TANGGAL 17 Mac 2014 bakal membawa perubahan yang besar dalam diri pengacara dan personaliti TV3, Aidid Marcello, 34, apabila dia mengambil keputusan untuk meninggalkan stesen televisyen tersebut setelah 16 tahun berkhidmat di sana.
Ketika ditemui pada majlis pelancaran program Terima Kasih Sayang di Restoran Talent Lounge, Damansara Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini, bapa kepada empat orang cahaya mata itu ternyata sudah bersedia untuk meletakkan jawatan Eksekutif Produser Pemasaran Kreatif TV Networks yang disandangnya di TV3.
Katanya, walaupun berat hati untuk meninggalkan TV3, namun ini merupakan masa yang paling sesuai bagi memberikan nafas baharu dalam perkembangan kariernya.
Dalam temu bual yang diadakan, Aidid turut berkongsi perancangan masa hadapan dan cerita di sebalik sokongan yang diterima daripada isteri tercinta, Norzie Pak Wan Chek.
Kosmo!: Mengapa Aidid mengambil keputusan untuk meninggalkan TV3?
AIDID: Pada pendapat saya, sudah tiba masanya untuk saya berubah angin dan bergerak secara sendiri setelah 16 tahun berkecimpung dalam bidang penyiaran. Selain faktor umur, saya turut mengambil kira aspek karier dan menginginkan perubahan dalam kerjaya saya.
Apakah perasaan Aidid sebelum membuat keputusan yang drastik ini?
Sejujurnya, saya berasa sungguh berat hati untuk meninggalkan TV3. Dari zaman belajar (bersama Akademi TV3) sehinggalah saya sudah berkahwin dan dikurniakan cahaya mata, hampir separuh perjalanan hidup saya dihabiskan bersama TV3.
Lagipun, saya memang minat dalam bidang pernyiaran tetapi apabila difikirkan tentang masa hadapan, saya harus berpegang pada keputusan saya.
Bagaimanakah reaksi isteri apabila dia mendapat tahu yang Aidid
ingin meninggalkan TV3?
Pada mulanya dia begitu keberatan untuk membenarkan saya meletakkan jawatan kerana saya mempunyai kerja dan pendapatan yang tetap. Namun, lama kelamaan dia mulai faham dan menyokong keputusan saya.
Bagaimanakah pula hubungan Aidid dengan Media Prima selepas ini?
Alhamdulillah, hubungan saya dengan Media Prima masih berjalan dengan baik. Kontrak pengacaraan untuk rancangan Hip TV di TV9 masih berjalan hingga akhir tahun ini. Dalam tahun ini juga, saya masih akan muncul sebagai pengacara untuk rancangan Soccer Kids untuk TV3.
Jadi, Aidid masih bebas untuk muncul di mana-mana stesen televisyen di bawah Media Prima sebagai pengacara?
Ya, jika khidmat saya sebagai pengacara masih diperlukan, saya akan menerimanya dengan hati terbuka.
Apa perancangan Aidid selepas meninggalkan TV3?
Menerusi syarikat produksi saya, Mindques Productions Sdn. Bhd., saya akan menerbitkan iklan-iklan bagi siaran di televi- syen serta video- video korporat untuk syarikat tempatan. Iklan pertama yang diterbitkan oleh syarikat saya ialah iklan untuk syarikat tudung Fareeda.
Selain menerbitkan iklan untuk siaran televisyen, apakah perancangan lain untuk syarikat Aidid?
Saya berminat untuk menerbitkan rancangan dokumentari berbentuk majalah. Kebanyakan stesen televisyen di Malaysia kurang menyiarkan rancangan-rancangan sedemikian. Justeru, apa salahnya untuk mencuba sesuatu yang baharu bagi pasaran dunia penyiaran tempatan.
0 comments:
Post a Comment