah ini," katanya pada Sinar Harian.
Biarpun sebelum ini, Zed mendapat kecaman 'hebat' dari semua pihak lantaran status yang dimuat naik di laman sosial Twitternya namun, kata Zed, perkara itu semua berlaku kerana atas dasar salah faham.
Dia bagaimanapun, menerusi laman sosial Twitternya juga telah memohon maaf atas kenyataan itu dan memberitahu bahawa dia keliru dengan maklumat berkenaan dan tidak bertujuan untuk memburukkan keadaan.
"Sebenarnya, saya maksudkan pada MAS agar meningkatkan tahap perkhidmatan mereka. Sementelahan lagi, banyak hal telah terjadi sebelum kapal terbang berkenaan dilaporkan hilang.
"Lagipun, takkanlah saya ni bodoh sangat nak memperlekehkan sesuatu yang dibangga-banggakan oleh rakyat Malaysia.
"Cubalah berfikir secara rasional," jelasnya yang turut banyak terlibat dengan pelbagai tanggungjawab sosial korporat.
Dalam pada itu, ketika ditanya adakah dia bersedia untuk menggunakan perkhidmatan MAS selepas 'terjerat' dengan kritikan sendiri, Zed dengan tegas menjawab:"Saya tiada masalah dengan perkara itu.
"Kenapa kita perlu rasa malu? Setiap kritikan yang dibuat, kita berharap agar ada penambahbaikan daripada pihak di sana.
"Kita ini orang Malaysia. Jadi, sebagai orang Malaysia, kita perlu bangga dengan apa yang kita ada.
"Contohnya, kes Nasi Lemak Telanjang, ia adalah pandangan daripada seseorang yang sangat mahir dalam bidang itu," akhirinya.
0 comments:
Post a Comment