Loading...
Saturday, March 15, 2014

Hero Ariana Rose tak lupa isteri

MUNGKIN nama Hisham Hamid masih belum dikenali secara lebih meluas menerusi industri hiburan tanah air.

Namun, apabila melihat rupanya mungkin sudah cukup mengingatkan peminat drama popular, Ariana Rose untuk mengenali aktor kacak ini.

Untuk pengetahuan umum, pelakon kelahiran Singapura ini sebenarnya sudah pun berumah tangga bersama Rosmawati Hanafi, 33 yang juga merupakan pengurus peribadinya sejak lapan tahun dan memiliki dua cahaya mata hasil daripada perkahwinan itu.

Lebih terbuka mengenai statusnya itu, Hisham bakal berkongsi kisah romantisnya bersama isteri tercinta menerusi program terbaharu Terima Kasih Sayang di TV3.

“Dalam program ini, saya sebagai suami perlu melakukan cabaran untuk mengambil alih tugas isteri.

“Secara jujurnya sebelum ini memang saya rasa faham apa tanggungjawab isteri, tapi lepas terlibat dengan program ini, saya bukan sekadar faham tapi merasai apa yang dia buat,” katanya ketika di temui pada majlis pelancaran ‘Terima Kasih Sayang’ di Talent Launge, Mutiara Damansara.

Berkongsi pengalaman menjalani cabaran yang disediakan dalam program itu, Hisham akui hampir berputus asa untuk meneruskan tugas yang perlu diselesaikan.

“Tugasan yang paling mencabar adalah membuat kerja-kerja di rumah dan pada masa yang sama menguruskan jadual karier saya sendiri.

“Sejak buat cabaran itu, saya sangat kagum dengan isteri saya kerana walaupun tugas harian yang dia lakukan ini bukanlah perkara yang mudah namun tidak sekali pun dia mengadu.

“Pengalaman ini buat saya sedar pengorbanannya sebagai seorang isteri. Dia adalah insan paling istimewa dalam diri saya,” ujanya.

Program lapan episod yang bersiaran setiap Jumaat pada jam 6 petang bermula 28 Mac ini, turut menampilkan barisan artis seperti Hisham Hamid bersama isteri, Fizo Omar dan Mawar selain Sharifah Aleya dan Sharifah Amani.

Isteri 'control' kerjaya?

Sudah menjadi lumrah apabila bergelar artis pasti tidak akan dapat lari dengan kontroversi.

Baru-baru ini, Hisham dikejutkan dengan khabar angin yang mendakwa isterinya bersikap ‘lebih sudu dari kuah’. Menjelaskan situasi sebenar, Rosmawati menafikan tuduhan tersebut dan memberitahu segala keputusan dilakukan sebagai seorang pengurus adalah menerusi perbincangan dengan Hisham sendiri.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana cerita ini boleh timbul dan saya memang terkejut. Sepanjang mengendalikan kerjaya Hisham di sini, saya cuba buat yang terbaik untuk semua pihak.

“Kalau ada tawaran yang terpaksa Hisham tolak atas sebab tertentu, saya akan tolak secara baik dan meminta maaf,” jelasnya yang tidak berkecil hati dengan apa yang berlaku.

Tambah Hisham, perkara seperti ini tidak sepatutnya dijadikan isu besar kerana ia boleh diselesaikan dengan baik.

“Saya agak terperanjat sebab sebelum ini saya rasa tidak ada masalah tapi tiba-tiba isu ini timbul.

“Memang ada rasa sedikit kecewa sebab kalau betul ada pihak yang tidak selesa, mereka perlu datang dan berbincang dengan saya,” ujarnya.

Sedia harungi kontroversi

Akui kontroversi adalah bayaran bagi populariti yang diraihnya masa kini, Hisham akui tidak mahu terlalu memikirkan soal itu.

“Sejak awal berlakon di sini, saya memang sudah bersedia dengan apa yang berlaku. Cuma kalau ia melibatkan keluarga, saya agak sensitif.

“Tujuan saya datang ke sini untuk memperluaskan lagi karier dan kalau boleh mahu mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

“Sebenarnya memang susah mahu memuaskan hati semua pihak,” katanya. Hisham menganggap kontroversi itu hanya sebagai salah faham dan tidak ada sebab untuk melantik pengurus baru untuk untuk menghentikan khabar angin itu.

“Saya selesa isteri yang menguruskan kerjaya saya dan mungkin ramai yang tidak tahu semua keputusan yang keluar darinya adalah datang dari saya sendiri.

“Perkara itu hanya salah faham dan tiada sebarang sebab mengapa saya perlu melantik orang lain untuk menguruskan kerjaya seni saya,” jelasnya.

Menetap di Malaysia

Bercerita mengenai kehidupannya kini, Hisham memberitahu buat masa ini dia dan isterinya sedang menguruskan beberapa perkara sebagai persediaan mereka untuk menetap di Malaysia.

“Memandangkan selepas ini saya akan lebih fokus untuk kembangkan karier lakonan di sini, saya dan isteri sudah mula membuat persiapan yang sepatutnya.

“Dalam perancangan kami, mungkin awal 2105 saya akan bawa keluarga berpindah di sini sebab saya tidak mahu terburu-buru kerana anak-anak masih bersekolah,” katanya.

Buat masa sekarang Hisham menetap bersama bapanya di Shah Alam dan akan berulang alik sekiranya tidak sibuk dengan penggambaran.

Dalam perkembangan lain, Hisham berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah drama bersiri di Singapura bertajuk Di Luar Garisan Cinta musim kedua sebelum kembali ke Kuala Lumpur untuk projek seterusnya.

Malah kata Hisham dia juga bakal memasuki set penggambaran filem Sinaran bersama Neelofa dan Lisa Surihani arahan Osman Ali.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP