SEJAK popular dalam dunia lakonan menerusi drama popular, Juvana, nama pelakon Johan As'ari, 28, tidak pernah kering daripada kontroversi.
Bermula dengan pelakon Izreen Azmindar, Johan kemudiannya dikaitkan dengan pelakon Nabila Huda dan penyanyi Shila Amzah.
Terbaharu, Johan telah meninggalkan pelakon seksi, Lana Nodin selepas sebulan bercinta pada akhir tahun lalu atas alasan hubungan mereka tidak direstui keluarga Johan sendiri.
Johan yang ditemui pada majlis sidang akhbar program Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul di Hotel Royale Chulan Damansara, Selangor itu mengulas tentang kononnya golongan wanita takut untuk mendekati dirinya impak kontroversi dirinya yang memutuskan hubungan dengan pelakon Lana Nodin.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Johan.
Kosmo!: Adakah selepas kontroversi Johan dan Lana, wanita takut untuk mendekati anda?
JOHAN: Tidak benar kerana saya sendiri tidak ada perasaan serik untuk bersama wanita. Saya faham cinta itu memang perkara yang baik dan saya percaya jika saya hidup tanpa cinta, saya tidak boleh menjadi manusia yang baik. Soal wanita takut mendekati saya tidak wujud kerana saya mempunyai ramai kenalan wanita yang baik dengan saya.
Apakah kontroversi cinta yang Johan alami mengganggu perjalanan kerjaya seni?
Setakat ini alhamdulillah. Kerjaya saya berjalan seperti biasa dan semakin diterima ramai. Saya menjadi lebih matang disebabkan pengalaman yang banyak mengajar saya untuk menjadi orang yang lebih baik.
Selepas segala kontroversi cinta, adakah restu ibu bapa itu sangat penting?
Saya percaya jodoh itu ketentuan Allah dan saya juga harus utamakan restu kedua ibu bapa dalam mencari wanita bergelar isteri. Jika inginkan wanita yang baik, saya kena perbaiki diri terlebih dahulu supaya saya boleh menjadi suami yang baik.
Adakah anda serik untuk membina hubungan cinta yang baharu?
Saya tidak serik sebab itu sebelum ini saya berani berkata yang saya ingin membina masjid (berkahwin). Saya percaya selepas melalui pelbagai asam garam, ia telah mematangkan saya. Bagaimanapun, saya akur jodoh itu atas kehendak Allah.
Apakah pandangan Johan tentang perkahwinan?
Semua orang ingin berkahwin, begitu juga saya. Jika saya berkahwin, sebagai suami saya kena berani membuat keputusan kerana talak di bawah kuasa saya. Sebagai suami, saya harus memimpin isteri ke jalan yang lebih baik, jadi saya harus buat keputusan awal. Jika tidak, pasti wanita itu bukan jodoh saya. Lebih baik tidak perlu berkahwin, andai berkahwin pun nanti akan bercerai.
Maknanya Johan membuat keputusan yang tepat dalam hubungan cinta sebelum ini?
Saya bukannya mahu bergaduh atau bermusuh, segala keputusan yang saya buat telah difikir sedalam-dalamnya. Apa yang berlaku semua ada hikmah sebaliknya dan banyak pengajaran buat saya atas apa yang berlaku.
Adakah Johan akan lebih berhati-hati dalam memberi kenyataan kepada pihak media soal cinta pada masa hadapan?
Saya percaya manusia akan rasa bahagia apabila bertemu cinta dan pasangan yang telah ditetapkan untuknya. Saya yang kena berhati-hati supaya tidak melukakan perasaan orang lain selepas ini.
Boleh ceritakan perkembangan terbaharu Johan?
Saya baharu sahaja selesai menjalani penggambaran filem Kanang Anak Langkau arahan Bade Azmi dan akan memasuki set penggambaran sekual drama Juvana dalam masa terdekat.
Selain itu, saya harap seluruh umat Islam akan dapat berkumpul di Dataran Masjid Putra, Presint 1, Putrajaya pada 21 Mac pada pukul 8 malam untuk sama-sama terlibat dalam Malam Cinta Allah dan Rasul
0 comments:
Post a Comment