IBARATNYA masih perawan tanpa dikotori noda-noda kontroversi, Aisya Hasnaa tanpa secalit ragu membingkiskan intuisinya. Dia bercerita tentang 'cinta' yang tiba-tiba melingkari perjalanan hidup saat ini. Peralihan fokus dirasai. Daripada bukan sesiapa dan tiada pekerjaan yang mampu memberikan kebahagiaan, langkahnya lancar bersulam gerak hati.
Terbukti, jalan seni yang dipilih sebagai laluan untuk masa depan sedang terukir baik. Lekuk-lekuk yang menambah pesona sedang disentuh, diwarnai agar mekarnya dirasai.
"Setiap hari, setiap kali hendak memulakan kerja, ada sahaja api yang menyala-nyala dan semangat yang berkobar-kobar dalam diri.
"Saya harap perasaan itu akan berterusan. Bermula daripada situ saya akan terus fokus dan bawa satu persembahan lakonan yang 'memberi'. Saya mahu jangka hayat saya sebagai pelakon akan bertahan lama," penegasan Aisya itu laju berbutir dari bibirnya.
Bertubuh mongel, si perawan dari Subang Jaya, Selangor itu gemar ketawa. Orangnya bersahaja manakala ramahnya ketara.
Ya, mungkin ada yang masih belum akrab menyebut namanya. Mungkin ada sangsi bagaimana mudahnya pelakon generasi baharu itu mendapat watak dalam sebuah drama bersiri mengisi waktu perdana. Sedangkan dari satu sisi, Aisya belum cukup dikenali. Mungkin juga ada yang melihatnya sebagai tukang masak yang kerap muncul di kaca televisyen sebelum ini.
"Itu Chef Anis, dia kakak saya. Saya adiknya," ujarnya yang semakin dikenali sejak drama bersiri Romie Cinta Julie menemui penonton.
Aisya pernah mempromosikan single dan mini album bawah naungan Wake The Baby.
Tumpang tuah
"Masa muncul dengan single Lagu Mahu Kamu dan mini album dahulu, saya baru berumur 19 tahun. Ketika itu saya masih belajar. Mungkin masa tak begitu mengizinkan saya untuk fokus kepada nyanyian walaupun ia adalah cinta pertama saya," katanya.
Graduan jurusan pengajian dalam bidang seni persembahan itu membenihkan cinta baharu buat Aisya. Tamat pengajian dia nekad untuk melanjutkan pengajian ke tahap yang lebih tinggi.
"Kalau ada yang masih ingat, saya bersama kakak-kakak saya menyertai program Dreams Sister. Saya memang bercita-cita mahu sambung belajar ke luar negeri tetapi kewangan tidak mencukupi. Jadi, saya kena cari duit.
"Cinta terhadap lakonan semakin membuak-buak. Dalam proses mencari kerja, banyak kali juga saya gagal, kemudian diterima masuk dalam filem Kabir Bhatia," sambung Aisya yang mulanya menganggap uji bakat dan lakonan dalam filem Dollah Superstar arahan Kabir Bhatia itu sekadar cerita pengisi dalam program Dreams Sister.
Aisya tidak menyangka filem itu turut menampilkan ramai pelakon popular termasuklah Awie, Rosyam Nor dan Neelofa.
Tidak lupa nyanyian
"Kiranya, itu filem pertama lakonan saya. Saya diberitahu bahawa filem itu akan ditayangkan tahun ini. Segala-segalanya berlaku macam dirancang-rancang. Saya belum pun setahun jadi pelakon," tambah anak keenam daripada tujuh beradik itu.
Satu fakta yang menarik, Aisya beruntung kerana kerap disatukan bersama pelakon-pelakon yang sudah utuh dalam hati penonton. Salah seorang aktor yang sentiasa menjadi pilihan penerbit untuk disandingkan bersama Aisya ialah Beto Kushairy.
"Selang sebulan saya akan mengisi slot Cerekarama," katanya.
Aisya turut digandingkan bersama Beto dalam judul-judul seperti P.I, Cerita Satu Malam dan Nota Untuk Sang Awan.
"Itu antara penyebab mengapa saya bahagia, gembira dan seronok jadi pelakon. Berlakon dengan pelakon yang hebat akan berikan pengaruh yang hebat untuk orang baharu macam saya.
"Semua orang tahu lakonan Beto. Saya cukup kagum dengannya bukan hanya kerana kerja lakonan tetapi sikap Beto yang merendah diri, bersahaja dan sangat menghormati orang lain.
"Saya suka gila dapat berlakon dengan dia (Beto). Dia selalu ada benda nak diberinya dalam lakonan," ujar Aisya teruja.
Aisya juga tidak pernah menyangka kecintaannya terhadap bidang nyanyian memberi kelebihan saat lakonan menjadi fokusnya.
"Saya tak pernah kecewa dengan karier nyanyian saya terhenti seketika. Saya tetap akan menyanyi tetapi fokus kini lebih terhadap lakonan. Lagi satu, saya fikir nyanyian boleh menjadi satu kelebihan kepada saya. Saya pelakon yang mahu jadi versatil. Kalau dalam lakonan itu saya dikehendaki menyanyi saya terima. Saya pun pernah diminta menyanyi dalam lakonan dan tiba-tiba saya rasa itu momen yang hebat sebab saya lakukan dua kecintaan dalam satu masa," katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran filem terbaharu terbitan Grand Brilliance yang berjudul Antara.
Satu lagi keterujaan sedang memeluk impiannya, Aisya diapit dua hero Malaya, Remy Ishak dan Bront Palarae yang turut membintangi filem arahan Jason Chong tersebut.
"Saya galas watak pembantu sahaja. Saya jadi kawan baik kepada heroin filem berkenaan iaitu Ezzaty Abdullah. Sepanjang berlakon, saya rasa bertuah kerana selalu ada regu lakon yang best. Setiap hari rasa sentiasa nak pergi lokasi. Berlakon dengan Josiah Hogan dalam drama What If untuk 8TV pun best," kongsinya.
Tumpang rumah
Kecil tetapi besar cita-cita, Aisya mahu setiap lakonannya setidak-tidaknya mampu memberi impak kepada penonton, khususnya wanita.
"Saya gemarkan watak wanita yang kuat yang boleh dijadikan inspirasi. Saya bukan tak suka watak wanita yang lemah tetapi kalau diberi pilihan saya mahu watak-watak yang boleh beri impak," katanya punya enam saudara perempuan.
"Saya cuma ada seorang abang iaitu abang sulung, yang semua perempuan dan setiap seorang daripada kami ada karakter yang berbeza," katanya yang masih tinggal di kediaman keluarganya di Subang Jaya.
"Bagaimanapun, selagi belum kahwin kami adik beradik tidak dibenarkan tinggal di rumah sewa," tutupnya ceria tanpa membayangkan hatinya sedang dimiliki oleh mana-mana jejaka.
0 comments:
Post a Comment