Loading...
Thursday, March 13, 2014

Nur Fathia tidak serik

NASI sudah menjadi bubur, jadi tidak guna lagi untuk Nur Fathia Latiff, 27, membela diri kerana dalam keadaan sekarang, apa yang dikata oleh heroin drama Ariana Rose itu pasti akan dilabel sebagai cuba menegak benang yang basah. Bagi Fathia, apa yang berlaku di London sewaktu penggambaran drama tersebut adalah sesuatu yang di luar jangkaan dan tidak menduga perkara itu diperbesar-besarkan.
Sewaktu Hits menghubungi Fathia pada Isnin lalu, pelakon itu berkata, dia sedang berehat sambil menonton televisyen.
Kenapa tidak ada tawaran berlakon? Adakah dia diboikot, gara-gara cerita sewaktu penggambaran drama Ariana Rose di London didedahkan di akhbar.
Tidak dinafikan sebaik sahaja cerita itu tersebar, teruk juga Fathia dikritik oleh para peminat yang sering kali menjadi hakim tidak bertauliah itu. Justeru itu, Hits cuba menyingkap isi hati Fathia atas apa yang berlaku.
Hits: Apa projek terkini Fathia, selepas Ariana Rose?
Fathia: Belum ada apa-apa buat masa ini, saya masih berehat dan meneruskan pengajian.
Tak ada tawaran ke atau sudah serik untuk berlakon?
Taklah, tawaran ada, cuma akhir-akhir ini saya lebih berhati-hati. Saya hanya akan bersetuju kalau skripnya benar-benar menyentuh hati saya. Lagipun saya perlu tumpu perhatian pada pengajian juga. Selepas ini saya akan berlakon telefilem.
Adakah cerita Fathia buat hal di London memberi impak kepada kerjaya?
Setakat ini, tidak ada apa yang berlaku, semuanya seperti biasa. Saya masih mendapat tawaran berlakon, termasuklah daripada pihak TV3.
Tetapi dari segi lain, nama saya mungkin sudah tercalar dengan kejadian ini tapi saya tidak akan mudah mengalah. Saya cuma ingat pesanan keluarga, kata ibu, kalau kita ikhlas bekerja, Insya-Allah dipermudahkan segala urusan. Mungkin kebenaran akan datang kemudian.
Bagaimana pula dengan reaksi produksi lain apabila mengetahui cerita sebegini?
Orang boleh kata apa sahaja ekoran daripada artikel itu tetapi mereka tidak berada di kedudukan saya. Alhamdulillah, hingga hari ini belum ada produksi termasuk daripada pihak TV3 yang memboikot saya.
Sesiapa yang pernah bekerja dengan saya, pasti tahu cara kerja saya macam mana. Setiap kali menerima tawaran, saya sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik dan apa yang berlaku dengan produksi Ariana Rose, saya anggap sebagai sebahagian daripada pengalaman hidup.
Bagaimana Fathia hadapi keadaan ini?
Memang sedih dengan apa yang berlaku tetapi saya perlu harungi jua kerana itu adalah kerjaya. Dalam bidang seni ini, tiada siapa yang sempurna. Kalau ikutkan bukan saya sahaja yang pernah datang lewat, kru juga pernah datang lewat.
Jadi Fathia tidak nafikan yang berita itu benarlah, iaitu Fathia datang lewat ke lokasi?
Siapa yang tidak pernah lewat ke lokasi? Baik pelakon atau pun kru, sama sahaja. Bila pelakon sampai awal, kru pula lewat dan begitu juga sebaliknya. Situasi itu biasa berlaku dalam mana-mana produksi. Ya, saya tidak nafi, pernah lewat ke lokasi di sana (London), tapi ada orang pernah tanya apa sebabnya?
Apa yang saya sedih, kesalahan yang kecil itu diperbesarkan. sedangkan bila saya tercatuk di set menunggu orang lain, tidak pula dibangkitkan. Saya malas untuk perbesarkan perkara itu. Kalau saya ada menyusahkan pihak lain, saya mohon maaf kerana saya bukanlah manusia sempurna.
Adakah Fathia terkesan dengan kenyataan Nabila Huda di laman Instagramnya?
Agak sedikit terkejut dengan kenyataannya, kerana sepanjang berada di sana, dia tidak pernah pun menegur sewaktu saya datang lewat. Dia ceria sahaja, alih-alih dia keluarkan kenyataan begitu. Tak apalah itu haknya dan mungkin dia ada sebab berbuat demikian.
Selepas itu, bagaimana hubungan Fathia dengan Nabila Huda?
Biasa sahaja, saya tidak ada masalah dengan dia. Selepas ini kalau kami kena berlakon bersama, saya tidak kisah. Lagipun bidang seni kita bukanlah besar mana, pi balik pi balik, kita akan bertemu orang yang sama.Pada saya, setiap orang ada pandangan sendiri dan saya juga ada pendapat sendiri. Cuma saya sahaja yang malas untuk menguar-uarkannya.
Berbalik kepada kisah di sana yang mengatakan Fathia tidak mahu melakukan promo untuk drama tersebut kerana sibuk hendak keluar dengan adik?
Memang saya bercadang untuk keluar dengan adik yang datang dari Dublin, Ireland. Saya suruh dia datang selepas melihat jadual penggambaran dan yang pasti rancangan saya dan adik tidak mengganggu jadual kerja. Jadi tidak timbul saya melanggar jadual. Awal-awal saya sudah beritahu produser Ziela Jalil tentang niat saya untuk bertemu adik dan dia mengizinkan.
Lagi satu kenyataan yang mendakwa Fathia tidak hafal skrip, cuba jelaskan?
Tuduhan itu yang paling saya tidak tahan dengar. Saya, kalau menghafal skrip bukan setakat di set, proses itu bermula sejak saya menerima skrip. Malah kalau tengok skrip saya penuh dengan tanda-tanda di bahagian mana yang perlu saya beri perhatian.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP