WALAUPUN nama aktres dan pengacara terkenal, Wardina Safiyyah kurang menjadi bualan dalam kalangan peminat seni tempatan tanah air sejak akhir-akhir ini, namun bagi wanita kelahiran Kuala Lumpur itu, dia berasa tenang dengan keadaan sebegitu.
Sinonim dengan imej seorang ibu yang sering menjadi ikutan ramai remaja wanita dan ibu muda, Wardina kini dilihat sebagai ikon yang mempunyai kelas yang tersendiri.
Bahagia bersama suami, Ikhwan Johari, 39, dan tiga anak tercinta, Wardina menjadikan ikatan kekeluargaannya sebagai kekuatan dirinya untuk menjalani tugas sebagai seorang anak seni, sekali gus sebagai ikon yang disegani ramai.
Kosmo! berpeluang bertemu dengan pemilik nama Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, 35, itu pada majlis pelancaran Himpunan Eksklusif Set Tilam Terbaharu Goodnight di Hotel Westin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jelas terpancar ekspresi ceria pada wajah pelakon yang pernah membintangi drama Cinta Madinah itu apabila ditebak dengan soalan berkaitan kehidupan dan perjalanan karier seninya.
Siapa sangka, walaupun telah bergelar seorang ibu kepada tiga cahaya mata - Amna Nafeesa, 11, Azra Sareera, 8, dan Imran Arrazi, 5, Wardina telah mengatur strategi dan perancangan rapi dalam kehidupannya.
Dia kini sudah setahun bergelar seorang pelajar di salah sebuah universiti swasta di ibu kota. Mengambil pengkhususan dalam bidang psikologi, ujar Wardina, dia terpanggil untuk membantu golongan yang memerlukan.
"Jika kita lihat dalam tempoh jangka panjang dan di negara maju, bidang psikologi merupakan bidang yang sangat penting. Di samping itu, niat ingin membantu masyarakat terutamanya memberi khidmat kaunseling juga merupakan salah satu sebab saya mengambil jurusan ini," ujar figura berdarah kacukan Acheh-Australia ini.
Dalam perkembangan yang sama, Wardina juga kini sedang menunggu keputusan untuk menyambung pengajiannya di Brisbane, Australia.
Wardina yang baru sahaja mempunyai masa terluang untuk menyambung pengajiannya berkata, dia akan membawa ketiga-tiga cahaya matanya ke Australia.
"Saya akan membawa ketiga-tiga orang anak saya dan mereka akan bersekolah di sana. Saya hanya mahu untuk mereka belajar mengenal kehidupan dan cara hidup yang baharu.
"Di sana (Brisbane) kami akan tinggal bersama datuk saya. Suami saya akan tinggal di Malaysia selama saya dan anak-anak di sana dua tahun. Saya juga akan berulang-alik sekiranya mempunyai urusan di Malaysia," ujar duta tilam Goodnight itu.
Kaunseling
Bercerita mengenai perkembangan terbaharunya, Wardina berkata, dia kini sibuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang berkaitan khidmat sosial dan kemasyarakatan.
"Saya kini bernaung di bawah sebuah organisasi kemasyarakatan yang dikenali sebagai Yayasan Mizan. Ia merupakan sebuah organisasi yang membantu golongan yang mempunyai masalah sosial.
"Komuniti ini bertindak untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik dalam memberi mereka motivasi, mendengar masalah dan memberi nasihat.
Terpanggil untuk membantu golongan tersebut, Wardina selesa menjadi seorang kaunselor.
Menurutnya, dia terkejut apabila peminat dan masyarakat menghubunginya melalui laman sosial dan menjadikan dia sebagai rujukan mereka.
"Saya terkejut apabila ramai orang telah menghantar pesanan melalui laman sosial Facebook saya dan bercerita mengenai masalah mereka.
"Apa yang mampu saya buat ialah cuba menyelesaikan masalah mereka dengan merujuk kepada badan-badan yang berkuasa dan mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut," ujarnya.
Wardina juga bercadang untuk membuka pusat kaunseling dan asuhan sekiranya berjaya menamatkan pengajiannya dalam bidang psikologi kelak.
"Saya bercadang untuk membuka pusat kaunseling dan sebuah yayasan untuk membantu golongan ini kerana kita lihat, semakin negara kita menuju ke arah kemajuan, masalah sosial semakin bertambah.
"Sekurang-kurangnya setelah saya mempunyai kelulusan kelak, saya dapat membantu mereka. Saya rasa ia merupakan tanggungjawab saya untuk membimbing golongan yang memerlukan," ujarnya.
Menurut Wardina lagi, dia kini sedang sibuk menyiapkan buku keduanya yang berjudul, Mama Saya Nak Solat selepas buku pertamanya keluaran MPH Bookstores, Mama Saya Lapar mendapat sambutan yang menggalakkan.
Duta tilam
Mengulas mengenai penerimaannya untuk menjadi duta tilam Goodnight, Wardina memberitahu, keputusan tersebut diambil setelah pihak pengurusan menerima syarat-syarat yang telah ditetapkannya.
"Memandangkan imej saya yang bertudung, saya agak memilih terutamanya apabila dirisik oleh mana-mana syarikat untuk dijadikan duta.
"Saya menetapkan syarat termasuk tidak boleh memakai pakaian seksi, ketat dan tidak mahu menggayakan bentuk badan. Alhamdulillah, pihak syarikat tersebut bersetuju dengan semua syarat yang telah ditetapkan.
"Setelah saya berbincang dengan suami, saya bersetuju untuk menerima tawaran ini memandangkan pihak syarikat memahami keadaan saya," katanya yang mengikat kontrak selama dua tahun dengan syarikat pengeluar tilam Goodnight.
Dalam perkembangan yang sama, Wardina berkata, dia bersama syarikat tersebut akan mengadakan jelajah ke seluruh pelosok negara dalam mempromosikan tilam keluaran terbaharu syarikat tersebut.
0 comments:
Post a Comment