Loading...
Monday, December 23, 2013

Anugerah MeleTop Era plak


MELIHATKAN kejayaan yang dikecapi program MeleTop yang disiarkan di saluran Astro Ria dan Maya HD, pihak Astro telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan serta menganjurkan majlis Anugerah MeleTop Era (AME) bagi memenuhi cita rasa penonton.
Anugerah yang bakal mempertandingkan 16 kategori ini merupakan acara yang menghargai serta memberi pengiktirafan kepada penggiat seni termasuk dalam bidang muzik, radio, televisyen, filem, digital dan serantau.
Naib Presiden Bahagian GenNext Astro, Puteri Yasmin Megat Zaharuddin berkata, anugerah yang berkolaborasi bersama Era FM ini adalah untuk mengiktiraf bakat dan sumbangan kreatif para penggiat seni yang banyak ditaburkan dalam industri hiburan Malaysia.
“Justeru, melalui acara ini orang ramai dapat menunjukkan sokongan mereka dengan menghantarkan undian bagi pemilihan calon kegemaran mereka dalam setiap kategori yang dipertandingkan.
“Jika program MeleTop menghimpunkan perkara yang menjadi trending masa kini, maka AME pula mahu meraikan selebriti, acara mahupun program yang menjadi pilihan sepanjang tahun 2013 ini,” jelas Yasmin pada sidang akhbar di Hotel Double Tree, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain itu, tambah Yasmin, mereka menyerahkan kuasa mengundi sepenuhnya kepada peminat untuk memilih siapakah calon kegemaran mereka yang dirasakan layak untuk menang. Ia juga sebagai penghargaan kepada penonton yang telah banyak menyokong program itu sejak awal bersiaran.
Majlis anugerah yang bakal berlangsung pada 8 Februari 2014 nanti akan dikemudi oleh gabungan tiga orang pengacara terkenal iaitu Datuk AC Mizal serta dua pengacara program MeleTop iaitu Nabil serta Neelofa.
Jelas Yasmin, tentang gabungan ketiga-tiga pengacara tersebut adalah kerana merasakan mereka punya personaliti bersahaja yang dapat menarik peminat selain menepati kehendak program itu sendiri.
NABIL berusaha memberikan yang terbaik sebagai hos majlis Anugerah MeleTop Era.


Mungkin ia perkara biasa melihat gabungan Neelofa serta Nabil dalam program MeleTop sebelum ini, namun, kolaborasi bersama AC merupakan perkara yang dinantikan oleh ketiga-tiga mereka.
AC, Nabil dan Neelofa teruja
Meluahkan rasa keterujaan untuk bergabung bersama sebagai pengacara AME kelak, tutur AC sendiri, dia merasa bersyukur kerana terpilih menjadi salah seorang pengacara AME.
“Syukur kerana diberi peluang untuk bergandingan bersama Nabil dan Neelofa kerana dari segi rancangan iaitu bercerita tentang artis, memang sudah biasa untuk saya. Saya dijemput untuk mewarnakan lagi apa yang dipersembahkan oleh mereka.
“Saya berharap akan ada penerimaan yang bagus daripada penonton. Saya juga rapat dengan mereka berdua, jadi ini merupakan peluang yang besar kepada saya,” tutur AC.
Begitu juga Nabil yang katanya ingin memperbaiki kelemahan yang ada pada diri dengan menjadi yang lebih baik dalam AME kelak.
Bicara Neelofa pula, walaupun mungkin pernah dikritik dalam bidang pengacaraan ini, namun dia akan cuba melakukan yang terbaik pada hari tersebut.
“Saya akan mengacarakan AME kelak sepertimana saya dalam program MeleTop, cuma bezanya ini majlis anugerah.
“Jika diikutkan, saya sudah bina keserasian bersama Nabil dan saya juga pernah bekerjasama dengan AC sebelum ini.
“Saya rasa tiada masalah untuk saya kelak. Cuma yang membezakannya ialah bagaimana persediaan kami,” tutur Neelofa yakin mampu mengemudi AME pada tahun depan.
Bagi pencalonan awal, pihak penganjur menyenaraikan nama 20 pencalonan bagi setiap kategori untuk membolehkan lima daripadanya tersenarai pada peringkat akhir.
Undian fasa pertama untuk memilih calon lima teratas telah dibuka dengan cara undian secara dalam talian bermula 10 Disember lalu hingga 10 Januari 2014.
Ia boleh dibuat dengan melayari laman www.meletop.com.my, www.facebook.com/mymeletop dan www.facebook.com/erafm.
Anugerah MeleTop Era bakal berlangsung pada 8 Februari 2014 menerusi saluran Astro Ria, Maya HD dan Astro Hitz.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1224&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm#ixzz2oKwEXlFB 
Hakcipta terpelihara 

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP