KETIKA ini Stacy Angie Anam menerima reaksi dan komen yang pelbagai.
Semua itu berpunca daripada kenyataanya mengenai kesediaan memeluk agama Islam apabila ramai yang membuat spekulasi bahawa memang benar dia menjalin hubungan cinta dengan penyanyi Akim.
Kata Stacy, dia bersedia untuk memeluk agama Islam andainya takdir membawanya ke arah itu pada satu masa nanti.
Namun entah bagaimana hal itu menjadi satu masalah lain apabila ada sesetengah pihak termasuk keluarga yang kurang senang dengan kenyataan Stacy mengenai hal itu.
Seperti lazimnya yang perlu ditelan oleh mana-mana individu yang bergelar artis, Stacy terpaksa menerima pandangan mereka yang menghentam dirinya tanpa rasional.
Mengaku bahawa ada silapnya di situ, Stacy tidak menyalahkan orang lain dalam belenggu masalah yang secara tak sengaja diciptanya itu.
"Mungkin sepatutnya dari awal saya tak perlu menyuarakan hal itu. Memang silap saya. Kadangkala bila ditanya, yang kita jawab dan yang ditulis dan dipaparkan tak sama. Bukan bermaksud saya tak percaya atau menyalahkan orang.
"Kadangkala mungkin apa yang saya cakap orang lain tak faham, lalu jadi pula hal lain. Tipulah kalau saya cakap saya okey saja apabila ada yang menyuarakan rasa kurang senang dengan kenyataan saya itu.
"Sungguhpun apa yang saya suarakan itu satu perkara yang baik tapi dari satu sudut, tentu sekali akan ada pihak yang tak selesa dengannya," katanya jujur.
Begitu longlai Stacy menyusun katanya agar tetap berada di landasan. Cukup berhati-hati. Mengiyakan keadaan itu, kata wanita berusia 24 tahun ini, dia terpaksa mengambil langkah berwaspada dalam berkata-kata kerana bimbang akan terkena sekali lagi.
Dalam tenang, Stacy berkongsi rasa mengenai isu agama yang baginya satu perkara yang serius untuk diperkatakan.
"Ini bukan hal main-main. Betul, ramai yang menyokong dan ada juga yang sebaliknya. Ramai yang memberikan reaksi yang berbagai. Jadi keadaan itu membuatkan saya tertekan seolah-olah saya menjadi mangsa.
"Kadang-kadang timbul juga rasa menyesal sebab buat kenyataan itu secara terbuka. Sedangkan hal belum benar-benar terjadi.
"Rasanya lebih baik saya berdiam diri saja. Itu jalan yang terbaik," katanya.
Bosan soal jodoh
Mengaitkan hubungan cintanya dengan Akim, Stacy tidak dapat mengelak daripada pertanyaan yang berulang-ulang ini.
Seringkali menjadi sasaran media mengenai hal itu, Stacy mengaku tidak kisah ditanya hal begitu meskipun kadangkala sudah muak dan bosan dengannya.
Sedar bahawa dirinya seorang artis dan perlu sentiasa bersedia dengan soalan mengacu hal peribadi, Stacy bagaimanapun tidak mahu dilabel enggan memberi kerjasama.
"Memang selalu sangat orang bertanya soal cinta. Bagi saya sudah lumrah untuk saya menjawab semua itu. Saya tak kisah pun. Cuma kebelakangan ini saya rasa ada sesetengah perkara saya perlu simpan untuk diri sendiri.
"Ramai yang mahu kesahihan mengenai hubungan saya dengan Akim. Balik-balik mesti digosip dengan dia walaupun saya sudah katakan yang saya memang rapat dengan dia tapi sebagai kawan.
"Kadangkala terfikir juga, kenapalah orang tak cuba kaitkan saya dengan orang lain. Tapi nanti orang cakap saya ini playgirl pula. Serba tak kena," katanya yang mempunyai anak angkatnya yang comel, Bella De Luna Velentine yang kini berusia dua tahun.
Mengaku bukan mahu menjadi seorang yang perahsia Stacy menjelaskan, diam adalah perkara terbaik yang wajar dilakukan olehnya buat masa ini jika ada yang bertanya mengenai soal cinta dan perkahwinan.
Kata anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini, banyak yang dipelajarinya apabila muncul soal sebegini.
Bagi Stacy selagi belum benar-benar pasti atau terjadi sama ada soal cinta, perkahwinan atau soal agama, dia tidak akan lagi membuka mulut mengenainya.
"Cukuplah apa yang sudah disebut sebelum ini. Saya harap orang tidak akan bertanya lagi melainkan hal itu pasti. Apa yang berlaku pada masa depan kita tak tahu. Jadi saya nak cakap lebih-lebih pun tak boleh juga sebab banyak hati dan perasaan yang perlu saya jaga apatah lagi apabila melibatkan hal-hal yang sensitif.
"Contohnya macam hal kahwin, saya tak tahu jodoh saya dengan siapa. Macam sebelum ini, saya pernah cakap yang saya mungkin tak akan kahwin sebab tak ada lelaki yang berani nak dekati saya.
"Pada masa akan datang mana tahu saya jumpa jodoh saya dan berkahwin. Bagi saya perkahwinan juga penting. Saya tak letak had umur pun. Kalau ditakdirkan saya kahwin di usia tua, saya terima saja," katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment