HASRAT penyanyi kesayangan negara, Datuk Siti Nurhaliza untuk berkolaborasi bersama idolanya, komposer tersohor kelahiran Kanada, David Foster tercapai setelah kedua-dua ikon tersebut bakal berkolaborasi dalam konsert terbaharu Siti di Pusat Seni Persembahan The Star, Singapura.
Tambah menarik apabila Foster bakal mengiringi Siti dengan petikan piano pada konsert dikenali sebagai Datuk Siti Nurhaliza Live in Singapore yang bakal berlangsung pada hari ini, 5 Mac.
Siti yang begitu teruja dengan kolaborasi bersama idolanya itu menyifatkan ia merupakan satu pengiktirafan buatnya.
Selain itu, ia juga memberi memori indah yang tidak dapat dilupakan bagi penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu.
“Sudah tentu saya teruja apabila diberikan peluang untuk berkolaborasi dengan David Foster. Perasaan tersebut sama ketika diberi peluang berduet dengan pemenang 10 kali anugerah Grammy, Babyface sebelum ini (pada tahun 2013).
“Dari segi susunan dan pemilihan lagu segalanya akan ditentukan oleh pihak David dan saya berharap konsert itu nanti dapat dijayakan dengan sebaiknya,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran pameran An Iconic Exhibition of Datuk Siti Nurhaliza di Galeri Artelier Solaris Dutamas, Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, Siti yang pernah berkolaborasi dengan penyanyi Indonesia seperti Krisdayanti turut ditawarkan untuk berduet dengan Cakra Khan dalam album terbaharunya.
Projek tersebut merupakan permintaan daripada pihak pengurusan penyanyi kacak Indonesia itu.
Setelah beberapa perbincangan diadakan, Siti bersetuju untuk berduet dengan penyanyi yang tersohor menerusi single Harus Berpisah itu.
“Memandangkan saya pernah berkolaborasi dengan dia (Cakra Khan) sebelum ini iaitu pada majlis Anugerah Planet Muzik (APM), saya rasa ia tidak menjadi masalah.
“Buat masa sekarang, pihak kami masih lagi dalam proses mencari lagu yang sesuai sebelum memasuki studio.
Pemilihan dan komposisi lagu penting untuk memastikan vokal kami dapat diserasikan dalam lagu itu nanti,” ujarnya.
Pameran
Dalam pada itu, Datuk Siti Nurhaliza telah menjadi pilihan 17 pelukis dari seluruh pelosok dunia termasuk Iran, Indonesia dan Malaysia dalam menzahirkan bakat menghasilkan potret penyanyi yang pernah membuat persembahan di Dewan Philharmonik London itu menerusi pameran An Iconic Exhibition of Datuk Siti Nurhaliza.
Pelbagai teknik digunakan seperti semburan, cat, media baharu dan media campuran digunakan para pelukis untuk menggambarkan pandangan masing-masing terhadap penyanyi yang popular menerusi lagu Cindai itu.
Pameran tersebut berlangsung sejak 26 Februari dan akan berterusan selama sebulan.
Antara pelukis yang terlibat dalam projek tersebut termasuk Andrian Torres dari Sepanyol, E.M Night Watcher (Iran) serta lima pelukis Malaysia terdiri daripada Haffendi Anuar, Azizi Latif, Faiz Yunus, Zizan Osman dan Nazmi Ismail.
Lukisan tersebut dipamerkan untuk dijual kepada orang ramai yang berminat dengan harga antara RM1,500 sehingga RM75,000.
Melalui penjualan lukisan tersebut, dana akan dikumpulkan untuk disalur kepada organisasi milik penyanyi tersebut iaitu Yayasan Nurjiwa.
Pelantun lagu Bukan Cinta Biasa itu sempat memberitahu, beliau sangat tersentuh dengan lukisan yang dihasilkan.
Pada masa yang sama, suaminya, Datuk Khalid Muhammad Jiwa atau Datuk K juga meminati karya seni tersebut.
Siti dan Datuk K turut bercadang membeli salah sebuah lukisan yang dipamerkan di Galeri Artelier Solaris Dutamas, Publika, Kuala Lumpur itu.
0 comments:
Post a Comment