Loading...
Saturday, March 15, 2014

‘Dia bukan kekasih saya'

Terdiam sejenak Feeya Iskandar sejurus nama pelawak Wan Wala diajukan kepadanya. Bukan kerana dia terkejut, cuma pengacara dan penyampai radio Sinar FM ini mengakui nama lelaki itu sudah berulang kali dikaitkan dengannya tanpa bersebab.
Pemilik nama sebenar Nor Shafiza Iskandar Azizan, 24, ini berkata, gosip yang mengaitkan dirinya dengan Wan terus diperkatakan walaupun dia sudah menafikannya berkali-kali sebelum ini.

Namun, entah mengapa desas-desus mengatakan mereka menjalin hubungan cinta terus berbunyi biarpun jawapan Feeya tetap sama iaitu mereka hanya berkawan biasa. 

“Tak ada istilah bercinta antara kami. Kami tak pernah isytiharkan kami pasangan kekasih pun. Dengan erti lain dia bukan kekasih saya.

“Memang tak ada apa-apa seperti yang pernah saya jelaskan sebelum ini tapi entah mengapa orang terus bercakap,” katanya ketika ditemui pada uji bakat Zon Utara program Kilauan Emas musim keempat di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Dalam membicarakan perkara itu, Feeya yang semakin dikenali sejak mengacarakan Maharaja Lawak Mega (MLM) 2013 berkata, dia tidak perlu ambil pusing mengenai gosip yang tercetus itu kerana ia adalah perkara tidak benar.

“Terpulanglah apa orang nak fikir dan anggap sebab benda itu tak berlaku sama sekali.

“Malah, selepas tamat program itu (MLM) kami sudah jarang berkomunikasi dan saya pun tak pasti di mana dia sekarang,” katanya.

Sambungnya, dia tidak perlu terburu-buru untuk mempunyai teman lelaki pada waktu ini kerana mahu membina nama dan kerjaya.

“Nama dan kerja saya semakin dikenali jadi lebih baik saya fokus pada kerjaya pada waktu ini.

“Sebenarnya, saya tak nak fikir pun mengenai soal bercinta sebab peluang mengembangkan kerjaya lebih besar menanti,” katanya.


Seronok dengan Kilauan Emas

Berbicara mengenai kerjayanya, Feeya berkata, dia seronok menyahut cabaran dan kepercayaan yang diberikan sebagai hos sampingan program Kilauan Emas musim keempat yang bakal bersiaran April ini.

“Saya dapat lihat perkembangan positif dan peningkatan dalam kerjaya pengacaraan, selain penyampai radio.

“Alhamdulillah, mungkin impak MLM yang popular dan besar, saya sekali diberi kepercayaan untuk bersama-sama Kak Engku (Raja Azura) mengendalikan musim baru Kilauan Emas,” katanya.

Biarpun tidak asing dengan pentas Kilauan Emas, Feeya berkata, fakta itu bukan alasan untuk dirinya mengambil mudah tugasan yang dipertanggungjawabkan pihak Astro.

“Kalau diikutkan tahun lalu pun saya sudah buat Kilauan Emas, tapi masa itu tak ramai yang perasan dan nampak tapi selepas MLM perhatian itu makin besar pada saya.

“Secara tak langsung, ia menjadi cabaran untuk saya membuktikan kemampuan sebenar. Perhatian orang adalah kekuatan saya untuk bekerja lebih baik dan cekap,” katanya.

Untuk musim keempat ini, Feeya bertanggungjawab sebagai pengacara untuk episod Zon Kilauan Emas, Konsert Zon Kilauan Emas, Prolog Konsert Kilauan Emas dan Karpet Prima Kilauan Emas.

Selain Feeya, program ini masih mengekalkan pengacara, penyampai radio dan pelakon Raja Azura sebagai hos utama program.

Musim baru Kilauan Emas bakal disiarkan bermula April ini di Astro Prima (saluran 105).


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP