Loading...
Saturday, March 15, 2014

Bina badan demi Bidadari Hati


BIDADARI HATI menampilkan Diddy dalam klip video yang mempesona.


TIGA tahun tenggelam daripada arus muzik tanah air, nama Diddy Hirdy akhirnya dipintas ramai penyanyi baharu. Rata-ratanya hadir bersama pakej suara dan populariti. Diddy sedar, jika mahu kembali menawan hati peminat, misi strategik harus digerakkan.
Tamat pengajian luar kampus Universiti Utara Malaysia dengan segulung ijazah cemerlang tahun lepas, Diddy kini bersedia memulakan semula karier nyanyian yang pernah diketepikan buat seketika. Kini dia perlu tampil dengan serba-serbi baharu termasuk penampilan dan material persembahan.
"Saya tidak pernah memakai singlet keluar dari rumah, kalau pakai pun hanya di bilik tidur, tetapi untuk video klip Bidadari Hati itu, saya kena pakai singlet. Dahulu, semasa dalam Akademi Fantasia, saya kurus kering dan orang asyik kata saya bongkok. Sekarang saya mahu perbaiki pandangan itu," ujar Diddy yang membuat penampilan sedikit seksi di atas katil dalam video klip single terbaharunya, Bidadari Hati arahan Khairul Hazwan.
Demi video klip rasmi yang pertama kali diterbitkan sepanjang bergelar penyanyi, lelaki berumur 29 tahun itu terpaksa masuk ke gimnasium untuk membina otot badan. Dalam video klip tersebut, pemilik nama penuh Syamsul Hirdi Muhid itu seumpama berkamarkan pantai dan debur ombak. Bahasa tubuhnya dirakamkan dalam sisi maskulin.
"Apabila diberitahu tentang konsep video klip berkenaan, saya memang kena masuk gim, bukan untuk bina badan tapi untuk mencantikkan dan memperkemaskan, bagi keluar otot-otot sikit. Saya sebenarnya segan, risau juga tapi itulah konsep yang dimahukan. Jadi, saya ambil masa tiga bulan untuk kelihatan sebagaimana dalam video itu," katanya mengunjungi gim sebanyak dua hingga kali seminggu sepanjang tempoh tiga bulan itu.
Menyempurnakan lagi teknik dan membetulkan kekurangan vokal, Diddy turut berguru dengan jurulatih vokal popular, Syafizawati Sharif.
"Pembelajaran saya bawah Cikgu Syafi (Syafizawati) sebenarnya sepanjang masa, cuma untuk lagu ini saya ambil tiga sesi latihan bersamanya," kata Diddy yang masih bernaung bawah syarikat pengurusan F-tersix Sdn. Bhd. itu.

DIIRINGI petikan gitar oleh Tam Spider, Diddy menyampaikan single terbaharunya secara akustik di hadapan media.



Bidadari Hati juga menjadi titik mula untuk bapa anak satu itu kembali aktif sebagai penyanyi. Kerjasama pertama kali dengan Tam Spider, Akid serta Poji sebagai penulis lirik dirasai oleh Diddy sebagai satu magis.
"Selama saya kurang menyanyi, orang pun lupa terhadap saya. Ada juga yang terjumpa dan menyapa saya sebagai Didie Alias. Kelakar pun ada tapi saya biarkan sahaja.
"Jadi sekarang, saya berterima kasih kepada Poji, Tam dan Akid kerana membuka peluang untuk saya masuk ke ruang mereka. Sebagai anak seni, lama tidak muncul dengan lagu baharu sebenarnya satu penyeksaan buat. Saya nyanyikan Bidadari Hati dari hati yang terdalam. Sebenarnya kami lalui dan menukar banyak versi lagu sebelum versi ini yang dikeluarkan," katanya.
Single Bidadari Hati yang bergerak atas jalur balada itu sudah pun dihantar ke semua stesen radio. Dalam perkembangan terbaharu, Diddy juga bakal muncul dengan sebuah filem seram berjudul Sunti sekitar pertengahan tahun nanti.

April ini, Diddy yang sudahpun berkahwin dengan Allen Nor Azah Musa pada tahun 2010 itu akan berlepas ke London, Britain bersama Syafizawati serta beberapa pelajar vokal yang lain untuk mengikuti pengajian jangka pendek di Royal College of Music selama sebulan.
Kecemerlangan akademik turut membuka peluang Diddy mendapat tawaran istimewa untuk terus menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD).
Sekitar bulan Jun, Diddy akan kembali ke kampus untuk bertindak sebagai tutor sepanjang menyempurnakan pengajian berkenaan.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP