Loading...
Wednesday, March 12, 2014

Aidid Marcello Sukar Buat Keputusan Tinggalkan TV3

Personaliti TV3 Aidid Marcello mengakui keputusan meninggalkan kerjayanya sebagai Penerbit Ekskutif di stesen berkenaan berkuatkuasa Isnin depan adalah sukar.

Aidid bagaimanapun berkata, keputusan itu adalah sesuatu perlu dilakukan kerana ingin memberikan perhatian kepada syarikat produksinya sendiri iaitu Mindquest Productions yang mula beroperasi secara rasmi sejak beberapa bulan lalu.

"Harus saya akui berat dan sukar untuk saya membuat keputusan meninggalkan kerjaya di TV3 tetapi ia adalah sesuatu yang harus saya lakukan demi masa depan.

"Bagaimanapun ini adalah satu peralihan dalam karier saya ke tahap lebih tinggi dan berharap dapat mengembangkan lagi kerjaya saya dalam bidang penyiaran," katanya kepada mStar Online.

Aidid ditemui pada majlis pelancaran program terbaharu Terima Kasih Sayang di Restoran Talent Lounge di sini, Rabu.

Program yang memberikan pengiktirafan kepada kaum wanita itu turut menampilkan barisan artis seperti Hisyam Hamid bersama isteri, Fizo Omar dan Mawar selain Sharifah Aleya dan Sharifah Amani.

Ia bakal bersiaran setiap Jumaat pada pukul 6 petang bermula 28 Mac ini.

Dalam perkembangan sama, Aidid berkata, faktor usia dan keluarga turut menyumbang kepada keputusan tersebut dan apa yang dilakukannya adalah demi anak-anaknya.

Aidid
Aidid akan menfokuskan kepada penerbitan program dokumentari dan majalah.

"Isteri adalah pendorong utama saya apabila dia menyokong keputusan yang saya lakukan selepas melihat kesungguhan saya untuk memiliki produksi sendiri," ujarnya.

Hasil perkahwinan Aidid dengan Norzie Pak Wan Chek mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Alyea Nai Lina, 8, Muhammad Iman, 6, Muhammad Yusof, 4 dan Muhammad Ibrahim, 8 bulan.

Sementara itu, Aidid berkata, produksi miliknya itu akan memberi tumpuan kepada penerbitan program berbentuk majalah dan dokumentari untuk semua saluran yang ingin menggunakan khidmatnya.

Bagaimanapun kata Aidid, dia juga masih terbuka untuk menerima tawaran sekiranya ada pihak ingin menggunakan khidmatnya sebagai pengacara untuk program terbitan mereka pada masa hadapan.

"Sebelum ini produksi saya pernah menerbitkan beberapa dokumentari dan video korporat selain beberapa iklan komersial.
"Pun begitu saya akan tetap terbuka untuk menerima sebarang undangan sebagai pengacara dan keutamaan adalah kepada TV3 yang telah banyak menaikkan saya dalam bidang ini," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP