Loading...
Wednesday, March 12, 2014

Dayang & Marcell kongsi pentas

Bukan mudah untuk menggandingkan penyanyi popular dari dua negara serantau berkongsi pentas dalam satu konsert.
Namun, Konsert Pesona Cinta Dayang Nurfaizah (Malaysia) dan Marcell (Indonesia) anjuran JAG Events berjaya merealisasikannya.
Konsert hebat yang menyaksikan gabungan dua vokal mantap dan terbaik ini bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 29 Mac ini.

Jika Dayang baru saja mengungguli kategori Vokal Wanita Terbaik sempena Anugerah Industri Muzik ke-20 baru-baru ini, Marcell pula tidak kurang hebatnya diangkat sebagai Artis Lelaki Terbaik pada Anugerah Planet Muzik sebelum ini.
Secara peribadi, pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 32, mengakui sangat teruja untuk menjayakan konsert berkenaan.

“Sudah lama saya impi untuk mengadakan konsert solo dan saya harap konsert duet dengan Marcell ini menjadi permulaan buat segalanya.

“Sebagai penyanyi, saya juga menjanjikan yang terbaik pada konsert itu nanti.

“Buat masa ini, fokus saya pada persiapan rapi untuk konsert ini dan pada masa sama, saya juga tidak mengambil sebarang projek lain termasuk untuk sambutan Minggu Setiausaha tahun ini,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai konsert, kata Dayang yang kini popular menerusi lagu tema drama bersiri Ariana Rose, Di Pintu Syurga, dia bakal menyampaikan rangkaian lagu popularnya dalam konsert berkenaan.

“Saya akan menyampaikan sebanyak 12 lagu popular seperti Seandainya Masih Ada Cinta, Dayang Sayang Kamu, Bisikan Rinduku dan banyak lagi.

“Pengarah muzik yang mengiringi persembahan diketuai Jenny Chin.

“Selain itu, saya turut menyampaikan lagu medley dan mempromosikan single terbaru pada konsert itu nanti,” katanya.

Lebih menarik, kata penyanyi kelahiran Petra Jaya, Kuching, Sarawak, dia juga akan berduet dengan Marcell pada konsert itu.

“Saya juga tidak sabar untuk berduet dengan Marcell kerana sudah lama tidak menjayakan ‘showcase’ dengannya.

“Kami akan berduet satu lagu saya dan satu lagi lagu popularnya khusus untuk mengubat kerinduan semua peminat yang ternantikan kolaborasi kami berdua dalam konsert,” katanya.

Dayang ditemui pada sidang media Konsert Pesona Cinta Dayang Nurfaizah & Marcell yang berlangsung di Lambang Sari, Istana Budaya Kuala Lumpur, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Juhari Shaarani dan Pengarah Urusan JAG Events, James Alexander Ali Simargolang.

Pada petang itu, wakil media juga berpeluang menemubual Marcell menerusi Skype.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Hanya Memuji itu, dia berharap konsert itu akan mengubat kerinduan peminatnya di Malaysia.

“Walaupun sudah empat tahun tidak buat persembahan di Malaysia, saya tetap yakin peminat tempatan akan beri sokongan padu pada konsert ini.

“Ia bukan sekadar konsert biasa sebaliknya saya pastikan hubungan yang lebih intim dengan peminat setia saya nanti.

“Saya juga akan menyampaikan rangkaian sebanyak sebanyak 16 lagu hits dari album terdahulu dalam durasi persembahan selama satu setengah jam nanti,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP