Loading...
Wednesday, March 12, 2014

Yuna beramal di Ipoh


Meskipun sudah dikenali sebagai penyanyi antarabangsa, Yuna, 28, tidak sesekali melupakan soal kebajikan untuk peminatnya apabila bakal muncul dengan persembahan Majlis Makan Malam Amal Bersama Yuna yang dijadual berlangsung di Ipoh, Perak, Ogos ini.
Majlis anjuran Yayasan Bakti Gunung Kledang itu dijangka berlangsung pada 23 Ogos ini di Hotel Casuarina Meru, Ipoh dan bakal dihadiri kira-kira 1,200 tetamu. 
Selain dihiburkan de-ngan persembahan khas Yuna, majlis makan malam itu juga diadakan untuk memberi sumbangan kepada lima badan kebajikan atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) terpilih di Perak.

Menurut Yuna, pembabitannya dalam aktiviti amal seumpama itu bukan pertama kali disertainya, namun dia sedaya upaya cuba me-ngisi jadual persembahannya dengan program berbentuk kemasyarakatan dengan lebih kerap supaya mampu berbakti kepada orang ramai.
Bakal muncul dalam konsert khas di Perak untuk bantu lima badan kebajikan.

“Ini adalah pertama kali saya membuat persembahan di Perak dan ini adalah peluang untuk saya memberi sesuatu kepada komuniti di Perak.

“Pembabitan saya dalam aktiviti seperti ini bukan saja memberi peluang untuk saya tampil lebih dekat dengan peminat di Perak, malah saya berkesempatan untuk berbakti kepada golongan yang lebih memerlukan,” katanya.

Pada masa sama, Yuna atau nama penuhnya Yunalis Zaraai juga bakal mengadakan ‘road tour’ di Eropah termasuk di London dan Paris bermula minggu depan.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Bakti Gunung Kledang, Datuk Ishak Mohamed, berkata, pihaknya menganggarkan sekurang-kurangnya RM100,000 bakal dikutip dalam majlis makan malam itu.

“Sebagai penganjur, kami berasa sangat bertuah kerana Yuna sudi bekerjasama untuk menjayakan majlis makan malam ini. Dengan tema ‘dark lounge suite dan batik’ peminat Yuna di sekitar Perak berpeluang untuk berhibur di samping turut beramal,” katanya.

Beliau berkata, tempahan bermula dengan harga RM2,000 yang menempatkan seramai 10 tetamu dalam satu meja dan pihaknya menyediakan sebanyak 77 meja untuk tempahan orang ramai.

Turut dijangka hadir Pemangku Raja Perak Raja Nazrin Shah dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. 

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP