TIDAK berniat untuk menyekat periuk nasi mana-mana komposer yang sedia aktif di persada muzik tempatan, Pengarah Persembahan konsert Teaterikal Suara Kita (Suara Kita), Erma Fatima menjelaskan bahawa lagu Cinta Makrifat yang dihasilkannya adalah semata-mata bagi memenuhi tuntutan kerja.
Erma yang pernah menjadi finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) 2013 menerusi lagu Kau Yang Terindah dendangan penyanyi bersuara lunak Alyah berkata, Cinta Makrifat dicipta agar dua pelakon utama Suara Kita, Awie dan Erra Fazira mempunyai lagu duet untuk dinyanyikan di pentas berprestij Panggung Sari, Istana Budaya (IB) yang bermula hari ini hingga Ahad ini.
Dek kerana lagu tersebut berkonsepkan balada serta diselitkan unsur-unsur percintaan dengan bait-bait lirik yang begitu romantis dan puitis, Erma tidak menafikan jalan cerita yang dikisahkan menerusi lagu yang mula kedengaran di corong-corong radio tempatan itu ada kaitan dengan sejarah hidup bekas pasangan kekasih itu yang pernah memeterai ikatan pertunangan yang akhirnya berkubur pada 1998.
Kata Erma, selaku pengarah yang bertanggungjawab memastikan segala persembahan dari A to Z berjalan lancar, dia melakukan inisiatif tersendiri untuk menciptanya berdasarkan jalan cerita filem Tragedi Oktober yang pernah menjengah pawagam pada 1996.
Awie dan Ziana Zain telah mempunyai lagu duet mereka sendiri. Maka, saya rasakan ada perlunya agar Awie juga bergandingan dengan Erra dalam sebuah lagu supaya ia mendatangkan pembaharuan selain memberi impak buat penonton Suara Kita. Cuma ia satu kebetulan apabila liriknya agak berkait rapat dengan kisah percintaan mereka yang kini hanyalah tinggal memori.
Malah ingin saya terangkan, dunia penulisan lirik dan gubahan lagu bukanlah sesuatu yang asing kerana sebelum ini saya banyak menghasilkan karya seni muzik untuk pementasan teater yang diarahkan terutama yang berpaksikan muzikal," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai sambutan yang diterima daripada peminat muzik tempatan terhadap Cinta Makrifat, Erma memberitahu bahawa ia adalah sebuah karya terbaik ciptaannya.
Menurutnya, dia sedikitpun tidak menaruh harapan supaya lagu tersebut menjadi hit di dunia seni muzik tanah air.
Saya cuma memanjat rasa syukur jika lagu ini mendapat sambutan dan memberi kesan positif terhadap karier seni.
Saya juga berharap agar karya ini setanding dengan nukilan komposer ternama lain dan ia merupakan saguhati daripada unit produksi Suara Kita kepada peminat yang sekian lama menunggu penyatuan mereka berdua," jelas Erma.
Konsert yang mendapat sokongan penuh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu adalah terbitan Awie Entertainment yang menampilkan tiga nama besar iaitu Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain.
0 comments:
Post a Comment